Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serang guna pisau di Bukit Merah; lelaki ditahan reman bagi pemerhatian psikiatri

Seorang lelaki yang diberkas setelah empat orang diserang di sebuah flat didakwa pada Isnin (7 Jun) kerana menyerang salah seorang daripada mereka dengan pisau dapur.

Anggaran Waktu Membaca:
Serang guna pisau di Bukit Merah; lelaki ditahan reman bagi pemerhatian psikiatri

Bekas darah dekat tempat kejadian serangan dengan pisau di 2 Jalan Bukit Merah pada 6 Jun 2021 (Petikan video: CNA)

Diterbitkan : 07 Jun 2021 06:07PM Dikemas Kini : 07 Jun 2021 06:11PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang diberkas setelah empat orang diserang di sebuah flat didakwa pada Isnin (7 Jun) kerana menyerang salah seorang daripada mereka dengan pisau dapur.

Zainuddin Teo, 48, ditahan reman bagi pemerhatian psikiatri dan akan kembali lagi ke mahkamah pada 28 Jun.

Teo didakwa dengan satu tuduhan secara sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Ng Cheng Loong dengan pisau dapur. Dia dikatakan menyerang Encik Ng sekitar 6.00 pagi pada 6 Jun, menyebabkan tulang rusuknya patah.

Polis dalam satu kenyataan sebelum ini menyatakan mereka memberi respons kepada serangan di unit kediaman di 2 Jalan Bukit Merah pada 6.06 pagi, 6 Jun.

Pegawai polis yang sedang melakukan rondaan melihat seorang wanita berusia 59 tahun dengan tangan berlumuran darah di tingkat bawah sebuah flat lalu terus ke di tingkat dua.

Siasatan awal menunjukkan bahawa Teo telah menyerang empat orang, yang tinggal di flat itu, dengan pisau.

Dia didakwa memasuki unit itu ketika mangsa sedang tidur dan menyerang seorang wanita Vietnam berusia 39 tahun dan seorang wanita Malaysia berusia 59 tahun.

Apabila kedua-dua mangsa itu meminta bantuan, dua penyewa lelaki tampil membantu dan berusaha menahan Teo. Bagaimanapun, mereka juga tercedera.

Kedua-dua wanita itu mengalami luka daripada pisau dan sedang dirawat. Salah seorang penyewa lelaki yang cedera, warga Malaysia berusia 18 tahun terjatuh di tangga ketika melarikan diri tetapi dalam keadaan stabil. Seorang lagi warga Malaysia berusia 24 tahun mengalami luka pisau dan sedang dirawat, kata polis.

Sementara Teo ditangkap kerana secara sengaja menyebabkan cedera parah dengan senjata berbahaya, memiliki senjata yang mencederakan dan kesalahan berkaitan dengan dadah, dia hanya didakwa dengan satu kesalahan pada Isnin.

Dia didakwa di Dewan Pendaftaran Jenayah Mahkamah dan diarah ditahan reman di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi untuk pemerhatian psikiatri.

Polis menyatakan siasatan awal menunjukkan bahawa Teo bertindak sendirian dan ia bukan satu tindakan pengganasan, namun menambah pihaknya telah meningkatkan rondaan di kawasan itu.

Jika disabit sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, Teo boleh dipenjara seumur hidup atau sehingga 15 tahun, disebat dan didenda.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan