Skip to main content

Singapura

Serangan siber SingHealth: Selepas SMS palsu, kini panggilan palsu

SingHealth menggesa para pesakitnya agar berwaspada menerima panggilan daripada pihak yang menyamar diri dan cuba melakukan penipuan dengan memperolehi maklumat peribadi dan kewangan. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jul 2018 07:32PM Dikemas Kini : 23 Jul 2018 09:37PM

SINGAPURA: SingHealth menggesa para pesakitnya agar berwaspada menerima panggilan daripada pihak yang menyamar diri dan cuba melakukan penipuan dengan memperolehi maklumat peribadi dan kewangan.

Nasihat itu dimuatnaik di laman Facebook SingHealth pada pagi Isnin (23 Jul), tiga hari selepas kumpulan penjagaan kesihatan itu mengeluarkan amaran tentang tersebarnya SMS palsu berhubung serangan siber yang menjejas 1.5 juta pesakit di sini. SMS palsu tersebut memperdayakan orang ramai dengan mendakwa kononnnya nombor telefon, maklumat kewangan dan rekod perubatan mereka sudah digodam.

Dalam amaran terbarunya SingHealth menekankan bahawa kakitangannya tidak akan menelefon para pesakit, kecuali mereka menelefon SingHealth sebelum ini dan diminta untuk dihubungi kembali.

Kumpulan penjagaan kesihatan itu menambah pihaknya hanya akan menghubung pesakit yang terjejas oleh serangan siber itu menerusi SMS atau surat. Ia turut menggesa mereka yang menerima panggilan daripada pihak yang menyamar diri supaya menghubungi talian bantuan polis 1800-722 6688.

Belum jelas berapakah jumlah panggilan dan SMS palsu sejauh ini. Pihak Mediacorp sudah menghubungi SingHealth dan pihak polis bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Pencerobohan sistem IT SingHealth oleh para penggodam diumumkan pada Jumaat (20 Jul). Menurut pihak berkuasa, data 1.5 juta pesakit dicuri namun mereka tidak mendedahkan sebarang suspek.

Penggodam mencuri data seperti nombor NRIC, alamat rumah, jantina, ras dan tarikh lahir pesakit yang berkunjung ke klinik pakar dan poliklinik SingHealth antara 1 Mei 2015 hingga 4 Julai tahun ini.

Rekod ubat-ubatan yang diagihkan kepada 160,000 orang - termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong - yang menerima rawatan luar SingHealth juga dicuri.

Polis sedang menjalankan siasatan. 

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita