Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan siber SingHealth: IHiS pecat dua pekerjanya, CEO dikenakan denda wang

Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHiS) memecat dua pekerjanya kerana cuai berhubung kes serangan siber di SingHealth, yang membolehkan maklumat peribadi 1.5 juta pesakit dicuri - termasuk rekod Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jan 2019 09:25PM Dikemas Kini : 14 Jan 2019 10:44PM

SINGAPURA: Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHiS) memecat dua pekerjanya kerana cuai berhubung kes serangan siber di SingHealth, yang membolehkan maklumat peribadi 1.5 juta pesakit dicuri - termasuk rekod Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

IHiS bertanggungjawab bagi sektor jagaan kesihatan Singapura. Dalam kenyataan medianya pada hari Isnin (14 Jan), ia juga menyatakan telah mengenakan denda wang "yang besar" ke atas lima anggota pengurusan kanannya, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Bruce Liang, "kerana memikul tanggungjawab kepimpinan bersama".

Jumlah denda wang yang "sederhana" pula akan dikenakan ke atas dua penyelia pengurusan pertengahan yang merupakan penyelia dua pekerja yang dipecat.

IHiS enggan memberi butiran lanjut mengenai denda wang yang dikenakan.

Keputusan itu dibuat selepas IHiS melantik sebuah panel bebas pada November lalu untuk menyiasat mereka yang terlibat dan mengemukakan saranan kepada lembaga syarikat itu.

Pihak lembaga "menerima sepenuhnya" cadangan-cadangan yang dikemukakan

DUA KAKITANGAN DIPECAT, SEORANG LAGI DITURUNKAN PANGKAT

Ketua pasukan Citrix dan Pengurus Respons Insiden Keselamatan didapati "cuai dan tidak mematuhi perintah", sehingga menyebabkan "kejadian dalam skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini".

Walaupun ketua pasukan Citrix mempunyai kecekapan teknikal yang diperlukan, sikapnya terhadap keselamatan dan pangkalan data yang dibangunkan mendedahkan sistem tersebut kepada risiko tinggi yang tidak diperlukan, kata IHiS.

Pengurus Tindakan Insiden Keselamatan pula secara "terus-menerus mempunyai pemahaman yang salah" tentang apa yang disifatkan sebagai insiden keselamatan, dan bila kejadian sedemikian harus dilaporkan.

Sikapnya yang pasif, meskipun telah berulang kali diberitahu oleh kakitangannya, menyebabkan pasukan itu gagal mengawal atau mengelakkan serangan siber itu daripada berlaku, tambah IHiS.

"Meskipun tidak terdapat niat untuk menyebabkan atau memudahkan serangan siber, kedua-dua mereka gagal melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka," kata syarikat itu lagi dalam kenyataan medianya.

TIGA PEKERJA DIPUJI

IHiS berkata surat pujian diberikan kepada tiga pekerja yang bekerja keras untuk menangani insiden tersebut yang di luar bidang tanggungjawab mereka. Mereka bersikap proaktif
dalam menangani serangan siber terburuk di Singapura itu.

Pengerusi IHiS Paul Chan berkata serangan siber itu adalah satu peringatan tentang perlunya mengambil sikap lebih berwaspada dan bersiap sedia untuk menghadapi ancaman siber.

"IHiS akan belajar daripada kejadian ini, dan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan kolompok penjagaan kesihatan untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang diperlukan untuk membantu kami menjadi lebih kukuh," kata Encik Chan.


Sumber : CNA/RR/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan