Separuh sisa makanan yang dibuang keluarga S'pura sebenarnya boleh dielakkan
Lebih separuh sisa makanan yang dibuang oleh keluarga-keluarga Singapura boleh dielakkan dengan tidak menempah, membeli atau memasak terlalu banyak.
Tong sampah di Singapura. (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Lebih separuh sisa makanan yang dibuang oleh keluarga-keluarga Singapura boleh dielakkan dengan tidak menempah, membeli atau memasak terlalu banyak.
Demikian menurut satu tinjauan yang dijalankan baru-baru ini.
Jumlah sisa makanan yang ditimbang oleh tinjauan yang dijalankan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) antara bulan November 2016 dengan Mac 2017 sama dengan membuang sebuah beg seberat 2.5 kilogram beras setiap minggu, menurut NEA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (3 Dis).
Tinjauan itu melibatkan pengumpulan sisa dari 279 keluarga selama tiga hari dan dibahagikan untuk menentukan jumlah yang "boleh dielakkan" dan yang "tidak boleh dielakkan" termasuk bahagian-bahagian makanan yang tidak boleh dimakan seperti tulang dan kulit telur.
Sebanyak 443 keluarga juga ditemu bual untuk memahami tabiat pengurusan sisa makanan mereka.
Kira-kira satu daripada empat keluarga menyatakan, dalam sekitar 50 peratus keadaan, mereka mempunyai baki makanan selepas menjamu selera.
Suku daripada keluarga tersebut berkata mereka sering membuang makanan yang yang sudah rosak atau sudah sampai tarikh luput, sebahagian besarnya kerana mereka membeli terlalu banyak makanan dan terdapat makanan yang tersimpan di bahagian dalam peti sejuk.
Separuh daripada mereka juga mengakui bahawa mereka mungkin boleh mengambil langkah mengelak sisa makanan yang disebabkan daripada baki selepas makan, makanan yang rosak atau yang hampir pada tarikh luput atau membuang buah-buahan dan sayur-sayuran yang benyek.
Lebih 50 peratus keluarga yang ditemu bual juga menyarankan agar pasar raya menjual makanan yang dibungkus dengan jumlah yang lebih kecil manakala pusat-pusat makanan pula menawarkan pilihan bahagian makanan yang berbeza-beza.
SISA MAKANAN LEBIH BERAT DARIPADA 3,500 MRT
Sisa makanan menyumbang sekitar separuh sampah yang dibuang oleh setiap keluarga Singapura setiap hari.
Nasi, mi dan roti adalah makanan yang paling lazim dibuang, menurut tinjauan tersebut.
Sisa makanan di Singapura sudah meningkat sekitar 40 peratus sejak 10 tahun lalu, dengan jumlah pada tahun lalu lebih berat daripada 3,500 buah MRT, menurut NEA.
"Dengan kadar pembuangan sampah sekarang, kita perlu membina sebuah loji baru sampah untuk dijadikan bahan tenaga setiap tujuh hingga 10 tahun dan tanah timbus baru setiap 35 tahun. Ini tidak mampan memandangkan Singapura kekurangan tanah," tambahnya.
NEA menasihati orang ramai supaya hanya membeli, memasak atau menempah apa yang diperlukan.
Tips yang diberikan termasuk membuat senarai barangan yang mahu dibeli untuk mengelak daripada membeli mengikut gerak hati, meminta agar dikurangkan nasi atau mi mengikut selera individu serta menggunakan bahan-bahan baki untuk memasak.
NEA turut menasihati orang ramai supaya menyimpan makanan mentah yang masih belum dimakan dalam tempoh tiga hingga empat hari di dalam peti sejuk untuk mengurangkan kemungkinan hilang khasiatnya serta kerosakan disebabkan bakteria memandangkan cuaca di Singapura panas.
"Sisa makanan adalah isu yang penting ditangani sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk membawa Singapura mencapai visi Negara Sifar Sisa," kata Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Sekitaran dan Sumber Air, Dr Amy Khor.
"Jika setiap orang memainkan peranan mereka untuk mengurangkan sisa makanan, kita juga dapat menjimatkan sumber-sumber yang diperlukan untuk menghasilkan makanan serta membuangnya. Ini akan mengurangkan jejak karbon kita," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.