Sentuhan kreatif belia ini paparan multimedia NDP 2025 dari Padang ke Marina Bay
Syafiqah Sulaiman, yang merupakan lulusan Politeknik Nanyang (NYP), antara tenaga di sebalik visual berbilang media yang mengiringi persembahan NDP 2025, dari Padang, Marina Bay, hinggalah ke bangunan UOB Plaza. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Meskipun ini bukan kali pertama beliau diberi peluang keemasan untuk turut serta dalam NDP, penglibatan Syafiqah kali ini sememangnya cukup istimewa.
Apa tidaknya, anak muda berusia 20 tahun itu merupakan antara anggota pasukan Berbilang Media NDP 2025 yang bertanggungjawab menghasilkan pertunjukan cahaya dari Padang, merentasi Marina Bay, hinggalah ke bangunan UOB Plaza One.
Daripada pertunjukan yang diselaraskan buat pertama kalinya hinggalah ke pancaran cahaya di lokasi ikonik, NDP 2025 membawa pengalaman visual yang bersepadu untuk penonton di kedua-dua Padang dan sekitar Marina Bay.
Di Padang sahaja, pasukan Berbilang Media NDP 2025 bertanggungjawab menghiasi 270 skrin LED yang mengelilingi pentas utama seluas 15 meter. Pentas itu berputar di atas 47 roda, memberikan penonton pengalaman tontonan 360 darjah.
Para penonton di Padang turut dapat menikmati paparan visual menarik dari bangunan ikonik seperti The Fullerton dan UOB Plaza One.
Lebih menarik, setiap 27,000 penonton juga dilengkapi jalur pergelangan tangan khas yang menyala, menjadikan penonton sendiri sebahagian daripada kanvas multimedia NDP.
Walaupun Syafiqah merupakan anggota paling muda dan kurang berpengalaman berbanding rakan sepasukan yang lain, beliau tidak gentar menyahut cabaran itu.
Syafiqah malah, menganggapnya sebagai peluang untuk mengasah bakat, apatah lagi menjadi sebahagian daripada sambutan SG60.
Beliau ditawarkan tugas sebagai editor grafik berbilang media bagi NDP 2025, sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di NYP pada Mei lalu.
"Sebagai pereka grafik muda, saya bersyukur saya dapat peluang untuk bekerja untuk NDP 2025. Tahun ini adalah satu pencapaian baharu bagi Singapura dan ia sangat bermakna kepada ramai orang. Kami melakukan lebih banyak berbanding tahun-tahun lain," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Antara sumbangannya termasuk bendera Singapura yang mengiringi dendangan lagu Hari Kebangsaan di kemuncak NDP 2025 dan menganimasi lukisan artis tempatan Sam Lo bagi pertunjukan cahaya di bangunan UOB Plaza.
Untuk menghasilkan grafik dan animasi bendera yang menghiasi skrin LED di sekeliling Padang, misalnya mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu.
Lebih manis lagi, potret keluarga Syafiqah sendiri turut disertakan dalam salah satu visual yang mengiringi persembahan dendangan lagu klasik NDP, "Home", sekali gus menjadikan pengalaman kali ini lebih dekat di hatinya.
Menjalankan tugas berskala besar seperti ini pastinya bukan mudah. Namun, pengalaman serta bimbingan di NYP banyak membantu Syafiqah menghadapi cabaran tersebut.
Menurutnya, pendedahan awal melalui pelbagai projek di institusi itu, sedikit sebanyak memberinya keyakinan dan kemahiran praktikal yang sangat berguna dalam lapangan kerja sebenar.
Misalnya, penglibatan sulungnya dalam NDP2024, yang merupakan sebahagian daripada projek akhir tahun, membolehkannya mempraktikkan kemahiran dalam aspek prapenerbitan, termasuk perancangan reka bentuk dan animasi.
"Saya harap penonton NDP tahun ini menikmati grafik yang teah kami lakukan dengan usaha kami. Saya juga harap penonton tahun ini mendapat inspirasi dan juga memainkan peranan mereka masing-masing untuk Singapura," luahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.