Skip to main content

Singapura

Sepertiga rayuan EIP diluluskan pada 2022, naik daripada 21% pada 2020

Anggaran Waktu Membaca:
Sepertiga rayuan EIP diluluskan pada 2022, naik daripada 21% pada 2020

(Gambar fail: CNA/Gaya Chandramohan)

SINGAPURA: Sekitar sepertiga rayuan yang diterima berhubung Dasar Integrasi Kaum (EIP) tahun lalu diluluskan, iaitu kenaikan daripada 21 peratus yang dicatat pada 2020.

Rayuan tersebut merangkumi "bilangan kecil", iaitu 1.5 peratus daripada kesemua permohonan flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Demikian menurut Menteri Undang-undang merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (12 Jun) di sidang ulang tahun ke-35 Institut Pengajian Dasar (IPS).

Pada 2022, HDB menerima 411 rayuan berhubung EIP daripada pemilik-pemilik flat. Setakat 21 Mac lalu, HDB meluluskan 128 rayuan, yang merangkumi 92 daripada pemilik flat berbangsa India dan lain, 29 daripada pemilik flat berbangsa Melayu dan tujuh daripada pemilik flat berbangsa Cina.

Di bawah EIP, yang diperkenalkan pada 1989, kuota ditetapkan bagi flat-flat yang dimiliki oleh setiap kaum di sebuah blok HDB atau kejiranan untuk mengelakkan tumpuan mana-mana kaum di sesebuah estet perumahan.

Encik Shanmugam, yang bercakap tentang isu masyarakat majmuk dan isu kaum, berkata pemerintah Singapura campur tangan untuk mengelakkan pemisahan kaum tertentu dalam estet perumahan.

Beliau menyatakan hampir sepertiga kesemua blok HDB - dan 1 dalam 10 kejiranan HDB - telah mencapai had EIP mereka tahun lalu.

"Ini bermakna penumpuan kaum telah mencapai tahap di mana ia akan naik lebih tinggi berbanding had ambang. Dan had ambang ini sudah mempunyai beberapa penimbal yang disertakan," katanya.

Encik Shanmugam menambah, jika tiada penguatkuasaan EIP, kewujudan enklaf atau tumpuan sesuatu kaum akan lebih ketara.

Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa kesan sampingan EIP, dari masa ke masa, adalah jika seseorang itu daripada kaum minoriti yang tinggal di sesebuah tempat di mana EIP kaum Cina telah dicapai, mereka perlu jual kepada seseorang daripada kaum minoriti.

Ini bermakna ia akan mengambil masa yang lama untuk flat dijual, dan kemungkinan terdapat tekanan pada harga oleh sebab terdapat "bekalan yang lebih kecil"," tambahnya.

Beliau berkata HDB bersikap fleksibel bagi kumpulan sedemikian berdasarkan kes, dengan memberi isi rumah lebih banyak masa untuk menjual, mengenepikan had EIP dalam kes luar biasa, atau membeli semula unit mereka secara langsung bagi mereka yang betul-betul menghadapi kesukaran untuk menjual flat mereka.

"Jadi pendekatan kami - daripada menghapuskan dasar tersebut sepenuhnya, yang memastikan Singapura kekal padu - kami bersikap fleksibel dalam cara yang disasarkan, untuk menangani kesan-kesan tersebut secara langsung, bagi sebilangan kecil mereka yang terjejas," tambah Encik Shanmugam.

Menteri tersebut juga berkata bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri akan memperkenalkan Akta Memelihara Keharmonian Kaum, yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan rapat Hari Kebangsaannya pada 2021.

Pengumuman tersebut dibuat setelah berlakunya beberapa insiden perkauman pada 2021, serta adanya perbincangan tentang hubungan antara kaum di Singapura.

"Jika kita lihat pada cabaran yang sedia ada, kami masih sedang berusaha. Tiada mana-mana masyarakat yang boleh mendakwa mereka bebas daripada perkauman, dan saya rasa mereka yang mendakwanya tidak berkata benar," ujar Encik Shanmugam pada Isnin.

"Tetapi realitinya adalah kami tidak berselindung mengenai perbezaan kita. Kita tidak mengambil pendekatan buta kaum, Kita tidak rasa patut mengenepikan isu kaum - ia tidak akan menghuraikan masalah kita. Jadi, kita mengambil pendekatan yang sensitif kepada isu kaum.

"Pemerintah mengendalikan isu berhubung kaum, dengan memastikan kaum minoriti tidak dipinggirkan."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita