Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua warga emas mula dapat vaksin COVID-19 dari 22 Feb - PM Lee

Semua warga tua Singapura yang berusia 70 tahun dan ke atas akan diberikan vaksin COVID-19 mulai 22 Februari nanti.

Anggaran Waktu Membaca:
Semua warga emas mula dapat vaksin COVID-19 dari 22 Feb - PM Lee

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 12 Feb 2021 11:11PM Dikemas Kini : 12 Feb 2021 11:14PM

SINGAPURA: Semua warga tua Singapura yang berusia 70 tahun dan ke atas akan diberikan vaksin COVID-19 mulai 22 Februari nanti.

Ini menyusuli satu usaha rintis yang dijalankan di dua kawasan kejiranan pada bulan lalu.

Namun dengan kemungkinan ada gangguan kepada bekalan dan jenis virus baru, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada agar dapat mengelakkan daripada tempoh pemutus rantaian jangkitan dilaksanakan sekali lagi.

Beliau berkata demikian selepas lawatan menemui kakitangan lapangan terbang dan hospital yang bekerja pada cuti Tahun Baru Cina hari ini (12 Feb).

Strategi vaksinasi negara sudah tersedia dan tempahan vaksin sudah dibuat dengan beberapa pembekal.

Namun dengan kemungkinan berlakunya gangguan kepada bekalan, fasa pemulihan mungkin akan mengambil masa.

"Jika bekalan lewat - program vaksinasi kita akan dilanjutkan sedikit dan kita perlu melanjutkan lebih lama dan ketat, langkah pengurusan selamat yang lain," kata Encik Lee.

"Tetapi kita boleh menyesuaikan diri. Walaupun ramai di Singapura sudah mendapatkan vaksin, saya tidak rasa ia membolehkan kita untuk kembali seperti biasa kerana ia tidak bermakna semua selamat. Masih ada yang belum diberikan vaksin - mereka kekal terdedah, sempadan kita tidak dapat ditutup sepenuhnya, orang ramai perlu melakukan perjalanan, dari masa ke masa akan ada kes yang masuk dan kita perlu menanganinya."

Lantaran itu, PM Lee menggesa orang ramai supaya kekal berwaspada kerana melaksanakan tempoh pemutus rantaian jangkitan buat kali kedua akan membawa kesan buruk meskipun terdapat langkah-langkah sokongan di bawah Belanjawan Negara tahun lalu.

PM Lee berkata: "Anda boleh ada daya tahan, ada kemampuan tetapi jika kita tidak boleh menjalankan perniagaan selama dua-tiga bulan, ia akan menjejas teruk.

"Saya tidak rasa ada cara lain. Apa yang boleh kita pastikan adalah melengkapi rakyat kita dengan latihan kemahiran, memastikan pihak syarikat membina keupayaan supaya jika tiada sekatan di dunia baru, anda ada kemahiran berguna dan ada perniagaan untuk dijalankan. Saya rasa itu adalah yang terbaik kita boleh lakukan,"ujar beliau.

PM Lee menambah beberapa sektor seperti penerbangan memerlukan lebih banyak masa untuk pulih.

Antara sebabnya adalah jenis baru COVID-19 yang mungkin menyekat perjalanan global lebih lama lagi.

PM Lee menambah pemerintah sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu sektor tersebut dengan perbincangan sedang diteruskan.

Namun tugasan juga perlu diteruskan dan sempena Tahun Baru Cina hari ini, PM Lee dan para pemimpin kesatuan sekerja melawat para pekerja Singapore Airlines dan Hospital Besar Changi, untuk mengucapkan terima kasih kerana bertugas semasa hari cuti.

Sumber : CNA/RU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan