Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan gereja: Mufti ucap takziah, hulur tangan kukuhkan lagi ikatan dengan masyarakat Kristian

Serangan di Paris dan Gereja Notre Dam di Perancis, bukan sahaja mencabul kesucian nyawa manusia, tetapi juga suatu serangan terhadap Islam. Demikian tegas Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam surat yang diutuskan pada Jumaat (30 Okt) kepada masyarakat Kristian tempatan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan gereja: Mufti ucap takziah, hulur tangan kukuhkan lagi ikatan dengan masyarakat Kristian

Gambar fail Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir.

SINGAPURA: Serangan di Paris dan Gereja Notre Dam di Perancis, bukan sahaja mencabul kesucian nyawa manusia, tetapi juga suatu serangan terhadap Islam.

Demikian tegas Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam surat yang diutuskan pada Jumaat (30 Okt) kepada masyarakat Kristian tempatan.

Pada Khamis (29 Okt), seorang lelaki membunuh tiga orang secara kejam dalam sebuah gereja di Nice, Perancis.

Pembunuhan itu berlaku hanya dua minggu selepas seorang guru Perancis dipenggal kepalanya di luar sekolah beliau mengajar atas sebab menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada pelajar.

Dalam surat beliau, Ustaz Dr Nazirudin dengan tulus ikhlas menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa sambil menekankan betapa penting masyarakat harus kekal bersatu padu untuk menegakkan nilai-nilai yang akan membawa ke arah sebuah masyarakat harmoni.

Usaha ini lebih genting lagi sedang dunia dilanda pandemik COVID-19 dan serangan-serangan berunsurkan ciri-ciri radikal dan pelampau memusnahkan lagi fabrik sosial kita.

"(Serangan pengganas) berlaku dalam bulan orang Islam meraikan kelahiran Nabi Muhammad dengan memuliakannya menerusi perbuatan dan tingkah laku yang baik. Pengganas-pengganas ini mengeksploitasikan rasa cinta kami terhadap Nabi Muhammad untuk meraih simpati tetapi tindakan mereka jelas menyimpang daripada ajaran-ajarannya" tulis Ustaz Dr Nazirudin, mengecam hebat serangan yang dilakukan terhadap penganut Kristian.

"Tindakan mereka jelas tidak ada tempat dalam Islam atau agama lain."

Ustaz Dr Nazirudin dalam suratnya juga menyatakan, insiden-insiden pengganas yang berlaku di tempat-tempat ibadat merata dunia - seperti di Sri Lanka, Christchurch, Charleston, South Carolina dan terbaru, Nice - hanya menunjukkan pengganas "tidak peduli atau prihatin kepada siapa dan di mana kekejaman dilakukan".

"Ideologi berbaur kebencian mereka hanya ingin memecahbelahkan hubungan masyarakat," tegas Ustaz Dr Nazirudin lagi.

Maka itulah, beliau menghulurkan tangan kepada masyarakat Kristian tempatan untuk terus bekerjasama demi mengeratkan tali persahabatan yang terjalin.

"Kami yakin dengan mengukuhkan lagi rasa percaya mempercayai dan yakin tehadap satu sama lain, kita boleh mencegah insiden seperti itu daripada berlaku di sini," tambah Ustaz Dr Nazirudin.

Beliau selanjutnya memanjatkan doa agar rasa duka keluarga mangsa akan segera terubat, selain berharap keamanan serta belas ikhsan kembali "dalam dunia yang benar-benar memerlukannya".   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan