Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Separuh rakyat SG enggan jalani ujian bagi demensia awal meski alami gejala

Anggaran Waktu Membaca:
Separuh rakyat SG enggan jalani ujian bagi demensia awal meski alami gejala

(Gambar: iStock/Kannika Paison)

SINGAPURA: Sekitar separuh daripada rakyat Singapura tidak berkemungkinan menjalani ujian bagi demensia awal. Ini meskipun mereka mengalami gejala seperti mudah lupa dan sukar melakukan tugasan yang mudah.

Perkara tersebut berlaku dalam kalangan individu berusia antara 18 hingga 64 tahun, dedah tinjauan baharu mengenai demensia yang dijalankan pada Ogos oleh Milieu Insight.

Dapatan tinjauan itu dikeluarkan pada Rabu (4 Sep).

Tinjauan online tersebut yang melibatkan 1,000 responden menumpukan kepada demensia awal. Ia dijalankan bersama Pertubuhan Demensia Singapura, sebuah agensi khidmat sosial yang pakar dalam penjagaan demensia.

Demensia awal merujuk kepada penyakit demensia yang dihidapi mereka di bawah usia 65 tahun. Kira-kira 3,700 orang di Singapura dianggarkan menghidapi demensia awal.

Dalam tiga kumpulan usia yang ditinjau - Gen Z (18 hingga 27 tahun), millennial (28 hingga 43 tahun) dan Gen Z (44 hingga 64 tahun) - purata 53.3 peratus mengatakan mereka mungkin menjalani ujian saringan kognitif bagi demensia sekiranya mereka mengalami sebarang gejala.

Sekalipun demikian, di setiap kumpulan usia, sebanyak 53 peratus, 43 peratus dan 44 peratus masing-masing mengatakan mereka mungkin tidak akan menjalani ujian atau tidak memilih mana-mana daripada dua pilihan.

Responden memilih "saya tidak mampu membayar rawatan" sebagai sebab utama untuk tidak menjalani ujian, dengan purata 35.6 peratus dalam tiga kumpulan usia itu.

Ini diikuti dengan 33 peratus yang mengatakan mereka "takut dengan keputusan ujian".

Sebab-sebab lain termasuk, tiada keperluan untuk menjalani ujian (23 peratus), yakin dengan kesihatan sendiri (21 peratus) dan demensia bukan penyakit genetik dalam keluarga mereka (14.6 peratus).

Dapatan tinjauan tersebut dibincangkan oleh panel yang terdiri daripada ketua perkhidmatan dan perunding Institut Neurosains Nasional (NNI) Chiew Hui Jin, perunding kanan dan pakar psikiatri Hospital Besar Changi Vanessa Mok, Ketua Pegawai Eksekutif Demensia Singapura Jason Foo dan ketua penyelidikan Milieu Insight Nigel Lin.

Dr Chiew berkata, keengganan untuk diuji bagi demensia merupakan isu biasa, dan ia sangat membimbangkan apabila pesakit tidak menyedari mereka mengalami gejala, walaupun anggota keluarga mereka menyedarinya.

Dr Chiew menambah bahawa 20 hingga 30 peratus pesakit yang mengalami gangguan kognitif ringan mungkin mengalami demensia selepas tiga tahun, bergantung kepada cara mereka menguruskan faktor-faktor risiko.

Pesakit yang menghidap demensia awal cenderung menjadi teruk lebih cepat berbanding demensia yang dihidapi pesakit lebih tua, tambah Dr Chew.

Hampir 95 peratus responden tahu bahawa demensia boleh menjejas mereka yang berumur bawah 65 tahun. Namun responden kurang tahu tentang pelbagai gejala yang boleh dialami mereka yang menghidap demensia.

Antara gejala demensia yang dapat dikenal pasti sebahagian besar responden termasuk mudah lupa, kesukaran melaksanakan tugas mudah dan sukar mengingat satu-satu perkataan.

Sekalipun demikian, kurang separuh menyebut perubahan mood, menjauhi orang ramai atau mengasingkan diri, kecelaruan kemahiran motor, masalah untuk melihat atau mengesan objek, rasa gelisah, pening atau sakit kepala, yang juga antara gejala demensia.

Dr Chiew dari NNI berkata, walaupun keluarga yang mempunyai sejarah menghidap demensia merupakan faktor yang tidak boleh ditukar, orang ramai boleh mengambil tindakan ke atas faktor risiko lain.

Ini termasuk faktor kardiovaskular seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. Faktor gaya hidup seperti merokok, meminum alkohol, kurang melakukan aktiviti fizikal dan mengasingkan diri daripada orang lain juga boleh menyumbang kepada demensia.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan