Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sepatutnya dapat pemindahan ginjal, tapi terbantut dek COVID-19

Pesakit ginjal yang menunggu pemindahan organ menjadi antara pesakit yang teruk terjejas dengan gangguan yang dibawa COVID-19. Ada di antara mereka malah sudahpun dijadual menjalani pemindahan. Namun pembedahan yang ditunggu-tunggu itu dibatalkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pesakit ginjal yang menunggu pemindahan organ menjadi antara pesakit yang teruk terjejas dengan gangguan yang dibawa COVID-19.

Ada di antara mereka malah sudahpun dijadual menjalani pemindahan. Namun pembedahan yang ditunggu-tunggu itu dibatalkan.

Antara pesakit ginjal sedemikian ialah Encik Muhd Aliff D'Cruz, 31 tahun.

Januari tahun lalu merupakan detik pahit buat beliau kerana ketika itu, beliau disahkan menghidapi Kegagalan Ginjal Tahap 5 setelah mengalami kesesakan nafas ketika tidur.

Beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga dan mahu membina kehidupan baru di flat yang baru dibeli di Pasir Ris apabila mendapat berita tersebut.

Atas nasihat doktor, Encik Aliff terpaksa berhenti kerja sebagai seorang tukang masak dan pekerja keselamatan sambilan kerana bimbang ia akan menjejas kesihatannya.

Encik Aliff bagaimanapun ibarat mendapat nafas baru apabila diberitahu beliau akan menjalani pembedahan pemindahan organ. Bagaimanapun penularan COVID-19 di negara ini menyekat pembedahan dan ia terpaksa dibatalkan.

"Hari Raya tahun ini pun saya tidak tahu macam mana pasal pemindahan organ saya semua pun dibatalkan disebabkan COVID-19. Sekarang saya berada di senarai menunggu. Saya akan menjalani dua pembedahan pemindahan organ.

“Doktor sudah katakan jikalau saya tidak menjalani pemindahan organ secepat mungkin, saya hanya boleh hidup untuk tiga hingga lima tahun lagi. Jadi sedih juga,” kata Encik Aliff, yang kini bekerja sambilan sebagai penghantar makanan GrabFood bagi membantu ekonomi keluarga.

Lebih menyedihkan, segala ujian yang sudah dijalankan sebelum ini terpaksa dikira lupus dan ia kini terpaksa dilakukan semula dari mula, setahun dua dari sekarang.

BERGABUNG TENAGA DENGAN MYF UNTUK BANTU PENGAGIHAN

Demi memberi motivasi kepada para pesakit ginjal seperti itulah Persatuan Bertindak Ginjal Masyarakat Islam (MKAC) menggalas usaha untuk membawa sedikit keceriaaan dan bantuan kepada mereka.

Menerusi projek 'Kotak Ihsan Ramadan', MKAC tahun ini membantu 300 pesakit ginjal dan keluarga mereka.

(Gambar ihsan: MKAC)

(Gambar ihsan: MKAC)

Sejak 2 Mei, MKAC bersama-sama enam sukarelawan dari Forum Belia Islam (MYF) bertungkus lumus membungkus dan menghantar beg-beg habuan yang termasuk kuih Hari Raya ke rumah para penerima.

Setiap beg bernilai sekitar S$80 dan diisi barangan keperluan dapur seperti beras dan minyak serta pelitup muka dan cecair pembasmi kuman. Semuanya merupakan sumbangan murni para penderma, peniaga kecil-kecilan dan kedai-kedai runcit.

"Pada tahun ini, saya rasa ia adalah penting untuk kami di MKAC mengadakan 'Kotak Ihsan Ramadan' kerana pesakit-pesakit kita tidak boleh keluar rumah.

"Oleh kerana itu, haruslah kami pergi ke rumah mereka untuk berjumpa mereka dan juga memberikan sedikit barang-barang agihan untuk mereka," jelas Pengurus Eksekutif MKAC, Encik Firdaus Mohd Abdullah.

Nasib yang menimpa pesakit ginjal seperti Encik Aliff sangat membuka mata dan memberi kesan kepada sukarelawan muda seperti Muhd Isyraq Abdul Aziz, 19 tahun.

Walaupun baru pertama kali menjadi sukarelawan bersama MKAC, dia lebih terdorong untuk terus membantu setelah mendapat tahu ayah kepada rakannya juga merupakan seorang pesakit ginjal.

“Pernah tolong beri beg habuan. Terus terkejut (melihat) 'Ini kawan saya'. Dia pun terkejut tengok saya.

“Saya simpati kepada mereka dan itulah yang membuatkan saya mahu membantu. Itulah yang buat saya nak tolong mereka,” kata Isyraq.

Lulusan Madrasah Aljunied Al-Islamiah itu sepatutnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar. Namun, rancangannya juga tergendala akibat COVID-19.

MKAC: PERLUKAN LAGI S$15,000

MKAC berharap usaha murni itu dapat diteruskan walaupun setelah berakhirnya Ramadan.

(Gambar ihsan: MKAC)

(Gambar ihsan: MKAC)

Untuk merealisasikan harapannya, MKAC menyatakan ia masih memerlukan lagi S$15,000.

Orang ramai boleh menghulurkan derma menerusi kaedah Paynow, Pemindahan Bank dan Cek.

Butirannya boleh didapatkan di:
Facebook MKAC: https://facebook.com/mkac.sg
Instagram MKAC: @mkac.sg


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan