Skip to main content

Singapura

Separuh produk online yang dakwa 'mesra alam' kurang bukti sokongan: kajian CCCS-NUS

Anggaran Waktu Membaca:
Separuh produk online yang dakwa 'mesra alam' kurang bukti sokongan: kajian CCCS-NUS

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 18 Nov 2023 11:19PM
SINGAPURA: Lebih kurang separuh produk di wadah online membuat dakwaan samar-samar sebagai "mesra alam" yang tidak mempunyai butiran sokongan, menurut satu kajian yang dibiayai badan pemerhati pengguna Singapura.

Kajian mengenai "greenwashing" di laman web e-dagang juga mendapati bahawa kira-kira satu daripada tujuh dakwaan mengenai produk online, atau 14 peratus, menggunakan bahasa teknikal yang sukar difahami pengguna atau mengesahkan dakwaan tersebut.

"Greenwashing" merujuk kepada taktik yang digunakan oleh perusahaan untuk 'mengelabui' pelanggan agar percaya bahwa produk, layanan, atau misi organisasi mereka bertujuan untuk melindungi alam sekitar.

Penemuan itu terkandung dalam kajian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada Khamis (16 Nov).

Penyelidik dari Pusat Tadbir Urus dan Kemampanan di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata mereka menyemak produk di 100 laman web e-dagang.

Dalam satu kenyataan media, CCCS berkata dakwaan seperti "mesra alam", "hijau" dan "mampan" selalunya samar-samar dan membuat orang percaya lebih daripada faedah sebenar produk berkenaan.

Ia mendapati bahawa 51 peratus produk dalam wadah online yang diperiksa membuat dakwaan samar-samar sebagai mesra alam yang tidak mempunyai butiran sokongan atau butiran.

"Sebagai contoh, dakwaan daripada pembekal bahawa produknya 'mesra alam' atas dasar produk itu diperbuat daripada 10 peratus bahan kitar semula mungkin mengelirukan jika ia dipasarkan untuk memberi pengguna tanggapan bahawa produk itu diperbuat daripada 100 peratus bahan kitar semula," tambah CCCS.

Contoh istilah teknikal yang digunakan untuk mengelirukan pelanggan termasuk melabelkan produk yang diperbuat daripada plastik ABS atau EVA sebagai mesra alam, walaupun kedua-duanya adalah plastik berasaskan petroleum.

Dalam membuat dakwaan itu, CCCS menasihatkan pembekal untuk memberi maklumat lebih khusus dan mengemukakan sebarang maklumat sokongan dengan tepat dan jelas.

Ia menambah bahawa pembekal harus mengelak daripada membuat dakwaan yang "memberi anggapan atau gambaran keseluruhan bahawa manfaat produk itu kepada alam sekitar adalah lebih daripada yang sebenarnya".

CCCS juga menasihatkan pembekal agar menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami oleh pengguna, dan menerangkan maksud atau implikasi istilah teknikal.

"Untuk menangani perkara ini dan tindakan lain oleh pembekal yang dikenal pasti dalam kajian NUS itu, CCCS sedang membangunkan satu set garis panduan untuk memberikan penjelasan kepada pembekal mengenai dakwaan sesuatu produk itu mesra alam sekitar yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna (Perdagangan Adil)."

Ia juga akan mendapatkan pandangan orang ramai mengenai garis panduan itu "dalam masa terdekat".

Bagi pengguna, CCCS menasihatkan mereka untuk mengambil langkah bagi memahami maksud di sebalik dakwaan mesra alam sekitar, sekali gus membolehkan mereka membuat pembelian yang lebih bijak.
Sumber : Today/SU/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita