Seorang atlit-pelajar Sekolah Sukan meninggal dunia selepas tidak sihat semasa latihan

Gambar: Raj Verma
SINGAPURA: Sekolah Sukan Singapura akan menjalankan siasatan dan semakan ke atas protokol-protokol keselamatan, selepas seorang atlit-pelajar meninggal dunia selepas tidak sihat semasa latihan.
Pranav Madhaik merupakan sebahagian daripada Akademi Badminton sekolah tersebut.
Mendiang berusia 14 tahun.
Ini adalah kali pertama seorang atlit pelajar meninggal dunia semasa latihan di Sekolah Sukan.
Pranav Madhaik merupakan atlit belia yang berpotensi dan anggota pasukan badminton belia kebangsaan.
Sekolah Sukan menyatakan mendiang sedang membuat persiapan bagi kejohanan belia di Chengdu Khamis lalu, ketika kejadian berlaku.
Mendiang mengadu tidak sihat selepas ujian kecergasan 400 meter.
Dia kemudian dibawa ke Hospital Universiti Nasional bagi rawatan tetapi meninggal dunia enam hari kemudian.
Ditanya tentang butiran garis masa kejadian itu, Sekolah Sukan enggan mengulas kerana siasatan masih dijalankan.
Tetapi dalam satu kenyataan, ia menyatakan kebajikan berterusan para atlit pelajar adalah keutamaannya.
Ia menambah telah menyokong dan akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mendiang.
Para kaunselor dan kakitangan sekolah itu juga memberikan sokongan kepada para atlit pelajar, jurulatih dan kakitangan yang terjejas semasa tempoh sukar ini.
Puluhan kakitangan dan pelajar Sekolah Sukan hadir di pusat pembakaran mayat Mandai petang tadi untuk menghadiri upacara yang turut dihadiri pihak keluarga dan sahabat handai.
Mereka mengingati mendiang sebagai seseorang yang komited dan minat dalam badminton.
Menurut bapa mendiang, Prem Singh, anaknya cintakan badminton sehingga tahun lalu mereka ke India selama satu setengah bulan. Dan mendiang tidak ikut mereka dan sebaliknya tinggal di sini seorang kerana mahu mengambil bahagian dalam pertandingan dan kekal berdaya saing.
"Dan mendiang menguruskan semuanya sendiri," kata bapanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.