Senat Amerika Syarikat sahkan Anjani Sinha sebagai duta ke SG
Senat Amerika Syarikat pada Selasa (7 Okt) mengesahkan calon yang dipilih oleh Presiden Donald Trump, Anjani Sinha, sebagai duta ke Singapura.
Petikan skrin Dr Anjani Sinha, calon duta Amerika Syarikat ke Singapura, semasa sesi pendengaran pencalonan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat. (Gambar: Jawatankuasa Hubungan Luar Amerika Syarikat)
Pakar bedah ortopedik itu adalah antara calon yang diundi masuk dengan majoriti mudah 51-47 untuk pelbagai jawatan.
Calon lain dalam senarai itu termasuk Sergio Gor, yang akan menjadi duta ke India dan Encik Sean O'Neill, yang ditetapkan untuk menjadi duta ke Thailand.
Dr Sinha merupakan seorang pakar bedah di Pantai Timur yang pakar dalam bidang ortopedik dan perubatan sukan.
Jabatan Negara Amerika Syarikat sebelum ini menyatakan beliau adalah "seorang usahawan yang berjaya, setelah membina pelbagai amalan perubatan utama yang berkembang pesat dengan pasukan pakar di lapan lokasi di New York, dan pernah berkhidmat sebagai perunding kanan pembedahan di Florida".
Beliau adalah graduan dari Sekolah Perubatan MGM dan Universiti Delhi di India, dengan Ijazah Sarjana Pembedahan Ortopedik.
Semasa sesi pengesahan Senat pada 9 Julai, Dr Anjani dilihat berdepan kesukaran dengan responsnya.
Sebagai contoh, apabila Senator Democrat Tammy Duckworth bertanya kepadanya berapa banyak lebihan dagangan Amerika Syarikat dengan Singapura pada tahun 2024, beliau menjawab AS$80 bilion,sebelum membetulkan angka itu kepada AS$18 bilion.
Senator itu kemudian memberitahunya bahawa angka sebenar adalah AS$2.8 bilion dan beliau "tersasar dengan perbezaan yang sangat besar".
Semasa sesi Julai itu, beliau melahirkan "penghargaan yang mendalam kepada Presiden Trump atas pencalonannya, dan kepada Setiausaha Rubio atas sokongannya", sambil menambah bahawa Singapura adalah "rakan strategik dan sahabat utama" Amerika Syarikat di rantau Indo-Pasifik.
"Kerjasama rapat dengan Singapura, bersama dengan sekutu dan rakan kami yang lain di rantau ini, adalah lebih kritikal hari ini berbanding sebelum ini."
"Di Singapura, saya akan berusaha untuk memperluas dan memperdalam kerjasama pertahanan dan keselamatan kami, hubungan ekonomi dan perdagangan, dan hubungan rakyat dengan rakyat," kata Dr Sinha.
Dalam sesi pencalonan itu, Dr Sinha juga diperkenalkan oleh Senator Republican Lindsey Graham, yang berkata bahawa Dr Sinha sudah berkawan dengan Encik Trump selama lebih sedekad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.