Sentosa, Pulau Brani akan tawar pelbagai tarikan baharu mulai awal 2030-an
Para pengunjung Sentosa dan Pulau Brani bakal menikmati lebih banyak pengalaman riadah dan gaya hidup, daripada aktiviti menjelajah pulau kecil sepanjang pesisir pantai sejauh tiga kilometer hingga laluan kanopi hutan bertingkat, apabila pembangunan baharu dibuka mulai awal 2030-an.
Tarikan baharu itu merupakan fasa seterusnya di bawah Pelan Induk Greater Sentosa, yang akan dilaksanakan sepanjang dua dekad. Pelan induk tersebut didedahkan oleh Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) pada Jumaat (3 Jul).
Sebagai sebahagian daripada pelan itu, sebuah hab pengangkutan baharu yang dilengkapi dengan sistem trem akan menghubungkan kedua-dua pulau tersebut dan menjadi pintu masuk utama ke kawasan itu. SDC turut memaklumkan bahawa perkhidmatan teksi air sedang dipertimbangkan sebagai satu lagi pilihan pengangkutan.
Apabila siap kelak, kawasan Greater Sentosa yang merangkumi Sentosa dan Pulau Brani seluas 120 hektar dijangka menarik sekitar 32 juta pengunjung setiap tahun, iaitu dua kali ganda berbanding jumlah pengunjung Sentosa ketika ini.
Menyifatkannya sebagai "visi paling berani Sentosa setakat ini", Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu berkata pelan tersebut akan mentakrifkan semula kawasan itu sebagai "taman permainan pulau" Singapura dan menjadikannya "lebih meriah dan bertenaga serta lebih menarik berbanding sebelum ini".
Beliau berkata demikian semasa melancarkan satu pameran di VivoCity pada Jumaat (3 Jul), yang membolehkan orang ramai meninjau-ninjau pelan induk tersebut, menyusuri sejarah Sentosa serta berkongsi pandangan mengenai harapan mereka terhadap masa depan Greater Sentosa.
Pameran itu kemudian akan dipindahkan ke Hab Tampines Kita, Jurong Point dan Waterway Point sebelum kembali ke Sentosa pada Oktober.
Kata Cik Fu: "Sentosa mempunyai tempat yang istimewa dalam lubuk hati rakyat Singapura. Ramai antara kita mempunyai kenangan manis di sini – kunjungan keluarga ke pantai, lawatan sekolah, pelbagai sambutan bersama insan tersayang."
Beliau berkata walaupun pulau itu telah menjadi destinasi riadah bagi rakyat Singapura merentasi pelbagai generasi, Sentosa perlu terus memperbaharui pengalaman yang ditawarkan serta mengukuhkan daya tarikannya sejajar dengan peningkatan permintaan sektor pelancongan.
"Hari ini, kita bukan sekadar meraikan apa yang Sentosa ada hari ini. Kita sedang membayangkan semula potensinya untuk beberapa dekad akan datang – sebuah pulau yang ditransformasikan, saling terhubung dan mampan," kata beliau.
Pelan untuk menyepadukan Sentosa dan Pulau Brani pertama kali diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan 2019.
Sebagai sebahagian daripada pelan induk itu, SDC pada Jumaat (3 Jul) memaklumkan bahawa perjalanan ke pulau itu sendiri akan menjadi satu pengalaman yang unik.
Sistem monorel Sentosa Express yang sedia ada akan digantikan dengan sistem pengangkutan baharu, yang disebut sebagai "people-mover", yang menurut SDC akan menggunakan sistem trem dengan kapasiti lebih besar bagi menampung peningkatan jumlah pengunjung yang lebih ramai pada masa hadapan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SDC, Thien Kwee Eng, penggabungan dengan Pulau Brani akan mewujudkan "ruang untuk membayangkan pelbagai kemungkinan dan menawarkan pengalaman baharu yang akan mengukuhkan daya tarikan Singapura sebagai sebuah destinasi pelancongan."
MEREMAJAKAN SENTOSA
Pelbagai pengalaman dan konsep baharu sedang dikaji untuk pantai-pantai di Sentosa, termasuk rancangan untuk menghubungkan beberapa pulau kecil melalui laluan terapung bagi para pejalan kaki.
Pulau-pulau kecil itu dibina bagi mengurangkan kekuatan ombak supaya pantai tidak mengalami hakisan, dan pada masa ini sebahagian besarnya tidak boleh diakses oleh orang ramai.
Apabila siap kelak, para pengunjung berpeluang menjejakkan kaki ke pulau-pulau kecil itu buat pertama kali, selain bergerak dari satu pulau ke pulau yang lain sepanjang pesisir pantai Sentosa sejauh tiga kilometer sambil menikmati pemandangan dari dekat.
Antara cadangan lain termasuk pembinaan kelab pantai yang menampilkan pemandangan matahari terbit dan terbenam, selain ruang menjamu selera di atas pokok bagi menjadikan kawasan pantai lebih "meriah dan fleksibel" sepanjang hari.
Satu lagi mercu tanda baharu yang dikenali sebagai "Sensorium", yang menghadap pantai, turut dirancang. Ia akan menempatkan daya tarikan dalam bangunan serta ruang pelbagai guna bagi acara dan festival.
Di kawasan pedalaman pula, laluan kanopi hutan bertingkat berbumbung yang baharu, dikenali sebagai "Imbiah Lookout Walk", dijangka siap mulai awal 2030-an.
Turut dirancang ialah "Imbiah Canopy", sebuah lokasi di puncak "Mount Imbiah" yang akan menawarkan pilihan makanan dan minuman, ruang runcit serta ruang berbumbung untuk menganjurkan acara.
"Pembangunan mampan tidak mengehadkan cita-cita kita. Sebaliknya, ia menjadi asas yang membolehkan semua ini direalisasikan," kata beliau.
Berkaitan perkara tersebut, SDC memaklumkan bahawa pihaknya telah menjalankan kajian alam sekitar serta sesi libat urus dengan kumpulan pencinta alam bagi memastikan pengalaman baharu itu dirancang dengan teliti agar ia serasi dengan landskap semula jadi, kawasan hijau, pesisir pantai dan warisan Sentosa. Kajian lanjut juga akan dijalankan.
SDC turut memaklumkan bahawa beberapa perniagaan di Sentosa perlu ditutup bagi memberi laluan kepada pembangunan semula, dengan penutupannya dijadual bertepatan dengan tempoh akhir pajakan masing-masing.
Menurut SDC, tempoh notis yang mencukupi akan diberikan kepada pihak yang terjejas.
TARIKAN BAHARU BERSKALA BESAR DI BRANI BARAT
Di Pulau Brani pula, SDC memaklumkan bahawa kawasan barat pulau itu, atau Brani West, merupakan antara tapak terbesar yang dikenal pasti bagi pembangunan daya tarikan baharu.
Sesi libat urus bersama bakal rakan kongsi kini sedang dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkenalkan pengalaman baharu dan dipertingkatkan bagi mengukuhkan daya tarikan Greater Sentosa kepada para penduduk tempatan dan pelancong.
SDC bagaimanapun tidak mendedahkan pihak-pihak yang telah menyatakan minat terhadap Brani West, namun menyifatkan tarikan yang bakal dibangunkan itu sebagai "berupaya mengubah landskap pelancongan."
Pada 2019, mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata Pulau Brani berpotensi menempatkan daya tarikan seumpama Universal Studios Singapore, selain sebuah pusat peranginan baharu yang dikenali sebagai "Downtown South" untuk para anggota Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Pulau Brani kini menempatkan Terminal Pelabuhan Brani, namun operasi pelabuhan itu dijangka berpindah ke Tuas pada 2027.
Selain tarikan berskala besar itu, pelan induk berkenaan turut menggariskan rancangan untuk menghubungkan kawasan hutan di Pulau Brani, Serapong dan Imbiah pada masa hadapan, di samping mewujudkan laluan alam semula jadi yang dihubungkan dengan Southern Ridges di tanah besar Singapura.
Cik Fu berkata Pelan Induk Greater Sentosa merupakan visi Sentosa untuk mewujudkan destinasi bertaraf dunia yang boleh dibanggakan oleh rakyat Singapura.
"Ia akan menjadi tempat untuk kita menikmati pengalaman baharu, kembali mendekati alam semula jadi dan mencipta kenangan bersama keluarga serta rakan-rakan," kata beliau.
Sementara itu, Cik Thien berkata pelan induk tersebut akan membentuk masa depan Sentosa sambil mengekalkan keunikan yang sejak sekian lama menjadi kesukaan pengunjung.
"Kami mahu mencipta pengalaman bertaraf dunia bagi generasi akan datang yang diinspirasikan daripada pesisir pantai yang indah, kawasan hijau, warisan, suasana yang memberi ketenangan, serta identiti Singapura," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.