Skip to main content

Singapura

Seni pemasangan di MRT Kaki Bukit ini undang reaksi campur baur warga siber

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Papan tanda tulisan tangan "Selamat Datang ke Kaki Bukit" (“Welcome to Kaki Bukit”) yang terletak di stesen MRT Kaki Bukit menarik perhatian pengguna online Singapura.

Papan tanda itu, yang kelihatan seperti diconteng secara tergesa-gesa oleh seorang kanak-kanak, digelar oleh para pengguna Reddit sebagai satu tindakan "bagai melepaskan batuk di tangga" pada subreddit r/Singapura, Ahad lalu (2 Apr).

"Saya selalu fikir ini gara-gara seseorang telah secara tidak sengaja memadamkan kandungan sebenar pada papan tanda dan lukisan ini hanya sebagai menutup kesilapan itu," kata seorang pengguna Reddit.

Pemeriksaan lanjut oleh pengguna online mendedahkan bahawa tulisan pada papan tanda itu hakikatnya satu pemasangan video oleh pereka tempatan, Encik Hans Tan.

Sebagai sebahagian daripada program 'Art in Transit' Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang mempamerkan kerja seni daripada artis tempatan, karya tersebut dikeluarkan dan dipasang di stesen Laluan Downtown tersebut pada tahun 2018, menurut laman web pereka tempatan itu.

Memberi perhatian kepada landskap Kaki Bukit yang berbeza-beza, Encik Tan berusaha untuk menyerlahkan jurang antara landskap perindustrian dengan landskap domestik di kawasan itu, yang dipisahkan oleh laluan kereta api di Kaki Bukit.

REAKSI CAMPUR BAUR NETIZEN

Sebagaimana seni pemasangan itu cuba untuk mengetengahkan jurang antara landskap perindustrian dengan landskap domestik di estet tersebut, warga siber juga turut berbelah bahagi terhadap karya berkenaan.

Ia bahkan pernah menjadi bahan bualan para pengguna Reddit pada tahun 2017, apabila seorang individu ternampak kerja seni itu - yang dianggap sebagai vandalisme atau kerosakan harta benda - di stesen MRT berkenaan.

"Tidak pasti sama ada ia vandalisme atau dilakukan dengan sengaja. Saya berada di sana beberapa hari lalu dan papan tanda itu dilukis secara berbeza," kata seorang pengguna Reddit.

Seorang lagi pengguna malah mengulas bahawa "ia kelihatan agak hodoh", manakala seorang lagi mempersoalkan "pembida mana yang diberikan tender ini?".

Dalam bebenang (thread) Reddit yang terkini, ramai warga siber, bagaimanapun, nampaknya suka akan pemasangan tersebut. Ada yang mendapati bahawa papan tanda memaparkan contengan itu "comel" dan "asli", sekali gus menambahkan perwatakan pada imej stesen MRT yang lazimnya kelihatan bersih dan rapi.

"Perkara yang tidak dijangka seperti inilah yang membuatkan kita ingat bahawa di sebalik imej bersih yang dipegang Singapura, kita masih mampu memberikan sentuhan insani."
Sumber : Today/HY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita