Skip to main content

Singapura

Serangan siber SingHealth: COI serahkan laporan 'sebulat suara'

Laporan Jawatankuasa Siasatan (COI) yang ditugaskan untuk menyiasat serangan siber SingHealth sudah dikemukakan kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber, S Iswaran, hari ini (31 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Dec 2018 03:07PM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 11:35PM

SINGAPURA: Laporan Jawatankuasa Siasatan (COI) yang ditugaskan untuk menyiasat serangan siber SingHealth sudah dikemukakan kepada Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber, S Iswaran, hari ini (31 Dis).

Serangan siber itu adalah pembocoran data peribadi paling dahsyat yang pernah berlaku dalam sejarah Singapura.

Dalam surat yang disampaikan kepada Encik Iswaran, COI yang terdiri daripada empat anggota itu menyatakan bahawa laporan berkenaan meliputi hasil penilaian bukti yang dikumpul, dapatan siasatan, punca serangan serta saranan-saranan utama dan tambahan.

"Laporan ini mengandungi maklumat sensitif dan oleh itu, ia diklasifikasikan sebagai 'Maklumat Rahsia Penting' (Top Secret)," menurut COI itu sambil menambah bahawa kandungan laporan tersebut merangkumi pandangan sebulat suara kesemua anggotanya.

Versi terbuka laporan itu akan diterbitkan pada 10 Januari.

Dalam responsnya kepada pengerusi COI Richard Magnus, Encik Iswaran berkata laporan itu memberikan "keterangan menyeluruh" mengenai peristiwa itu dan faktor-faktor sampingan yang membawa kepada serangan tersebut.

"Jawatankuasa itu juga memeriksa dengan teliti respons-respons yang diambil bagi menangani insiden itu serta mengemukakan saranan-saranan menyeluruh, bagaimana untuk menguruskan dan melindungi sistem-sistem IT SingHealth serta sistem-sistem kelompok jagaan kesihatan awam dan sektor awam dengan lebih baik daripada serangan-serangan serupa," kata beliau.

Encik Iswaran akur bahawa laporan itu adalah hasil "proses pencarian fakta yang menyeluruh dan siasatan teliti yang dijalankan selama lima bulan lalu".

COI itu mengadakan sesi pendengaran selama 22 hari dan melibatkan 37 saksi yang memberikan keterangan, kata menteri itu sambil menambah bahawa pihak itu juga meluangkan masa selama beberapa minggu untuk menimbangkan dan menyediakan laporan tersebut.

"Bagi pihak Pemerintah, saya ingin melahirkan penghargaan mendalam saya kepada anda dan para anggota COI, sekretariat COI, Peguam Negara dan pasukan siasatan atas kerja keras dan dedikasi anda," kata Encik Iswaran.

Encik Iswaran menambah bahawa pemerintah "akan belajar daripada insiden ini" dan ia juga akan mengambil langkah-langkah untuk terus memperkukuhkan sistem-sistem IT sektor awam serta mempertahankan keyakinan rakyat Singapura.

COI itu terdiri daripada ketua hakim daerah yang sudah bersara, Richard Magnus, pengerusi Quann World Encik Lee Fook Sun, Ketua Pegawai Operasi Sheares Healthcare Management Encik T K Udairam, dan Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Cham Hui Fong.

COI berkenaan ditugaskan untuk menentukan peristiwa dan faktor-faktor yang membawa kepada serangan siber terhadap sistem pangkalan data pesakit SingHealth pada atau sekitar 27 Jun 2018, di mana data peribadi mereka kemudian dicuri daripada rangkaian tersebut.  

Sumber : CNA/AI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita