Skip to main content

Singapura

Seorang wanita dibawa ke hospital selepas "diserang" babi hutan di Yishun

Anggaran Waktu Membaca:
Seorang wanita dibawa ke hospital selepas "diserang" babi hutan di Yishun

(Gambar: Carrie Tan/Facebook)

Diterbitkan : 10 Mar 2022 08:37PM

SINGAPURA: Seorang wanita  dibawa ke hospital dalam satu kejadian melibatkan seekor babi hutan di Yishun pada petang Rabu (9 Mac). 

Babi hutan berkenaan melanggar seorang pejalan kaki di tempat terbuka di Khatib, berdekatan Blok 844 Yishun Street 81, menurut Anggota Parlimen Carrie Tan (PAP-Nee Soon). 

"Kejadian ini amat mengejutkan kerana tempat itu selalunya sesak dengan orang ramai dan babi hutan lazimnya tidak berkeliaran di tempat-tempat sesak," menurut Cik Tan dalam satu catatan Facebook pada Khamis (10 Feb).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia menerima panggilan meminta bantuan di Blok 846 Yishun Ring Road pada kira-kira 6.50 petang  Rabu (9 Mac). 

Seorang wanita dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat, menurut SCDF. 

Majlis Bandaran Nee Soon "dengan pantas mengerahkan" anggota kakitangannya untuk mencari babi hutan tersebut, menurut Cik Tan lagi. 

Menteri Negara Pembangunan Negara, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga merupakan AP GRC Nee Soon, dalam catatan di Facebook berkata babi hutan itu lari ke arah Taman Yishun dan "mencederakan beberapa penduduk" sebelum memasuki taman tersebut. 

Profesor Madya Faishal menambah bahawa beliau sedang bekerja rapat dengan Persatuan Rakyat (PA) dan sukarelawan akar umbi untuk membantu penduduk yang cedera. 

Pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) sedang mencari haiwan itu di Taman Yishun, yang ditutup sementara untuk keselamatan awam, tambah Profesor Madya Faishal menerusi catatan Facebooknya pada 4.53 petang. 

"Saya berharap penduduk yang cedera itu cepat pulih dan saya akan berjumpa dengan pemilik kedai di Khatib sebaik sahaja diuji negatif COVID-19 dan boleh menamatkan tempoh pengasingan diri supaya dapat menjalankan tugas saya," kata Cik Tan, yang diuji positif COVID-19 baru-baru ini. 

Tambahnya lagi, duta-duta estet majlis bandaran dan pekerja pembersihan di estet tersebut sudah diberi arahan untuk mengawasi jika babi hutan itu datang ke blok-blok berdekatan.  

Kedua-dua AP itu juga menggesa orang ramai supaya kekal bertenang dan jauhi diri dengan perlahan-lahan sekiranya bersemuka dengan babi hutan. 

"Jangan mendekati atau cuba memberi makan kepada haiwan itu. Berdiri pada jarak yang selamat dan jangan kacau haiwan itu," menurut Cik Tan. 

"Jika anda terlihat babi-babi hutan dewasa dengan anaknya biarkan mereka. Haiwan ini lebih berbahaya kerana mungkin cuba melindungi anak-anaknya."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita