Serangan di Beach Road: Lelaki akan didakwa cuba membunuh; mangsa dipercayai isterinya

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 46 tahun yang ditangkap di kawasan Beach Road pada petang Khamis (14 Apr) akan didakwa atas tuduhan cuba membunuh, kata Pasukan Polis Singapura (SPF).
Mangsa, seorang wanita berusia 41 tahun, dipercayai adalah isterinya, tambah polis.
Dia akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (16 Apr). Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara seumur hidup, penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali.
Polis menyatakan pihaknya bertindak memberi respons kepada kes di 75 Beach Road itu pada kira-kira 5.30 petang.
Siasatan awal mendapati lelaki tersebut didakwa menyerang wanita berkenaan dengan menggunakan parang. Sebelum pihak berkuasa tiba, dia dipercayai telah mengelar pergelangan tangannya sendiri.
“Beberapa orang awam telah campur tangan untuk membantu mangsa dan menghalang lelaki itu daripada terus mencederakan lagi mangsa. Pegawai polis tiba di tempat kejadian, mengesan lelaki bersenjata itu dan menggunakan Taser untuk melumpuhkannya,” tambah SPF.
Lelaki itu berjaya ditahan dan dia dibawa ke hospital bersama mangsa dalam keadaan sedarkan diri.
Parang itu juga dirampas dan siasatan polis sedang dijalankan.
“Polis ingin memuji orang ramai yang telah campur tangan bagi menghalang lelaki itu daripada mendatangkan kemudaratan lebih teruk kepada wanita tersebut,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis, Jeremy Ang.
Polis berkata pihaknya sedia maklum tentang rakaman video yang tular online mengenai insiden tersebut dan meminta orang ramai supaya elak daripada mengedarkan video terbabit dan membuat spekulasi tentang kes itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.