Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sentuhan pereka fesyen Sufyaa, Rina Tahar serlahkan pesona busana Presiden Halimah Yacob

Anggaran Waktu Membaca:
Sentuhan pereka fesyen Sufyaa, Rina Tahar serlahkan pesona busana Presiden Halimah Yacob

Pengasas dan pereka Sufyaa, Rina Taha. (Gambar: CNA/Joyee Koo dan Sufyaa)

Diterbitkan : 19 Apr 2023 03:23PM Dikemas Kini : 19 Apr 2023 03:26PM

SINGAPURA: Dinamakan sempena nama anak perempuannya, pengasas dan pereka Sufyaa, Rina Tahar, berjaya mengubah pandangan kita tentang busana tradisional Melayu.

Harga rekaannya bermula dari S$250 dan boleh mencecah ribuan dolar, bergantung kepada bahan yang dipilih dan perincian yang diberikan. Malah pelanggannya bukan sahaja wanita berstatus atau pengantin perempuan, beliau juga menghasil pakaian untuk seisi keluarga dan juga untuk acara 'prom' bagi remaja.

s
Sebuah keluarga yang memakai busana Sufyaa. (Gambar: Sufyaa)

Pereka yang terlatih dari segi seni bina ini – bekerja di HDB (Lembaga Pembangunan dan Perumahan) selama 15 tahun – memulakan Sufyaa pada 2011 selepas meninggalkan pekerjaan korporatnya dan berpindah ke Belanda di mana suaminya bekerja di sana.

“Saya baru sahaja melahirkan anak lelaki saya, jadi saya sedang cuti bersalin ketika itu. Jadi katakan sahaja saya mengambil cuti bersalin lanjutan,” seloroh beliau.

Tetapi bagaimana beliau menceburi bidang rekaan fesyen?


“Saya sebenarnya mahu menceburi bidang fesyen kerana saya rasa saya mempunyai bakat dalam bidang itu. Tetapi ibu saya, seperti ibu bapa Asia yang lain, mahukan lebih untuk anak perempuannya. Ibu mempunyai impian yang lebih baik untuk saya daripada menyertai bidang itu, jadi saya memilih seni bina. Tetapi saya tidak pernah meninggalkan impian fesyen saya,” kongsi Rina.

KECEWA DENGAN PILIHAN TERHAD

Rina berkongsi dengan jujur bahawa beliau memulakan perniagaannya sebahagiannya kerana terpaksa. “Berada di Belanda, dengan pilihan terhad untuk wanita berhijab seperti saya, saya perlu bersikap kreatif dengan melapiskan dan menyusun pakaian. Setiap kali saya membeli pakaian, saya perlu memanjangkannya, meletakkan lapisan atau mengubah suai sesuatu. Usaha sentiasa diperlukan untuk menjadikannya sesuai untuk gaya hidup saya,” jelasnya.

Kecewa dengan pilihan yang terhad, dan menggunakan perjuangan dan pengalamannya semasa bertugas dalam dunia korporat dan di Belanda, beliau memutuskan untuk menghasilkan busana sopannya sendiri. “Saya mahu mencari cara untuk menggabungkan fesyen dan gaya hidup saya.”

s
Pengasas dan Pereka Sufyaa, Rina Tahar. (Photo: CNA/Joyee Koo)
Beliau menghantar sampel kepada pengilang yang ditemuinya di China, dan menghantar pakaian yang telah siap itu ke Singapura di mana seorang rakan karibnya membantunya menjalankan perniagaan itu di sini.

“Saya bernasib baik ketika itu kerana industri pengilangan di China masih baru. Terdapat kelebihan seperti MOQ (kuantiti pesanan minimum) yang lebih rendah, yang sangat berkesan untuk saya,” katanya.

Pada mulanya, Rina berkongsi bahawa beliau mula mereka pakaian dengan mengambil kira musim yang berbeza, seperti menggandingkan but 'high cut' dengan 'dress' dan 'legging'. “Ia adalah konsep yang tidak sepatutnya berjaya menarik pelanggan di Singapura, tetapi entah bagaimana pakaian itu masih terjual.”

Rina juga melakukan penggambaran untuk koleksinya di Belanda, memberikan jenama itu kelebihan dan suasana yang lebih bersifat antarbangsa berbanding yang biasa dilihat oleh para pelanggan di Singapura.

Beliau juga melancarkan koleksi musiman seperti Resort by Sufyaa, di mana warnanya berinsipirasikan lautan.

Dan kerana beliau tidak berpangkalan di Singapura, Rina melancarkan Sufyaa secara online selepas mendapat insipirasi daripada landskap e-dagang di Eropah.

Walaupun membeli-belah secara online masih di peringkat awal di Singapura, ia menjadi cara hidup penduduk negara-negara Barat kerana saiz negara masing-masing yang luas. “Saya terfikir sendiri bahawa ia boleh menjadi peluang yang baik kerana saya tidak berada di Singapura secara fizikal.”

Sebagai seorang warga Singapura yang bangga, beliau ingin menyuntik semangat kekitaan pada jenamanya dan memilih untuk memasukkan “.com.sg” untuk lelaman web itu. Saya menambah ‘SG’ kerana saya ingin memberi jaminan kepada pelanggan saya bahawa anda masih membeli daripada jenama Singapura.
Hubungan Singapura inilah yang membawa kepada panggilan daripada pusat beli-belah tempatan Century Square apabila beliau kembali ke tanah air pada 2012, yang membolehkan Rina membuka kedai fizikal pertamanya. “Boleh katakan ia bukan sebuah kedai pun, ia hanya sebuah kereta sorong di Century Square di Tampines. Tetapi ia adalah satu titik permulaan.”

Perniagaan semakin berkembang dan beliau membuka kedai utama pertamanya di Tanjong Katong Complex, disusuli dengan kedai-kedai di Arab Street dan North Bridge Road.

SUFYAA BESPOKE: DARI SEDIA DIPAKAI KE HAUTE COUTURE

Bagi lima tahun pertama, termasuk masa di Eropah, Rina bekerja keras, menghasilkan koleksi baru setiap tiga bulan.

Dan sementara perniagaan itu berjalan dengan lancar pada mulanya, beliau menyedari bahawa dunia fesyen semakin berubah dengan ledakan e-dagang dan peningkatan pada bilangan jenama fesyen di pasaran. Fesyen semakin bergerak pantas dan Rina mendapati sukar untuk mengikuti permintaan dan trend yang kian berubah-ubah.

Keputusan muktamad untuk menghentikan perniagaan sedia pakainya dibuat apabila mendapat tahu bahawa kilang di China sedang membuat salinan rekaannya untuk jenama lain.

Pada 2016, beliau memutuskan untuk beralih kepada khidmat ikut pesanan, menghasilkan reka bentuk yang unik dan khusus.

“Saya meminati fesyen, saya tahu saya boleh melukis, dan jika ia berlaku, saya tahu saya boleh melakukan semula semua perkara ini dari mula. Jadi saya berusaha untuk mencari identiti saya semula,” katanya.

Tetapi ia bukan tanpa halangannya. Pada permulaannya, Rina berkongsi bahawa beliau juga menggalak para pelanggannya supaya membawa masuk fabrik mereka sendiri. “Saya memerlukan perniagaan itu menjadi sangat organik dan ringkas kerana saya masih menanggung hutang daripada koleksi sedia untuk dipakai saya. Dan satu-satunya cara untuk berbuat demikian adalah dengan meminta orang ramai membawa masuk fabrik mereka sendiri, kerana ini bermakna saya tidak perlu membeli fabrik yang hanya akan menambah kos saya. Sebaliknya, saya hanya mengenakan bayaran menghasilkan rekaan kepada pelanggan.”

Berita baiknya ialah jika anda ingin mendapatkan pakaian Sufyaa yang lain daripada yang lain, anda tidak perlu membawa fabrik anda kepadanya sekarang. Studio Rina dipenuhi dengan pelbagai warna fabrik.

Dan antara semua kain yang dimilikinya, yang mendapat tempat yang istimewa di hatinya adalah sejenis kain yang mempunyai benang emas atau perak yang diselitkan di antara benangnya yang dipanggil songket.

Sebenarnya, itulah yang menyerlahkan Sufyaa.

Fabrik tradisional Malaysia, memerlukan kerja intensif, tenunan tangan – mengambil masa kira-kira empat hari untuk menenun kain yang mencukupi untuk membuat pakaian – dibuat di Kelantan dan Terengganu.

“Ia adalah kain yang sangat dekat di hat masyarakat Melayu, dan terdapat tahap status yang ditandakan pada kain ini. Ia hanya dipakai oleh kerabat diraja pada zaman dahulu. Jadi apabila anda memakai songket, ia serta-merta menaikkan keseluruhan pesona anda,” jelas Rina.
Gambar: Sufyaa
Dan walaupun songket sering digunakan untuk pakaian majlis-majlis khas, Rina telah menemui cara untuk menggabungkannya ke dalam reka bentuk yang lebih kasual, seperti gaya kardigan yang boleh anda pakai dengan seluar jeans. “Saya perlu bertanya kepada diri sendiri bagaimana cara saya menjadikannya berkesan untuk masyarakat, untuk orang biasa seperti anda dan saya. Kerana ia bukan jenis kain yang kebanyakan orang mahu pakai setiap hari.”

Mujur, cara menggunakan songket tidak terhad tambahnya. “Anda boleh menambah lapisan padanya, anda boleh meletakkan sesuatu di atasnya, terdapat banyak ruang untuk mencuba.”

Lebih penting lagi, “songket adalah fabrik yang tidak boleh dikeluarkan secara besar-besaran kerana ia tidak dicetak,” katanya sambil berkongsi mengapa ia merupakan fabrik pilihannya. Dan dengan apa yang beliau lalui sebelum ini, kami tidak boleh menafikannya.

Bekerja dengan fabrik unik ini bukan sahaja memberikan identiti kepada Sufyaa, tetapi ia juga membezakan jenama itu daripada jenama-jenama lain. “Begitulah cara saya meningkatkan jenama, beralih daripada sesuatu yang biasa kepada sesuatu di tahap yang berbeza.”

REKAAN IKUT KEPERIBADIAN PELANGGAN

“Saya mengambil masa untuk mendengar semua orang dan mereka bentuk pakaian mengikut personaliti mereka,” katanya apabila ditanya apakah yang membezakan Sufyaa.

Jadi walaupun keluarga besar yang memakai kain yang sama, saya masih mencari cara untuk menambah butiran berbeza yang akan melambangkan pemakai rekaan itu, jelasnya. Ia juga bermakna bahawa Rina perlu menjadi orang tengah dari semasa ke semasa, cuba mencari keseimbangan yang tepat dalam rekaan yang akan menggembirakan kedua-dua pelanggan muda dan tua. “Ini semua tentang keseimbangan dan bagaimana saya boleh membuat kedua-dua pihak teruja dengan pakaian mereka, jadi ia adalah situasi di mana kedua-duanya menang.”

Tidak menghairankan jika Sufyaa menjadi kegemaran dan pilihan bukan sahaja orang biasa tetapi juga para selebriti.

Salah seorang pelanggan terkenal ialah Presiden Singapura Puan Halimah Yacob.

“Saya bertuah dapat bertemu dengannya ketika beliau masih menjadi Speaker Parlimen ketika itu melalui AMP. Mereka sedang mengadakan majlis jamuan malam dan Puan Halimah menjadi tetamu terhormat. Dan kerana saya telah bekerja dengan mereka buat seketika, saya bertanya sama ada saya boleh mereka pakaian untuknya, dan mereka menjawab ya.”
Presiden Halimah tampil dalam busana Sufyaa. (Gambar: Sufyaa)
Untuk membawa kesan, Rina memutuskan untuk menyuntik kelainan dan menggayakan Puan Halimah dengan dress songket hijau zamrud untuk majlis jamuan malam itu. “Puan Halimah jarang memakai dress, jadi saya rasa ini adalah peluang untuk saya membawanya keluar dari zon kebiasaannya. Saya memberitahunya: ‘Saya akan menggayakan anda dengan dress’ dan beliau berkata ‘Saya tidak memakai dress’. Bagi saya, ‘Itulah sebabnya mengapa anda harus mencuba dress’. Tetapi ia juga kerana ia adalah Sufyaa dan saya mahu memberikan beliau penampilan yang lebih feminin. Beliau agak ragu-ragu pada mulanya tetapi beliau kelihatan sangat cantik memakainya.”
Gambar: Sufyaa
Jadi adakah Presiden menyukainya?

“Saya terus bekerjasama dengannya selama bertahun-tahun sejak itu, jadi saya rasa saya boleh mengatakan bahawa beliau menyukainya,” jawab Rina sambil ketawa.

Jika anda fikir mereka dan menggayakan pakaian untuk Presiden sangat mencabar, fikirkan semula. Beliau turut berkongsi bahawa rekaan yang paling mencabar adalah untuk salah seorang selebriti di Malaysia, Seri Vida.

“Ia sukar kerana saya tidak dapat bertemu dengannya. Semuanya dilakukan dari jauh. Tambahan pula, beliau (Seri Vida) agak berbeza dengan rekaan saya, Sufyaa lebih lembut dan lebih sederhana. Saya terpaksa mereka pakaian itu mengikut keperibadiannya, dan beliau mempunyai personaliti yang besar. Tidak dapat berjumpa dengannya juga adalah satu cabaran besar kerana saya tidak dapat melakukan apa-apa untuk melihat bagaimana pakaian itu kelihatan padanya secara fizikal.”

MEMULAKAN KERJAYA SEMASA MINGGU FESYEN SOPAN

Anda mungkin pernah terdengar tentang Minggu Fesyen New York, Milan dan London tetapi adakah anda sedia maklum tentang Minggu Fesyen Sopan Antarabangsa? Sufyaa merupakan satu-satunya jenama pakaian sopan dari Singapura yang dipamerkan di sana selama tiga tahun berturut-turut.
Busana Sufyaa yang diperagakan di Minggu Fesyen Sopan. (Gambar: Sufyaa)
Minggu Fesyen Sopan, menurut Rina, adalah acara yang lebih santai dan sederhana di mana pereka pakaian sopan dari seluruh dunia berhimpun.

Pertunjukan minggu fesyen pertamanya adalah di London, diikuti oleh Indonesia dan Malaysia.

Pada tahun 2019, sejurus sebelum COVID-19 menjejas seluruh dunia, beliau juga diundang ke Turki untuk satu lagi konvensyen fesyen sopan.

Beliau percaya bahawa peluang ini berkat kehadirannya yang berterusan dalam pasaran online. “Sekalipun saya sudah menghentikan pakaian siap pakai saya, saya masih aktif memajukan jenama Sufyaa di laman web dan media sosial. Dan saya benar-benar berpendapat bahawa ia telah membantu jenama saya mendapat kesedaran dan tarikan.”

MENGGABUNGKAN PELBAGAI BUDAYA MENJADI SATU

Jelas sekali Rina amat mesra dengan para pelanggannya.

“Melalui kerja-kerja majlis perkahwinan, saya telah bertemu dengan lebih ramai orang yang berkahwin dengan kaum lain. Jadi saya mendapat permintaan untuk menyelitkan sesuatu daripada latar belakang pengantin perempuan atau pengantin lelaki ke dalam pakaiannya, yang saya melakukannya dengan rendah diri. Lagipun, saya mereka mengikut keperluan individu dan mahu menghasilkan sesuatu yang benar-benar melambangkan mereka.”

Hasilnya: Pakaian yang menggabungkan keunikan sari India, cheongsam Cina malah kimono Jepun hanbok Korea.

Rina turut berkongsi bahawa beliau juga mendapat permintaan daripada tetamu majlis perkahwinan yang inginkan sesuatu yang istimewa dan unik untuk memperingati majlis tersebut.

Dan dengan carian menggunakan perkataan 'sopan' di Google’, beliau turut berkongsi bahawa beliau menerima permintaan daripada wanita bukan Islam yang mahukan gaun untuk majlis perkahwinan mereka di gereja..

MASA DEPAN SUFYAA

Hari ini, Rina mempunyai pelanggan dari seluruh dunia, termasuk Australia dan New Zealand, selain Asia Tenggara. Dan beliau adalah satu-satunya pereka fesyen yang bertemu dengan para pelanggan untuk menghasilkan rekaan buat mereka.

Dengan berbuat demikian, beliau dapat terus membina kepercayaan dengan para pelanggannya. Tetapi sudah tentu, ini tidak bermakna bahawa beliau tidak dapat berehat. Rina mempunyai anak saudaranya yang bekerja dengannya, yang bersedia untuk meneruskan apa saja yang sudah dibina selama ini untuk Sufyaa. “Ia adalah satu perniagaan keluarga dan saya juga sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan rapat dengan keluarga saya. Ikatan kekeluargaan ini sangat dialu-alukan.”

Apabila ditanya tentang masa depan Sufyaa, pereka fesyen yang rendah diri itu berkongsi bahawa beliau berpuas hati dan gembira. “Kejayaan, saya fikir lebih daripada sekadar mahukan jenama anda menjadi lebih besar. Ia juga tentang kegembiraan dengan apa yang anda miliki dan sifat berdikari. Saya teruja melihat bagaimana perniagaan ini sangat organik. Saya sangat bertuah kerana saya dapat berkhidmat kepada pelanggan dan masyarakat saya dengan cara terbaik yang boleh saya usahakan,” katanya.

“Saya fikir detik paling membanggakan bagi saya adalah untuk memiliki suatu jenama yang kekal relevan dalam masyarakat dan masih boleh menyumbang semula setiap tahun. Tanpa pelabur, tanpa pinjaman, semuanya bergantung kepada anda. Itu sendiri, saya rasa, adalahi satu pencapaian bagi saya.”
 
Sumber : CNA/AW/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan