Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sentimen bercampur-campur peniaga Geylang Serai terima kunjungan pekerja hijrahan mulai Sabtu ini

Para peniaga kawasan Geylang Serai menjangkakan perniagaan mungkin lebih baik dan pelanggan di pasar Geylang Serai beratur panjang pada Sabtu dan Ahad ini (30 dan 31 Okt), setelah para pekerja hijrahan dibenarkan melawat ke sana.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para peniaga kawasan Geylang Serai menjangkakan perniagaan mungkin lebih baik dan pelanggan di pasar Geylang Serai beratur panjang pada Sabtu dan Ahad ini (30 dan 31 Okt), setelah para pekerja hijrahan dibenarkan melawat ke sana.

Ini menyusuli langkah pemerintah melonggarkan sekatan dan membenarkan sehingga 3,000 pekerja hijrahan dari dormitori-dormitori mengunjungi Little India dan Geylang Serai mulai Sabtu ini.

Namun demikian, Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Geylang Serai melahirkan rasa bimbang bahawa perniagaan di pasar itu sebenarnya boleh terhambat.

Menurut Bendahari persatuan tersebut, Encik Anwardeen Sulaiman, para pekerja hijrahan lazimnya sekadar suka "jalan-jalan" sahaja dalam pasar ini dan "tidak belanja".

Ini boleh menimbulkan masalah kerana bilangan pengunjung di pasar itu dihadkan kepada 300 pengunjung sahaja pada satu-satu masa.

Jadi para pengunjung yang benar-benar mahu ke pasar untuk membeli keperluan dapur perlu menunggu lebih lama.

"Kalau mereka (pekerja hijrahan) tak keluar, mereka duduk dalam jadi orang yang di luar itu nak beli barang kena tunggulah, kena beratur panjang.

"Hari Sabtu, hari Ahad kira sudah ada barisan. Tapi dengan adanya mereka, saya jangkakan lagi panjang beratur," kata Encik Anwardeen yang sudah lebih 20 tahun menganggotai persatuan itu.

Untuk membantu masalah beratur panjang, pihaknya juga sudah merujuk kepada pihak berkuasa.

"Kita (persatuan) sudah jumpa Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pasal perkara ini minta mereka tambahkan orang yang masuk di dalam pasar Geylang, tambahkan mereka punya orang (duta-duta jarak selamat) yang lebih, galakkan lebih orang masuk.

"Tapi NEA cakap pasal COVID-19, pasal penjarakan selamat, mereka terpaksa pertahan 300 orang sahaja," ujar Encik Anwardeen.

GERAI MAKANAN DIJANGKA RANCAK

Bagi gerai-gerai seperti Geylang Serai Oli yang menjual makanan India seperti Roti Prata dan Thosai di Pusat Penjaja Geylang Serai, nasibnya mungkin berbeza. Ia sebaliknya menjangkakan penjualan lebih rancak hujung minggu ini.

Pemiliknya, Encik Mohamed Ishak Oli, 41 tahun meramalkan bahawa perniagaannya akan meningkat sehingga 15 peratus dengan kedatangan semula para pekerja hijrahan.

"Sebelum pandemik ini, perniagaan kami dari pekerja hijrahan ada menyumbang 5 peratus hingga 10 peratus kepada perniagaan kami.

"Mungkin kami perlu lihat selepas minggu ini kalau perniagaan naik, kami perlu tambah stok, perlu bersedia untuk perniagaan itu. Dan juga tenaga kerja kami perlu ditambah," kata Encik Ishak yang mengendalikan kedai itu dari seawal 6.00 pagi setiap hari, bersama ibu dan isterinya.

Demi mengutamakan keselamatan diri dan orang ramai, Encik Ishak juga mengambil inisiatif untuk memasang pelekat-pelekat bagi mengingatkan para pelanggan supaya menjaga jarak selamat.

"Kita sekarang ini pegerai yang kita punya peniaga ada minggu-minggu kita ada pergi ujan swab. Jadi kita di pihak kami, kami ada buat langkah keselamatan. Pelanggan yang datang, kita akan nasihatkan mereka. Sebelum mereka beratur, kita suruh mereka buat penjarakan sosial," ujar Encik Ishak.

KEDAI PAKAIAN JANGKAKAN JUALAN NAIK 10%-15%

Perniagaan pakaian juga mengharapkan tempias positif kunjungan para pekerja hijrahan.

Encik Hashim Mohd Noor, 61 tahun dari Hashim Textile misalnya berharap perniagaannya naik 10 peratus kerana barangan seperti telekung, popular di kalangan pekerja Bangladesh.

"Untuk pekerja India dan Bangladesh mungkin selalu mereka beli macam sarung pelikat untuk mereka pakai sendiri. Kalau untuk pekerja Myanmar, Thailand, mereka beli kain batik.

"Adakala mereka nak hantar ke kampung mereka. Jadi mereka beli agak lebih sedikit dalam 10 hingga 20 helai untuk kirim ke kawan, untuk kirim ke kampung untuk saudara mara mereka," kata Encik Hashim, yang menjual pakaian dan kelengkapan ibadah.

Encik Hashim yang sudah hampir 40 tahun berniaga bagaimanapun tidak begitu 'mengharapkan' pembelian dari golongan pekerja hijrahan kerana majoriti pelanggannya masih lagi pembeli tempatan.

Dalam pada itu, BERITAmediacorp turut meninjau sentimen para peniaga di Tanjong Katong Complex dan City Plaza - dua lokasi popular di kalangan pekerja hijarahan dan pembantu rumah hijrahan.

Bagaimanapun menurut mereka pekerja hijrahan bukanlah penyumbang besar kepada penjualan mereka.

Justeru, buat masa ini, mereka tidak merasakan perniagaan akan begitu terjejas dengan program lawatan pekerja dormitori itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa