‘Seorang tokoh perintis’: Bekas dekan fakulti undang-undang NUS, Thio Su Mien meninggal dunia pada umur 86 tahun
Dr Thio Su Mien, 86 tahun, dekan wanita pertama Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pengasas bersama TSMP Law Corporation meninggal dunia pada Isnin (30 Jun).
Dr Thio Su Mien, 86 tahun, dekan wanita pertama Fakulti Undang-Undang Universiti Nasional Singapura (NUS) dan pengasas bersama TSMP Law Corporation meninggal dunia pada Isnin (30 Jun).
Dalam satu kenyataan, TSMP menyifatkan mendiang sebagai tokoh perintis dalam landskap perundangan Singapura dan menghargai sumbangan besar beliau dalam dunia akademik undang-undang.
"Rakan-rakan kongsi TSMP Law Corporation dengan dukacita memaklumkan pemergian pengasas kami yang dihormati, Dr Thio Su Mien. Sumbangan beliau kepada bidang undang-undang dan masyarakat meninggalkan kesan yang mendalam," kata firma guaman tersebut.
"Legasi Dr Thio sebagai pendidik, pengamal dan peguam bela akan terus dikenang oleh rakan sekerja, para pelajar dan komuniti perundangan yang lebih luas."
Dilahirkan pada 1938, Dr Thio adalah antara kumpulan pertama pelajar undang-undang Universiti Malaya, yang kini dikenali sebagai NUS. Beliau menamatkan pengajian pada 1961 dan kemudian berkhidmat sebagai dekan Fakulti Undang-Undang dari 1969 hingga 1971.
Dalam satu catatan Facebook pada Isnin, Menteri Undang-Undang Edwin Tong memberi penghormatan kepada Dr Thio. Beliau menyifatkan Dr Thio sebagai tokoh yang dihormati dalam kerjaya guaman Singapura.
Melahirkan rasa dukacita terhadap pemergiannya, Encik Tong berkata bahawa Dr Thio "menetapkan standard tertinggi bagi kecemerlangan, integriti dan dedikasi kepada bidang itu sepanjang kerjayanya."
Beliau turut menekankan bahawa Dr Thio bukan sahaja dekan wanita pertama Fakulti Undang-undang NUS dari Singapura, tetapi juga merupakan individu termuda memegang jawatan tersebut pada waktu itu.
"Dr Thio merupakan contoh teladan bagi ramai daripada kita," tulis menteri itu.
"Beliau memimpin dengan memberi contoh, dengan etika kerja yang tiada cacat cela, dan meninggalkan legasi serta menjadi contoh cemerlang untuk ramai peguam wanita selepas beliau, membuktikan bahawa lelaki dan wanita sama-sama mampu cemerlang dan memberi sumbangan besar dalam bidang perundangan dan kepada masyarakat secara keseluruhan."
Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam turut mengatakan dalam satu hantaran Instagram bahawa pemergian Dr Thio merupakan "hari yang menyedihkan bagi industri guaman".
PENGASAS BERSAMA FIRMA GUAMAN TSMP
Selepas menamatkan kerjaya beliau dalam bidang akademik, Dr Thio menyertai sektor guaman swasta. Beliau menyertai Drew & Napier, dan mengetuai jabatan korporat sebagai rakan kongsi kanan sebelum dilantik sebagai rakan pengurusan firma itu.
Peguam dan ahli politik pembangkang Lim Tean, yang menyertai Drew & Napier pada 1990, mengucapkan takziah kepada keluarga Dr Thio menerusi Facebook.
"Saya akan meningatinya sebagai seorang yang sangat baik hati dan berani menzahirkan pegangannya secara terbuka," tulis beliau.
Pada tahun 1998, Dr Thio dan Cik Tan Bee Lian menubuhkan Thio Su Mien & Partners, kini dikenali sebagai TSMP Law Corporation.
Menurut firma tersebut, Dr Thio telah merintiskan inisiatif pro bono firma itu, dengan menetapkan supaya 10 peratus keuntungan firma disumbangkan kepada golongan kurang bernasib baik. Para peguam firma itu kini turut melibatkan diri dalam kerja pro bono selama 25 jam setiap tahun.
Dr Thio meninggalkan seorang anak lelaki, yang merupakan peguam kanan dan pengarah pengurusan bersama TSMP, Thio Shen Yi, serta dua orang anak perempuan – profesor undang-undang NUS dan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Thio Li Ann, dan Cik Thio Chi Ann.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.