Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua siswa, kakitangan NUS perlu jalani ujian kendiri COVID-19 mulai 10 Ogos

Kesemua mahasiswa dan kakitangan Universiti Nasional Singapura (NUS) perlu menjalani ujian swab COVID-19 dengan kerap menggunakan kit uji sendiri mulai Selasa depan (10 Ogos) melalui satu program perintis yang bertujuan untuk membendung penularan virus.

Anggaran Waktu Membaca:
Semua siswa, kakitangan NUS perlu jalani ujian kendiri COVID-19 mulai 10 Ogos

(Gambar: Catherine Lai/AFP)

Diterbitkan : 05 Aug 2021 05:45PM Dikemas Kini : 05 Aug 2021 05:46PM

SINGAPURA: Kesemua mahasiswa dan kakitangan Universiti Nasional Singapura (NUS) perlu menjalani ujian swab COVID-19 dengan kerap menggunakan kit uji sendiri mulai Selasa depan (10 Ogos) melalui satu program perintis yang bertujuan untuk membendung penularan virus.

Dalam surat pekeliling yang dihantar kepada para mahasiswa pada Rabu malam (4 Ogos), NUS menyatakan bahawa para kakitangan dan mahasiswanya akan diberikan kit ujian pantas antigen uji sendiri.

Kekerapan ujian bergantung kepada status vaksinasi individu dan sama ada mereka tinggal di kampus.

Program perintis bagi rejim Ujian Pantas dan Mudah merupakan "langkah berjaga-jaga tambahan"bagi melindungi kesihatan para mahasiswa dan kakitangan, kata Dr Peck Thian Guan, pengarah kanan Pejabat Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran NUS dalam surat pekeliling itu.

"Ia membolehkan kes-kes dikesan dengan pantas dan membendung penularan kes dalam masyarakat, sekiranya terdapat sebarang kes COVID-19 yang disahkan."

KEKERAPAN UJIAN

Para mahasiswa dan kakitangan yang tinggal di kampus dan sudah menerima vaksin lengkap perlu memeriksa diri mereka sekali sebulan, menurut surat pekeliling itu. Mereka yang belum divaksin atau hanya menerima satu dos vaksin perlu memeriksa diri sendiri sekali seminggu.

Para mahasiswa dan kakitangan yang tidak tinggal di kampus mesti menjalani ujian sebelum lawatan pertama ke kampus, berkuat kuasa 10 Ogos. Setelah itu, mereka yang sudah divaksin sepenuhnya perlu mengambil ujian swab kendiri COVID-19 pada setiap lawatan ke-20 ke kampus itu manakala mereka yang belum divaksin perlu melakukannya pada setiap lawatan kelima.

Para mahasiswa dan kakitangan mesti memastikan bahawa mereka terhubung dengan rangkaian Wi-Fi NUS pada telefon bijak masing-masing apabila berada di kampus, kata Dr Peck dalam surat pekeliling itu.

Bagi mereka yang tidak tinggal di kampus, aplikasi uNivUS akan membantu mereka untuk mencatitkan kunjungan ke kampus selagi mereka terhubung dengan rangkaian Wi-Fi NUS. Aplikasi itu akan mengingatkan mereka jika tiba masanya untuk menjalani ujian swab kendiri, menurut surat pekeliling itu.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, NUS menyatakan bahawa para pelajar dan mahasiswanya perlu memuat naik hasil ujian swab pada aplikasi uNivUS. Buat masa ini, para mahasiswa turut boleh log masuk suhu badan mereka melalui aplikasi itu.

Para mahasiswa dan kakitangan yang berkhidmat dalam sektor perubatan dan sudahpun dijadualkan untuk menjalani ujian rutin boleh dikecualikan daripada program perintis Ujian Pantas dan Mudah itu, kata Dr Peck. Mereka boleh menyerahkan pengecualian melalui Pejabat Dekan Fakulti masing-masing. Mereka juga boleh memilih untuk mengambil bahagian dalam program perintis itu jika mereka mahu berbuat demikian.

Kesemua kakitangan dan mahasiswa harus mengemas kini status vaksinasi COVID-19 mereka melalui aplikasi uNivUS sebelum 9 Ogos, sehari sebelum program perintis itu dijadual bermula.

"Ini membolehkan pihak universiti untuk merancang masyarakat kampus kembali ke kampus dengan selamat, di samping mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat sedia ada," kata Dr Peck.

"Vaksinasi adalah kunci utama dalam usaha melindungi diri kita dan individu tersayang daripada COVID-19, membendung penularan dalam masyarakat, membolehkan lebih banyak aktiviti sosial disambung semula dan membolehkan Singapura untuk dibuka semula selanjutnya.

"Kami menggesa semua orang yang belum divaksin dan layak mendapatkan vaksinasi supaya mendaftarkan diri secepat mungkin di laman www.vaccine.gov.sg."

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa