Skip to main content

Singapura

Serangan pisau di Beach Road: Lelaki warga China mengaku bersalah cuba bunuh isterinya

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan pisau di Beach Road: Lelaki warga China mengaku bersalah cuba bunuh isterinya

Rakaman kejadian itu menunjukkan lelaki memegang pisau pemotong di 75 Beach Road pada 14 April 2022.

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 May 2025 11:04PM Dikemas Kini : 20 May 2025 11:09PM
SINGAPURA: Lelaki yang menyerang isterinya dengan pisau pemotong di luar restoran Beach Road pada 2022 mengaku cuba membunuh pada Selasa (20 Mei).

Cheng Guoyuan, 49 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan itu dan dua tuduhan cuba menakut-nakutkan mangsa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman, yang telah ditangguhkan sehingga 3 Jun.

Video kejadian itu dikongsi secara meluas sehingga menarik perhatian seluruh negara terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas Cik Han Hongli, 44 tahun, walaupun sekurang-kurangnya 10 orang cuba mencegah Cheng dengan membaling pelbagai objek ke arahnya.

Cheng dan Cik Han adalah warga China. Cheng bekerja sebagai penolong dapur di restoran 'steamboat' di Veerasamy Road, manakala Cik Han adalah seorang pengurus di Chong Qing Steamboat Bar, yang terletak di Beach Road.

Pasangan itu bertemu pada 2004 dan mendaftarkan perkahwinan mereka pada 2009 dengan pihak berkuasa China. Cik Han mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan lalu dan mempunyai seorang anak lelaki dengan Cheng pada 2006.

Pada 2016, Cik Han datang ke Singapura untuk bekerja dan akan menghantar sekitar 10,000 yuan (S$1,800) kepada Cheng setiap dua bulan.

Hubungan itu bagaimanapun merosot dari semasa ke semasa kerana Cheng merasakan seolah-olah Cik Han memandang rendah terhadapnya kerana berpendapatan rendah.

Pada April 2021, semasa dia berada di Singapura, Cik Han mendapati bahawa Cheng telah melakukan sesuatu yang salah terhadap anak perempuannya. Kesalahan itu tidak didedahkan di mahkamah.

Marah dengan Cheng, Cik Han menghubunginya melalui panggilan telefon. Cheng mengakui perbuatan itu tetapi merasakan ia tidak akan menjejaskan anak perempuan Cik Han.

Cheng merayu kepada Cik Han supaya tidak melaporkan perbuatannya itu kepada pihak polis dan berjanji akan memberi pampasan kepada anak perempuan Cik Han.

Cik Han akhirnya bersetuju untuk Cheng membayar anak perempuan itu 40,000 yuan sebagai pampasan, tetapi hubungan mereka bertambah buruk. Cheng berjaya meminjam jumlah wang itu tetapi kemudian mengalami masalah kewangan.

Pada masa itu, Cik Han berhenti menghantar wang kepada Cheng, sebahagiannya kerana dia tidak dapat bekerja kerana wabak COVID-19.

"Tertuduh percaya bahawa reputasinya dan reputasi keluarganya lebih penting daripada nyawanya, dan lebih rela mati daripada 'menanggung malu'," kata pihak pendakwa.

"Memandangkan dia takut mangsa akan memberitahu saudara-mara dan rakannya tentang kesalahan itu, dan mahukan jaminan daripada mangsa bahawa ini tidak akan berlaku, tertuduh terus menghubunginya melalui aplikasi pemesejan dan panggilan WeChat dan meminta mangsa memaafkannya dan membiarkan sahaja perkara itu."

Cheng juga meminta Cik Han supaya tidak menceraikannya.

Pada 4 Sep 2021, Cheng datang ke Singapura untuk bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Masyarakat Outram tanpa memaklumkan Cik Han.

Pada 25 Nov 2021, Cheng pergi ke tempat kerja Cik Han di Beach Road untuk mencarinya. Terkejut melihatnya, Cik Han bergaduh dengan Cheng di luar restoran selama kira-kira setengah jam.

Dua hari kemudian, Cheng menelefon Cik Han dan mengancam akan membunuhnya jika dia enggan berbaik-baik dengannya.

Dia juga mengugut akan membunuh saudara lelaki Cik Han, yang dipersalahkannya kerana mendedahkan kesalahannya kepada Cik Han, dan keluarganya. Cik Han enggan mengalah dan Cheng kemudian menghantar beberapa kiriman mesej kepada mangsa.

"Dia juga meminta untuk bercakap dengannya secara peribadi, dan memaklumkan mangsa bahawa dia adalah satu-satunya wanita dalam hidupnya," kata pihak pendakwa kepada mahkamah.

Cik Han membuat aduan polis berhubung ugutan itu pada 28 Nov 2021.

Cheng telah disiasat oleh polis dan diberi amaran supaya jangan mencari mangsa. Dia kemudian pulang ke China pada 5 Jan 2022.

Sekembalinya ke China, Cheng mencari jalan untuk kembali ke Singapura atas urusan kerja dan menyelesaikan isu dengan isterinya.

Dia berjaya mendapatkan pekerjaan di restoran 'steamboat' dan kembali ke Singapura pada 6 Apr 2022, sekali lagi tanpa memberitahu isterinya.

Pihak pendakwa menggesa mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan mengenakan lapan hingga 12 sebatan ke atas Cheng.

Bagi percubaan membunuh yang menyebabkan kecederaan, pesalah boleh dihukum penjara seumur hidup dan dirotan.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita