Skip to main content

Singapura

Sepertiga golongan bujang di SG berminat guna aplikasi cari jodoh FirstDate jika layak: Tinjauan

Anggaran Waktu Membaca:
Sepertiga golongan bujang di SG berminat guna aplikasi cari jodoh FirstDate jika layak: Tinjauan

Tinjauan YouGov mendapati 31 peratus golongan bujang di Singapura berminat menggunakan FirstDate, sebuah platform mencari jodoh yang disokong pemerintah, jika mereka layak. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 03 Nov 2026 03:09PM Dikemas Kini : 03 Nov 2026 03:42PM
About a third of single people in Singapore interested in using FirstDate matchmaking app if eligible: survey
  • A YouGov survey of 1,112 Singaporeans aged 18 and above, with responses collected in October 2026, found that 31 per cent of single respondents were interested in using FirstDate, a GovTech matchmaking platform being trialled in the public sector.
  • Interest was higher among Gen Z, at 49 per cent, while 56 per cent supported the Government’s matchmaking service; those opposed mostly felt that relationships were a private matter or that the funds should be used for other priorities.
  • Users prioritised authentication, compatibility-based matching and privacy protection, but GovTech has yet to decide whether FirstDate will be opened to the public.
  • Personal freedom, careers and finances were reasons many remained single, while difficulty finding a suitable partner also played a part; Chi Wei Teo said the platform needed to respect users’ choices and expectations.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Kira-kira seorang daripada tiga rakyat Singapura yang masih bujang menyatakan mereka berkemungkinan menggunakan FirstDate, sebuah platform mencari jodoh yang disokong pemerintah, sekiranya mereka layak berbuat demikian.

Demikian menurut tinjauan yang dijalankan oleh syarikat penyelidikan dan analisis data global, YouGov.

Dapatan daripada Tinjauan Sentimen Pengguna YouGov Singapura yang dikeluarkan pada Selasa (3 Nov) menunjukkan golongan muda lebih terbuka untuk menggunakan platform tersebut.

Hampir separuh, atau 49 peratus responden bujang daripada Generasi Z (Gen Z), berkata mereka berkemungkinan menggunakan FirstDate jika layak.

Sebagai perbandingan, hanya 28 peratus responden milenial, 23 peratus Generasi X dan 8 peratus generasi baby boomer menyatakan perkara yang sama.

Secara keseluruhan, 31 peratus responden bujang berminat menggunakan platform itu, manakala 39 peratus menyatakan mereka tidak mungkin menggunakannya.

Tinjauan tersebut turut mendapati 44 peratus rakyat Singapura menyokong perkhidmatan mencari jodoh yang disokong pemerintah.

Sokongan paling tinggi datang daripada golongan Gen Z, dengan 56 peratus menyokong inisiatif tersebut.

Sementara itu, 38 peratus responden mengambil pendirian berkecuali, manakala 8 peratus menentangnya.

HUBUNGAN CINTA DIANGGAP URUSAN PERIBADI

Dalam kalangan responden yang tidak menyokong perkhidmatan mencari jodoh anjuran pemerintah, 61 peratus berpendapat soal percintaan dan hubungan merupakan urusan peribadi.

56 peratus pula berpendapat pemerintah sepatutnya memberikan tumpuan kepada isu lebih penting seperti kos sara hidup.

Sementara itu, 38 peratus merasakan dana awam lebih baik digunakan untuk keutamaan lain.

Tinjauan itu turut mengenal pasti beberapa ciri yang boleh menarik minat orang ramai untuk menggunakan platform mencari jodoh yang disokong pemerintah.

42 peratus responden memilih pengesahan identiti pengguna sebagai ciri penting bagi mengurangkan akaun palsu.

Ini diikuti 35 peratus yang mahukan padanan pasangan berdasarkan nilai hidup, minat dan gaya hidup yang sama.

26 peratus pula mengutamakan perlindungan privasi yang kukuh serta kawalan terhadap maklumat peribadi.

FirstDate dibangunkan oleh Agensi Teknologi Pemerintah Singapura (GovTech) dan kini sedang diuji dalam kalangan kakitangan perkhidmatan awam.

Pasukan yang membangunkan platform itu menyatakan pada Oktober bahawa belum ada keputusan dibuat untuk memperluaskan penggunaannya kepada orang ramai di luar sektor awam.

RAMAI PILIH KEKAL BUJANG DEMI KEBEBASAN DIRI

Dapatan tinjauan itu dikeluarkan ketika corak hubungan dan perkahwinan di Singapura sedang berubah.

Menurut Tinjauan Umum Isi Rumah 2025 oleh Jabatan Perangkaan Singapura, lebih ramai penduduk berusia 20-an dan 30-an belum pernah berkahwin berbanding lima tahun sebelumnya.

Dalam tinjauan YouGov, separuh atau 50 peratus responden bujang menyatakan mereka memilih untuk kekal bujang kerana menghargai kebebasan diri.

42 peratus pula berkata mereka masih belum menemui pasangan yang sesuai.

Keserasian pasangan didapati amat penting dalam kalangan Gen Z, dengan 54 peratus menyatakan kesukaran mencari pasangan yang serasi sebagai sebab mereka masih bujang.

Selain itu, 57 peratus responden Gen Z berpendapat tumpuan terhadap kerjaya, matlamat peribadi dan kestabilan kewangan menjadi antara sebab semakin ramai orang memilih untuk kekal bujang.

24 peratus pula mengaitkannya dengan pengalaman mengecewakan ketika mencari pasangan melalui kaedah moden, termasuk aplikasi janji temu.

Dalam kalangan milenial, 25 peratus menyatakan kebimbangan terhadap komitmen atau pengalaman hubungan yang kurang baik sebagai antara sebab semakin ramai orang kekal bujang.

KERJAYA DAN KEWANGAN ANTARA FAKTOR UTAMA

Secara keseluruhan, 47 peratus responden berpendapat bahawa keinginan untuk hidup berdikari dan mencapai kepuasan peribadi menjadi antara sebab utama lebih ramai golongan dewasa muda belum berkahwin.

Peratusan yang sama turut menyatakan tumpuan terhadap kerjaya, cita-cita peribadi dan kestabilan kewangan menjadi faktor penting.

Sementara itu, 37 peratus menyatakan kesukaran mencari pasangan yang sesuai sebagai salah satu sebab utama.

34 peratus pula mengaitkannya dengan kebimbangan terhadap tanggungjawab kewangan atau emosi dalam sesebuah hubungan.

Perubahan pandangan masyarakat terhadap perkahwinan turut disebut oleh 33 peratus responden.

Pengurus Besar YouGov Singapura, Chi Wei Teo, berkata pandangan rakyat Singapura terhadap hubungan mencerminkan keinginan untuk mengekalkan kebebasan diri sambil mencari pasangan yang serasi.

"Sikap rakyat Singapura terhadap hubungan menunjukkan keseimbangan antara kebebasan peribadi dengan keinginan mencari seseorang yang sesuai," katanya.

Menurut Encik Teo, walaupun perkhidmatan mencari jodoh alternatif mungkin menarik minat sebahagian individu bujang, platform sedemikian perlu memenuhi jangkaan pengguna.

Ini termasuk keserasian pasangan, kebebasan membuat pilihan serta cara seseorang mahu menjalinkan hubungan.

Tinjauan YouGov itu melibatkan 1,112 rakyat Singapura berusia 18 tahun ke atas, dengan maklum balas dikumpulkan pada Oktober 2026.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita