Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Sengaja ungkal': Lelaki didenda tidak guna pelitup di restoran makanan segera

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang enggan menggunakan pelitup di sebuah restoran makanan segera, didenda S$8,000 pada Khamis (18 Ogos).

Pendakwa raya berkata lelaki itu degil dan "sengaja enggan patuh perintah".

Philip Richard Mockridge, 55 tahun, mengaku bersalah terhadap satu tuduhan di bawah Peraturan COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) dengan dua tuduhan yang serupa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mockridge, penduduk tetap Singapura, membuat pembelaannya sendiri. Selepas hukuman dijatuhkan, dia meminta masa untuk mempertimbangkan sama ada untuk membuat rayuan. Dendanya ditangguhkan selama seminggu untuk memberinya masa membuat keputusan.

Mahkamah diberitahu bahawa pihak polis menerima aduan mengenai seorang individu yang enggan menggunakan pelitup di pusat beli belah City Square Mall pada 16 Mei 2020.

Dua pegawai polis kemudian dikerahkan dan melihat Mockridge duduk di dalam restoran makanan segera di besmen pusat beli belah itu pada sekitar 9.10 malam.

Pelitup Mockridge diletakkan di bawah dagu, mendedahkan mulut dan hidungnya. Dia tidak ada makanan dan minuman ketika itu.

Seorang sarjan polis memberitahu Mockridge bahawa dia harus menggunakan pelitup jika dia tidak makan atau minuman. Mockridge kemudian meminta polis menunjukkan kad pengenalan mereka.

Pegawai polis itu mengulangi lagi bahawa Mockridge harus menggunakan pelitup dan dia menjawab "Ya ke? Aku tak pasti."

Beberapa minit kemudian, Mockridge beredar untuk mengambil makanannya di kaunter, dengan tidak memakai pelitup.

Lima minit kemudian, Mockridge menerima makanannya dan berdiri dengan pegawai polis di pintu masuk restoran. Dia tidak makan atau minum ketika itu.

Sarjan itu kemudian bertanya kepada Mockridge jika dia ada masalah menggunakan pelitup di mana dia menjawab, " Undang-undang mana yang kau maksudkan?"

Mockridge kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula merakam kejadian tersebut. Apabila sarjan tersebut mengulangi soalan itu, Mockridge mencabarnya dengan bertanya," Undang-undang mana yang kau maksudkan?"

Sarjan itu merujuk kepada peraturan COVID-19 dan mengulangi bahawa Mockridge sepatutnya memakai pelitup untuk menutup mulut dan hidungnya. Dia kemudian menjawab,"Kalau aku tak mahu, apa yang boleh kau buat?"

Apabila pegawai itu memaklumkan kepada Mockridge tentang hukuman melanggar peraturan itu, dia berkata: "Jadi kau ancam masukkan aku dalam jel?"

Pada sekitar 9.25 malam, disebabkan Mockridge terus berdegil enggan memakai pelitup walaupun sudah diberi arahan beberapa kali, sarjan itu memberitahunya bahawa dia perlu menanggung sebarang tindakan susulan.

Mockridge kemudian beredar dengan pelitupnya masih di bawah dagu dengan mulut dan hidungnya terdedah.

Ketika kejadian itu, Mockridge sedang disiasat dua kali kerana tidak memakai pelitup di luar rumahnya. Kejadian itu berlaku di
stesen MRT Sengkang pada 26 November 2020 dan stesen MRT Serangoon pada 19 Disember 2020.

Mockridge boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan di bawah Peraturan COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) (Perintah Kawalan).
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan