Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan siber SingHealth 'satu peringatan keras' supaya perhebat keselamatan siber

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengatakan bahawa pemerintah akan memindahkan sebilangan sistemnya kepada wadah pengkomputeran awan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Oct 2018 02:36PM Dikemas Kini : 02 Oct 2018 08:51PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengatakan bahawa pemerintah akan memindahkan sebilangan sistemnya kepada wadah pengkomputeran awan dalam masa beberapa tahun akan datang.

Langkah itu dijalankan meskipun berlaku serangan siber besar-besaran pada Julai lalu, di mana penggodam mencuri data peribadi milik sekitar 1.5 juta pesakit, termasuk PM Lee.

Berucap di sidang anjuran GovTech hari ini (2 Okt), PM Lee mengatakan bahawa pemerintah perlu memperhebatkan usaha dalam keselamatan siber dan agensi-agensi perlu mendakapi IT, dengan matlamat ingin meningkatkan taraf kehidupan rakyat Singapura.

Menyifatkan serangan siber SingHealth sebagai "satu peringatan keras", PM Lee menekankan peri pentingnya keselamatan siber sebagai "asas penting" supaya negara mampu meraih manfaat daripada teknologi-teknologi baru dan dunia dengan ketersambungan lebih baik.

"(Serangan siber SingHealth) satu peringatan keras bahawa ruang siber bukan persekitaran yang selamat, dan kita perlu melakukan banyak lagi bagi memastikan sistem dan data IT kami selamat dan terjamin," kata PM Lee.

Penggodam sangat "mahir, mempunyai sumber yang mencukupi dan yakin" tetapi insiden itu juga membawa perhatian negara kepada kelemahan yang ada pada sistem IT Singapura dan pertubuhan-pertubuhan tempatan, tambah beliau.

Maka itu, PM Lee menggesa supaya kelemahan ini diatasi, rakyat menjalani latihan dan memastikan ada pemikiran yang betul.

PERALIHAN SISTEM

Di hadapan 1,300 pakar IT dari sektor awam dan privet, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkongsi tentang satu kajian yang dijalankan pemerintah yang mendapati sebahagian besar sistemnya masih, secara prinsipnya, wujud dalam wadah pengkomputeran awan komersil.

Namun, persoalannya adalah, kata beliau, sejauh mana pemerintah boleh menggunakan wadah itu, dan cara untuk mengatasi masalah serta mengurangkan risiko yang ada.

Beliau berkata pemerintah malah perlu menimbangkan untuk menghasilkan dan membina wadah pengkomputeran awannya sendiri bagi beberapa agensi.

Namun, keselamatan dan perlindungan data kekal sebagai faktor penting yang perlu dipertimbangkan. Maka itu, PM Lee berkata pemerintah perlu merombak prasarana IT sedia ada dan membangunkan keupayaan teknologinya.

Ini termasuk menarik bakat asing terbaik dan memastikan agensi pemerintah menjadikan pembangunan IT sebagai fokus utama, kerana tidak boleh bergantung kepada hanya institusi sendiri.

"Membangunkan keupayaan organisasi IT memerlukan pakar dan bakat pada pelbagai peringkat. Pasukan dengan kemahiran teknikal yang mendalam, seperti arkitek huraian wadah pengkomputeran awan, pakar keselamatan siber dan pereka UX," kata PM Lee.

PM Lee menambah, para jurutera yang berpengalaman diperlukan supaya generasi muda mampu belajar dari mereka. Beliau juga yakin, golongan ini mampu membuat penilaian dan keputusan baik untuk memimpin projek-projek besar IT.

Para penyandang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam juga digesa mendakapi teknologi supaya mampu memberi kata putus projek-projek IT.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan