Skip to main content

Singapura

Serangan siber, ancaman perpaduan sosial dijangka antara isu keselamatan utama pada 2020

Singapura dijangka berdepan dengan lebih banyak ancaman keselamatan siber pada tahun 2020 di samping perlu memberi perhatian kepada isu-isu yang boleh menjejas perpaduan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura dijangka berdepan dengan lebih banyak ancaman keselamatan siber pada tahun 2020 di samping perlu memberi perhatian kepada isu-isu yang boleh menjejas perpaduan masyarakat.

Ramalan itu dikongsi oleh Ketua Penganalisis Pertahanan Jane's by IHS Markit Encik Ridzwan Rahmat yang juga berpendapat 2020 adalah tahun China dikatakan semakin merapati kedudukan Amerika sebagai kuasa tentera terbesar dunia.

Malah, China sudah menunjukkan kemampuan tentera dengan aset-aset hebat yang mampu bersaing dengan Amerika dalam tempoh sedekad ini.

Related article image

"Dengan beberapa tahun yang lalu, tentera China telah melakukan pelbagai naik taraf kepada angkatan tentera mereka lebih-lebih lagi tentera laut mereka supaya lebih setanding dengan tentera Amerika Syarikat dan saya rasa pada tahun hadapan dan selanjutnya, tentera Amerika Syarikat tidak boleh berkelakukan sewenang-wenangnya terutama sekali di kawasan-kawasan yang masih dipertikaikan seperti di Laut China Selatan," kata Encik Ridzwan.

Jika ditumpukan kepada dalam negara pula, Encik Ridzwan berkata Singapura perlu berwaspada kepada kemungkinan bertambahnya jumlah serangan siber.

Dalam pengamatannya sendiri, pada tahun ini beberapa serangan siber berlaku atas perbuatan kumpulan-kumpulan penggodam yang dikatanya ditaja pemerintah asing.

"Yang paling saya bimbang adalah sebenarnya isu serangan siber yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan penggodam. Contohnya seperti kumpulan Lazarus dan juga kumpulan-kumpulan penggodam ATP20 dan ATP41. Ada yang di antara kumpulan-kumpulan ini melakukan aktiviti-aktiviti di Asia Tenggara termasuk di Singapura. Saya rasa bahaya yang lebih dekat kepada kita adalah yang diterbitkan kumpulan-kumpulan penggodam ini," luahnya.

Dalam pada itu, Encik Ridzwan menambah bahawa satu perkara yang mungkin perlu diberikan perhatian juga adalah ketegangan yang sedang berlaku di Timur Tengah, khususnya antara Arab Saudi dengan Yaman.

Beliau berkata rantau Asia Tenggara seperti Malaysia turut mendapat tempias dari ketegangan politik antara kedua-dua kumpulan fahaman Sunni dengan Syiah di sana.

Perkara itu, menurutnya, jika tidak dipantau mungkin akan menjejas Singapura juga.

Beliau menambah: "Saya telah memantau beberapa forum online terutama sekali forum-forum di Malaysia, yang mana isu-isu yang sedang berlaku di Timur Tengah diapi-apikan dan dilaga-lagakan oleh beberapa pihak tertentu.

"Jadi saya rasa walaupun pemantauan sedang dilakukan tentang isu-isu keselamatan lain seperti ISIS, peperangan siber dan sebagainya, isu-isu yang mungkin belum mendapat perhatian seperti isu-isu yang dilagakan di antara pihak Sunni dengan Syiah ini boleh dipantau lagi kerana ia berpotensi untuk meledak dan menghancurkan kesempurnaan fabrik sosial kita di Singapura."

Encik Ridzwan mengusulkan agar lebih banyak usaha pendidikan dijalankan di setiap lapisan masyarakat selain mengukuhkan prasarana teknologi negara bagi menangani kemungkinan-kemungkinan dalam bidang pertahanan dan keselamatan di hari muka.

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita