Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Seoul Garden di Tampines Mall ditutup sehari selepas kes COVID-19 dilaporkan

Seoul Garden menutup cawangannya di Tampines Mall pada Jumaat (27 Nov) setelah pihak berkuasa mengumumkan bahawa seorang lelaki yang diuji positif COVID-19 makan malam di restoran itu bersama 12 ahli keluarganya pada minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Seoul Garden di Tampines Mall ditutup sehari selepas kes COVID-19 dilaporkan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 27 Nov 2020 10:52PM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 10:55PM

SINGAPURA: Seoul Garden menutup cawangannya di Tampines Mall pada Jumaat (27 Nov) setelah pihak berkuasa mengumumkan bahawa seorang lelaki yang diuji positif COVID-19 makan malam di restoran itu bersama 12 ahli keluarganya pada minggu lalu.

Lelaki warga tempatan berusia 32 tahun itu dan keluarganya duduk di tiga meja di restoran berkenaan pada 21 Nov, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (26 Nov), sambil menambah terdapat pergaulan antara kumpulan.

Lelaki berkenaan diuji positif COVID-19 pada 25 Nov, sekali gus menjadi kes pertama dalam masyarakat selepas lebih dua minggu.

"(Kami sudah) menutup cawangan di Tampines Mall bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman oleh sebuah syarikat pembersihan profesional yang diluluskan NEA," kata Pengurus Besar Seoul Garden Group Garry Lam dalam satu kenyataan pada Jumaat.

"Setiap usaha dilakukan untuk memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa restoran terbabit selamat untuk mereka menjamu selera dan memberi ketenangan kepada mereka apabila cawangan itu dibuka semula esok."

Encik Lam menambah bahawa mereka dimaklumkan mengenai kes positif COVID-19 itu pada Khamis malam.

"Sudah enam hari sejak individu itu mengunjungi cawangan tersebut. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami membuat aturan bagi kakitangan kami menjalani ujian," katanya.

Menjawab pertanyaan Mediacorp berhubung sama ada keluarga itu dibenarkan duduk di tiga meja kerana mereka dari keluarga yang sama, dan sama ada pekerja dilatih untuk menguruskan tempahan atau pelanggan yang datang dalam kumpulan yang besar, Encik Lam berkata: "Restoran kami tidak membenarkan kumpulan terdiri lebih daripada lima orang untuk duduk dalam restoran."

Apabila ditanya tentang langkah-langkah pengurusan selamat yang dikuatkuasakan bagi memastikan pelanggan tidak bergaul antara satu meja kepada meja yang lain, Encik Lam merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan.

"Kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa kami telah berusaha sedaya upaya untuk mematuhi dan melaksanakan langkah jarak selamat yang ditetapkan oleh Enterprise Singapore (ESG), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Agensi Makanan Singapura (SFA), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) bagi kedai F&B," menurut kenyataan itu.

"Langkah-langkah ini termasuk pengurusan tempat duduk dan meja tidak lebih lima orang, pengurusan pelanggan yang beratur, jejak kontak serta amalan kebersihan," tambahnya.

"Memandangkan kami terletak di dalam pusat beli-belah, semua pengunjung menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum dibenar masuk ke dalam pusat beli-belah."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan