Senarai lagu 'ofensif' diedarkan di Parlimen tidak akan diharamkan: Shanmugam
Senarai lagu yang dimuat naik Anggota Parlimen Parti Pekerja Chen Show Mao di Facebook pada Isnin (1 Apr) bukan merupakan lagu-lagu yang sudah atau akan diharamkan, jelas Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.
Gambar dimuat naik AP Chen Show Mao menunjukkan senarai lagu 'ofensif' yang dikongsi di Parlimen.
SINGAPURA: Senarai lagu yang dimuat naik Anggota Parlimen Parti Pekerja Chen Show Mao di Facebook pada Isnin (1 Apr) bukan merupakan lagu-lagu yang sudah atau akan diharamkan, jelas Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.
Dalam kenyataan menteri yang disampaikan di Parlimen pada Isnin, Encik Shanmugam menyentuh tentang risiko yang ditimbulkan oleh ucapan kebencian terhadap Singapura, terutamanya apabila ia bersifat merendahkan, menyinggung perasaan atau menghina sesuatu kaum atau agama.
Dalam ucapannya beliau memberi contoh lagu-lagu dengan seni kata ofensif. Beliau berkata "ada banyak bahan di sekeliling" dan para AP boleh membaca tentangnya dalam dokumen lampiran yang dimuat naik Encik Chen kemudian.
Encik Shanmugam pada Selasa berkata: "Pihak-pihak yang tidak mendengar ucapan yang saya sampaikan mungkin akan salah anggap bahawa senarai itu mengandungi lagu-lagu yang sudah atau akan diharamkan.
"Itu semua tidak benar," tulis beliau di Facebook.
Encik Chen awal sebelum itu memuat naik gambar dokumen bagi persidangan Parlimen 1 April. Antara lagu-lagu tersenarai adalah Heresy oleh Nine Inch Nails, God is a Woman oleh Ariana Grande, Take Me to Church oleh Hozier dan Judas oleh Lady Gaga. Lagu-lagu tersebut ditukil sebagai contoh lagu yang mempunyai lirik ofensif.
Dalam catatannya, Encik Shanmugam menambah: "Ini tidak bermakna semuanya akan diharamkan hanya kerana segelintir orang mendapatinya menyinggung perasaan."
Menteri itu dalam ucapannya di Parlimen pada Isnin menjelaskan tentang perlunya sekatan ke atas ucapan menyinggung perasaan dalam wacana awam, meskipun ia bukan ucapan kebencian, kerana lambat laun ia berupaya mewujudkan sekitaran yang "sesuai bagi diskriminasi dan akhirnya keganasan".
"Jika kita membiasakan ucapan ofensif, lambat-laun, nada, bentuk perbincangan awam akan berubah. Menyinggung sesama sendiri akan menjadi satu kebiasaan," katanya dalam satu kenyataan di Parlimen berhubung sekatan ke atas ucapan benci demi memelihara keharmonian antara kaum dan agama di Singapura.
Mediacorp telah meminta komen dari Kementerian Ehwal Dalam Negeri dan IMDA berhubung catatan Encik Chen. CNA juga sudah menghubungi Encik Chen bagi pandangan lanjut beliau berhubung catatannya dan respons Encik Shanmugam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.