Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan di Surabaya jelas langgar ajaran Islam, tegas Mufti

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengutuk keras serangan kejam terhadap tiga gereja semalam (13 Mei) dan serangan terbaru ke atas Ibu Pejabat Polis di Surabaya hari ini (14 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan di Surabaya jelas langgar ajaran Islam, tegas Mufti

Gambar fail Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 14 May 2018 10:04PM Dikemas Kini : 14 May 2018 10:08PM

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengutuk keras serangan kejam terhadap tiga gereja semalam (13 Mei) dan serangan terbaru ke atas Ibu Pejabat Polis di Surabaya hari ini (14 Mei).

Serangan-serangan tersebut meragut lebih 20 nyawa dan mencederakan lebih 40 orang dengan angka tersebut dijangka terus meningkat.

MUIS menekankan bahawa kekejaman yang tidak berperikemanusiaan itu melanggar segala yang diajar Islam iaitu "agama yang menyeru hubungan damai dan harmoni antara masyarakat."

"Islam menghormati kesucian agama dan nyawa dan sentiasa menyeru perlindungan ke atas kesemua penganut dan tempat beribadah," demikian menurut MUIS.

Mufti Dr Mohd Fatris Bakaram melahirkan rasa kesal yang amat mendalam memandangkan serangan nekad tersebut dilakukan sebuah keluarga, termasuk kanak-anak kecil, yang dipimpin oleh ibu bapa yang dipandu oleh ideologi songsang fahaman melampau dan eksklusif.

"Serangan yang dianggap 'jihad' melanggar ajaran Islam yang jelas melarang pengikutnya menyerang tempat ibadah penganut bukan Muslim.

"Serangan sebegitu melanggar prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang diajar Rasul," tegas Mufti.

MUSLIM S'PURA HARGAI HARMONI SILANG AGAMA

Dalam pada itu, Mufti selanjutnya berkata bahawa masyarakat Islam di Singapura menghargai hubungan harmoni silang agama di negara ini.

Beliau selanjutnya merujuk kepada nasihat Imam Besar Al Azhar Dr Ahmed Tayyeb yang mengadakan lawatan ke Singapura baru-baru ini, agar golongan Muslim hindar daripada sifat eksklusif kerana ia melanggar tunggak utama dalam Islam - jaminan kebebasan mengamalkan agama masing-masing.

"Kita tidak boleh membenarkan ideologi kebencian menerap masuk (ke dalam masyarakat)," tambah Mufti.

SKIM ARS PENTING BAGI MEMBIMBING MASYARAKAT

Baru-baru ini, Pengarah Kanan Dasar Keagamaan dan Pembangunan MUIS Dr Nazirudin Mohd Nasir menekankan peranan para asatizah dalam memberi bimbingan kepada golongan Muslim di Singapura.

Ini selepas Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengumumkan pada 12 Mei lalu bahawa rakyat Singapura Mohamed Faishal Mohd Razali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada April setelah siasatan menunjukkan dia menjadi radikal online dan mahu melakukan "keganasan bersenjata di luar negara".

Menurut Dr Nazirudin, insiden tersebut mengingatkan masyarakat bahawa tanpa bimbingan yang betul dan asas yang kukuh, para individu boleh senang terpesong dan terpengaruh oleh ideologi pelampau.

"Satu-satunya cara untuk membina daya ketahanan agama agar tidak disesatkan ajaran sedemikian adalah dengan memahami dan megamalkan nilai Islam yang betul.

"Inilah salah satu fungsi utama Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) yang memastikan bahawa masyarakat menerima ajaran Islam yang betul dan mengikut konteks," ujar beliau.

Oleh itu, Dr Nazirudin menggesa asatizah dan masyarakat Islam untuk saling bekerjasama, membanteras sebarang jenis ideologi pelampau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan