Skip to main content

Singapura

Serangan di Ulu Tiram satu peringatan ancaman pengganasan kekal tinggi, kata PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata serangan ke atas balai polis di Johor baru-baru ini adalah satu peringatan menggerunkan bahawa ancaman pengganasan kekal tinggi.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 May 2024 03:54PM Dikemas Kini : 21 May 2024 09:40PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong berkata serangan ke atas balai polis di Johor baru-baru ini adalah satu peringatan menggerunkan bahawa ancaman pengganasan kekal tinggi.

PM Wong berkata demikian dalam catatan di Facebook pada Selasa (21 Mei) selepas diberi taklimat oleh agensi-agensi keselamatan negara.

Dalam catatan itu, Encik Wong, mengingatkan rakyat Singapura agar terus berwaspada terhadap ideologi pelampau yang cuba mendapat tempat di sini, dengan elemen pengganas global menggunakan konflik yang berterusan di Timur Tengah untuk "menyebarkan retorik radikal mereka dan menghasut keganasan".

"Menjadi satu keprihatinan khususnya, ialah individu yang menjadi radikal sendiri terutama sekali dalam kalangan belia," kata Encik Wong.

"Sepanjang dua tahun lalu, empat belia yang menjadi radikal (bawah usia 20 tahun) ditangani di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," tambah beliau.

Dengan keadaan ancaman yang tinggi berikutan serangan di Ulu Tiram, Singapura kata Encik Wong telah meningkatkan langkah keselamatan, termasuk di pusat pemeriksaan negara.

“Agensi keselamatan kami akan terus memantau perkembangan keselamatan di peringkat global dan serantau dengan teliti,” tambahnya.

Pada 17 Mei lalu, seorang lelaki membunuh dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi di sebuah balai polis di Ulu Tiram di Johor sebelum ditembak.

Suspek mempunyai kaitan dengan Jemaah Islamiyah (JI) tetapi dipercayai bertindak sendiri, kata Menteri Dalam Negeri Malaysia Saifuddin Nasution Ismail.

Siasatan terhadap serangan itu sedang dijalankan dan motivasi penyerang masih tidak jelas, kata Encik Wong.

"Saya menggesa orang ramai agar terus berwaspada dan laporkan sebarang orang atau aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa dengan segera.

"Jika seseorang yang anda kenali menunjukkan tanda-tanda radikalisasi, hubungi ISD di 1800-2626-473 untuk mendapatkan bantuan segera," ujar beliau.

"Laporan awal akan membolehkan ISD dan rakan kerjanya untuk membantu individu yang disyaki menjadi radikal tepat pada masanya dan mencegahnya daripada mencederakan diri sendiri dan orang lain."
Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita