Semua sekolah gantung serta merta kegiatan luar darjah libatkan elemen paras tinggi
Semua sekolah akan menggantung serta merta kegiatan-kegiatan luar darjah melibatkan elemen paras tinggi, setelah seorang remaja 15 tahun meninggal dunia hari ini.

SAFRA Yishun. (Gambar: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Semua sekolah akan menggantung serta merta kegiatan-kegiatan luar darjah melibatkan elemen paras tinggi, setelah seorang remaja 15 tahun meninggal dunia hari ini (4 Feb) menyusuli satu kejadian melibatkan sebuah program perkhemahan di SAFRA Yishun.
"Keselamatan para pelajar sentiasa menjadi keutamaan dan kami sedang bekerjasama dengan polis dan pihak-pihak relevan untuk menyiasat insiden itu," menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Sekolah Anglo-Chinese(Bebas) dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Pelajar lelaki itu dikatakan terjatuh semasa menyertai kegiatan melibatkan elemen paras tinggi di SAFRA Yishun semalam (3 Feb), tetapi "tergantung dari tali pengikat keselamatan dan kemudian tidak sedarkan diri apabila diturunkan ke lantai", menurut polis.
Polis menyatakan mereka menerima panggilan telefon meminta bantuan sekitar pukul 2.00 petang semalam. Remaja itu tidak memberi sebarang respons apabila para pegawai tiba, tambah polis.
"Siasatan awal menunjukkan tiada perbuatan khianat disyaki berlaku. Siasatan polis sedang dijalankan," menurut polis lagi.
Berita mengenai insiden itu pertama kali dilaporkan oleh Straits Times tengah hari tadi.
Dalam kenyataan bersama MOE dan ACS (Bebas), ia melahirkan rasa "teramat sedih" atas pemergian pelajar berkenaan.
Semua sekolah akan menggantung serta merta kegiatan-kegiatan luar darjah yang melibatkan elemen paras tinggi, sedang siasatan dijalankan, menurut kenyataan itu lagi.
"Kami sedang bekerjasama untuk memberikan sokongan penuh kepada keluarga dan rakan-rakan pelajar itu serta guru-gurunya pada waktu sukar ini, menurut MOE dan ACS (Bebas).
Kegiatan yang disertai remaja itu dianjurkan oleh syarikat yang menyediakan pembelajaran kembara luar darjah, Camelot. Syarikat itu sedang bekerjasama dengan MOE dan pihak sekolah untuk memberikan sokongan kepada keluarga pelajar tersebut, menurut Camelot dalam kenyataan medianya malam ini.
"Siasatan sedang dijalankan ke atas insiden itu. Camelot sudah memberi dan akan terus memberi kerjasama dan bantuan penuh kepada pihak berkuasa relevan berhubung perkara ini."
Menyifatkan insiden itu sebagai "kejadian yang tidak diingini" SAFRA dalam kenyataannnya menyatakan pelajar itu merupakan sebahagian peserta program perkhemahan ACS (Bebas) yang diadakan di pusat sukan kembara di SAFRA Yishun.
Camelot, penyedia khidmat yang bertauliah, mengendalikan program itu di bawah kontrak dengan pihak sekolah.
"Memandangkan siasatan sedang dijalankan, semua kegiatan di pusat sukan kembara digantung sementara," tambah kenyataan itu.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga menerima panggilan meminta bantuan pada pukul 1.05 petang semalam.
Sebaik tiba di lokasi, pelajar itu didapati terbaring tidak sedarkan diri. Para pegawai SCDF segera memberikan bantuan pernafasan dan menggunakan alat defibrilator luaran automatik (AED),
Pelajar itu kemudian dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat dalam keadaan tidak sedarkan diri di mana dia meninggal dunia pada Khamis, menurut polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.