Skip to main content

Singapura

Serangan pisau di Beach Road: Lelaki dipenjara, dirotan kerana cuba bunuh isteri

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan pisau di Beach Road: Lelaki dipenjara, dirotan kerana cuba bunuh isteri

Rakaman kejadian itu menunjukkan lelaki memegang pisau pemotong di 75 Beach Road pada 14 April 2022.

Diterbitkan : 03 Jun 2025 01:45PM Dikemas Kini : 03 Jun 2025 01:46PM
  • Lelaki yang menyerang isterinya dengan pisau pemotong di luar sebuah restoran di Beach Road pada tahun 2022 dijatuhkan hukuman penjara 19 tahun dan lapan sebatan rotan pada Selasa (3 Jun).
  • Cheng Guoyuan, 49 tahun, sebelum ini telah mengaku bersalah atas satu tuduhan cuba membunuh.
  • Cheng terus menyerang mangsa, mencari sebuah pisau pemotong baharu dan mengejar mangsa apabila beliau melarikan diri, walaupun mangsa sudah cedera parah dan tidak mampu mempertahankan diri, kata Hakim Lim.
  • Mangsa, Han Hongli berusia 44 tahun, mengalami kehilangan darah yang teruk dan mengambil masa setahun setengah untuk pulih dan menyesuaikan diri dengan kecederaan yang mengancam nyawanya.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Lelaki yang menyerang isterinya dengan pisau pemotong di luar sebuah restoran di Beach Road pada tahun 2022 dijatuhkan hukuman penjara 19 tahun dan lapan sebatan rotan pada Selasa (3 Jun).

Cheng Guoyuan, 49 tahun, sebelum ini telah mengaku bersalah atas satu tuduhan cuba membunuh. Kesalahan ini membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup serta sebatan rotan.

Hakim Audrey Lim turut mempertimbangkan dua tuduhan mengugut orang awam dengan pisau pemotong semasa menjatuhkan hukuman kepadanya.

Beliau bersetuju dengan pendakwaan bahawa serangan Cheng terhadap isterinya adalah dirancang dan dilakukan dengan niat jahat.

Beliau menyatakan fakta bahawa Cheng merancang untuk membunuh mangsa dua hari sebelum serangan itu, mengambil parang dari tempat kerjanya dan menulis nota WeChat untuk mengesahkan pembunuhan tersebut.

Nota WeChat tersebut, yang dimaksudkan untuk dibaca sekiranya dia mati bersama isterinya, menyatakan tentang keinginannya untuk "menyelesaikan perkara" antara mereka dan mahu isterinya "bertanggungjawab kerana mengkhianati" dirinya.

"Garis antara sekadar berfikir dan perancangan tidak selalu jelas," kata Hakim Lim. Namun, dalam kes ini, beliau mendapati bahawa tindakan Cheng menunjukkan perancangan.

Beliau juga menarik perhatian kepada sifat serangan Cheng yang "sangat ganas dan kejam".

Dia berulang kali menyerang kepala isterinya dengan pisau pemotong dan tidak berhenti walaupun setelah mata pisau terputus dari pemegangnya.

Cheng terus menyerang mangsa, mencari sebuah pisau pemotong baharu dan mengejar mangsa apabila beliau melarikan diri, walaupun mangsa sudah cedera parah dan tidak mampu mempertahankan diri, kata Hakim Lim.

Sekalipun demikian, beliau mendapati bahawa kes ini tidak termasuk dalam kategori kes yang paling teruk, dan oleh itu tidak memerlukan hukuman maksimum.

Cheng, yang mengikuti prosiding menerusi seorang jurubahasa Mandarin, menundukkan kepalanya semasa hakim membacakan keputusannya.

Video serangan ganas pada 14 April 2022 tersebar luas di internet. Beberapa orang awam cuba menghalang Cheng dengan melontar barang atau menahannya dengan tangga.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kekacauan awam yang disebabkan oleh keganasan Cheng diperbesarkan kerana kejadian itu dilaporkan secara meluas di media dan mendapat perhatian awam yang ketara.

Hakim Lim berkata faktor ini tidak boleh diabaikan, tetapi tidak harus diberi terlalu banyak penekanan dalam menilai kemudaratan yang disebabkan oleh kesalahan Cheng.

Mangsa, Han Hongli berusia 44 tahun, mengalami kehilangan darah yang teruk dan mengambil masa setahun setengah untuk pulih dan menyesuaikan diri dengan kecederaan yang mengancam nyawanya.

Kecederaan ini termasuk luka yang dalam di seluruh badan, patah tulang dan jari manis dipotong.

Dia tidak lagi melihat menerusi mata kirinya, mukanya cacat kekal dan lengannya pula separa catat kekal.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Jun Chong dan Koh Yi Wen mendesak mahkamah untuk memenjarakan Cheng seumur hidup dan mengenakan lapan hingga 12 sebatan.

Peguam Cheng, Johannes Hadi dan Wei Ziqiang, yang dilantik secara pro bono, berhujah agar hukuman penjara ditetapkan pada 15 tahun dan lima sebatan rotan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita