Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan Nice: Masagos seru masyarakat Islam S'pura renung ciri umat teladan

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Ahad (1 Nov) berkata, beliau percaya masyarakat Melayu/Islam di Singapura boleh menjadi teladan di mata dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan Nice: Masagos seru masyarakat Islam S'pura renung ciri umat teladan

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli di majlis Maulidur Rasul Masjid Yusof Ishak pada 1 Nov. (Gambar: Afiqah Hussain/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Ahad (1 Nov) berkata, beliau percaya masyarakat Melayu/Islam di Singapura boleh menjadi teladan di mata dunia.

Ini kerana ia mengamalkan sikap hormat-menghormati dalam masyarakat dan dapat menjalankan amalan-amalan agama dengan selamat dan tenang, selain dihormati kaum dan penganut agama lain.

Encik Masagos berkata demikian semasa diminta mengulas tentang serangan-serangan pengganas di Perancis baru-baru ini. Beliau ditemui di luar majlis Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Yusof Ishak.

Pada Khamis (29 Okt), seorang lelaki membunuh tiga orang di dalam sebuah gereja di Nice.

Pembunuhan itu berlaku tidak lama selepas insiden seorang guru Perancis yang kepalanya dipenggal seorang pelampau kerana menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada para pelajarnya.

"Kalau kita lihat suasana masyarakat di mana-mana, insiden-insiden yang bakal membuat kita marah atau memaksa kita melakukan sesuatu yang tidak masuk akal, akan berlaku lebih kerap lagi. Apa lagi dengan adanya media sosial," ulas Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

Lantaran itu, tambah Encik Masagos, penting bagi umat Islam untuk "tabah, sabar dan memahami apakah tuntutan agama sebenar", yang menjadikan masyarakat sebagai sebuah umat misali.

"Kita bersyukur di Singapura, kita dapat memberikan reaksi yang cukup rasional dan memberi keyakinan kepada masyarakat lain bahawa kita di Singapura beragama secara sederhana. Kita saling hormat-menghormati. Semua. Tidak kira agama dan bangsa," kata Encik Masagos lagi.

"Inilah yang harus kita kekalkan dalam kehidupan kita bermasyarakat di Singapura."

MUFTI TEKANKAN NILAI TERPUJI NABI MUHAMMAD

Di majlis Maulidur Rasul itu, Mufti Negara Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir turut menyampaikan tazkirah yang mengajak umat Islam untuk merenung nilai serta ajaran Nabi Muhammad.

"Bila Rasulullah s.a.w disakiti, maka apa responsnya? Baginda memaafkan dan tidak membalas. Apabila diajak bertelingkah, Rasulullah diam dan tidak menjawab. Itu sifat Rasulullah s.a.w. 

"Tidak pernah Baginda memimpin dengan perasaan dan emosi tetapi Rasulullah memimpin umatnya, menunjukkan contoh dengan petunjuk Allah s.w.t yang penuh dengan keikhsanan, rahmah, kasih sayang dan hikmah," terang Ustaz Dr Nazirudin.

(Gambar: MUIS)

(Gambar: MUIS)

Maka itu jika Nabi Muhammad dijadikan sebagai sandaran, masyarakat kini "banyak tersilap dalam pendekatan yang diambil", tambah beliau.

"Kita nak sampaikan Al-Quran, kita nak sampaikan hadis Rasulullah s.a.w tetapi jauh daripada jalan hikmah dan kebijaksanaan yang akhirnya, biasanya mengundang kerugian, kerosakan dan kekeliruan dalam masyarakat kita."

Dalam pada itu Ustaz Dr Nazirudin turut menekankan perbuatan menghina sememangnya tidak dapat diterima, sambil merujuk kepada penerbitan lukisan menggambarkan Nabi Muhammad di Perancis.

"Setiap orang yang beriman yang sayangkan Rasulullah s.a.w pasti sedih dan duka. Kita sama sekali tidak boleh menerima perbuatan sedemikian. Sama seperti kita tidak ingin sesiapa pun, dipersendakan atau dijadikan bahan ketawa dan permainan," kata beliau.

Namun kejahatan, tegasnya, bukan jalan keluar masalah seperti ini.

"Tidak cukup hanya memaafkan - berbuat baik dan memulihkan hubungan. Itulah 'the gold standard' (taraf tertinggi). Itulah matlamat tujuan yang ingin dibentuk oleh Nabi s.a.w bagi umat Baginda."

Tonton video lengkap tazkirah Mufti di sini:  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan