Skip to main content

Singapura

Semua sekolah arus utama SG bakal ada program sukan kurang upaya jelang 2028

Anggaran Waktu Membaca:
Semua sekolah arus utama SG bakal ada program sukan kurang upaya jelang 2028

(Gambar: Majlis Sukan Orang Kurang Upaya Singapura)

Diterbitkan : 20 Nov 2024 11:58PM Dikemas Kini : 21 Nov 2024 07:39AM
  • Pelajar di semua sekolah arus utama akan berpeluang melalui pengalaman bermain sukan kurang upaya menjelang 2028.
  • Inisiatif lain termasuk pelancaran dana baharu untuk menyokong inisiatif sukan kurang upaya dan penubuhan hab masyarakat untuk sukan para di merata Singapura.
  • Sejak itu, terdapat peningkatan dalam kadar penyertaan orang kurang upaya daripada 28 peratus pada 2015 kepada 46 peratus pada 2023, menurut angka yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
  • Matlamatnya adalah untuk mengumpul sekurang-kurangnya S$10 juta menjelang 2030.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pelajar di semua sekolah arus utama akan berpeluang melalui pengalaman bermain sukan kurang upaya menjelang 2028.

Inisiatif itu adalah salah satu daripada sepuluh "langkah strategik" di bawah Pelan Induk Sukan Kurang Upaya (DSMP) yang disemak semula.

Inisiatif lain termasuk pelancaran dana baharu untuk menyokong inisiatif sukan kurang upaya dan penubuhan hab masyarakat untuk sukan para di merata Singapura.

Ia bagi menggalak pemahaman dan membina kesedaran mengenai cabaran yang dihadapi golongan kurang upaya semasa bersukan.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong menekankan bahawa pelan induk yang diperbaharui itu bukan sekadar memperluaskan peluang sukan untuk orang kurang upaya. Ia juga bertujuan untuk melibatkan masyarakat lebih luas, menggalakkan kesedaran tentang kepelbagaian dan penerimaan sambil memupuk kerjasama dalam sektor kurang upaya.

"Visi kami hari ini adalah untuk melakarkan masyarakat inklusif seterusnya melalui sukan, di mana lebih ramai anggota masyarakat kurang upaya boleh dilibatkan sama, diperkaya dan juga diperkasa melalui sukan," kata Encik Tong di majlis Anugerah Sukan Orang Kurang Upaya Singapura pada Rabu (20 Nov).

Di acara yang diadakan di Hotel Singapore Marriott Tang Plaza, atlet Paralimpik Singapura yang tidak asing lagi, Yip Pin Xiu, dinobatkan sebagai Olahragawati Terbaik untuk kali kelima, manakala pemenang pingat Sukan Para berbilang Asia, Toh Wei Soong membawa pulang Anugerah Olahragawan Terbaik ketiganya.

Dilancarkan pada 2016, pelan induk DSMP bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai sukan kurang upaya dan meluaskan akses dan peluang untuk penyertaan sukan dalam kalangan orang kurang upaya.

Sejak itu, terdapat peningkatan dalam kadar penyertaan orang kurang upaya daripada 28 peratus pada 2015 kepada 46 peratus pada 2023, menurut angka yang disediakan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Pada Mei tahun lalu, pasukan petugas yang terdiri daripada wakil daripada pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), serta Majlis Sukan Orang Kurang Upaya Singapura (SDSC), telah dibentuk untuk menyegarkan DSMP.

Pasukan petugas itu dipengerusikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Eric Chua dan sejak itu telah melibatkan 850 pihak berkepentingan.
Menurut MCCY ramai pihak berkepentingan mengakui adanya "kemajuan yang ketara" sejak penubuhan DSMP tetapi turut menekankan beberapa "perkara yang perlu diberi perhatian".

Ini termasuk menyediakan lebih banyak peluang sukan untuk orang kurang upaya di sekolah dan masyarakat, meningkatkan kesedaran tentang orang kurang upaya dan sukan inklusif, serta mewujudkan lebih banyak laluan untuk mereka yang ingin menceburi sukan kurang upaya pada tahap berprestasi tinggi.

Melalui DSMP yang diperbaharui, MCCY berharap dapat meningkatkan penyertaan dalam sukan kurang upaya kepada 70 peratus, "mengekalkan kejayaan meraih pingat", meningkatkan bilangan atlet para dan sukan yang diwakili di kejohanan sukan para utama dan Sukan utama, serta meningkatkan kesedaran untuk membina " masyarakat bersatu padu" melalui sukan inklusif menjelang 2030.

BINA KESEDARAN DI SEKOLAH

Sekolah arus perdana yang menjalankan program berkaitan orang kurang upaya untuk pelajar akan membantu "menggalakkan pemahaman dan membina kesedaran" tentang cabaran yang dihadapi oleh mereka yang kurang upaya semasa bersukan, kata MCCY.

Pihak berkuasa menetapkan sasaran melancarkan program-program itu, di semua sekolah arus perdana menjelang 2028.

Ia boleh dijalankan melalui aktiviti kokurikulum (CCA), Program Pendidikan Sukan (SEP), pengalaman Values in Action.

Pada masa ini, hanya 30 hingga 35 peratus sekolah aliran perdana yang menawarkan peluang sedemikian.

Skop dan reka bentuk program akan dirancang di peringkat sekolah agar sesuai dengan program sedia ada dan "mengoptimumkan" pembelajaran pelajar, kata MCCY.

Sport Singapore (SportSG) dan MOE akan menambah bilangan sekolah yang menawarkan SEP dan mengembangkan tawaran sukan inklusif dalam SEP.

MOE juga akan menyertakan lebih banyak acara dalam Sukan Sekolah Kebangsaan supaya murid kurang upaya dapat bersaing bersama dan berinteraksi antara satu sama lain.

“Dengan peluasan program sukan kurang upaya ke semua sekolah arus perdana, pelajar di sekolah aliran perdana akan dapat merasai dan menghargai cabaran yang dihadapi oleh orang kurang upaya semasa bersukan, dan menyedari bahawa aktiviti sukan boleh menjadi inklusif,” kata pengarah pendidikan luar darjah, sukan dan fisikal MOE, Krishnan Aravinthan.

Tabung Sukan Upaya juga akan dilancarkan tahun depan.

Dana itu bertujuan "menggalakkan inisiatif sukan orang kurang upaya yang dimulakan oleh masyarakat dan memberi impak besar". Pemerintah akan memadankan sedolar bagi setiap dolar sumbangan yang dibuat kepada dana ini.
Matlamatnya adalah untuk mengumpul sekurang-kurangnya S$10 juta menjelang 2030.
"PUSAT TUMPUAN" DI MERATA SG

Secara berasingan, SportSG juga akan menubuhkan Hab Masyarakat Sukan Para (PSCH) untuk meluaskan peluang sukan atlet para yang bercita-cita tinggi.

Lima hab pertama seperti itu akan dirintis di merata negeri menjelang akhir tahun ini, dengan lebih banyak lagi akan ditubuhkan menjelang 2030.

Hab tersebut ditempatkan di Pusat Sukan Pasir Ris (boccia), Heartbeat@Bedok (renang dan tenis meja), Pusat Sukan Jurong West (renang dan berbasikal para), Pusat Sukan Yio Chu Kang (atletik dan badminton) serta Pusat Sukan Delta (goalball).

Hab tersebut akan berfungsi sebagai "pusat tumpuan" untuk melibatkan peminat sukan dan pendatang baharu dalam sukan orang kurang upaya, kata MCCY.

Semua pusat sukan ActiveSG juga akan mempunyai bilik tenang menjelang akhir tahun 2030, bermula dengan di setiap zon menjelang akhir tahun 2025.

"Kemudahan sukan yang boleh diakses memastikan orang kurang upaya dapat menikmati dan bersukan di kemudahan ini dengan cara yang kondusif," kata MCCY.

"SportSG akan terus meningkatkan akses kepada dan dalam kemudahan sukan ActiveSG supaya orang kurang upaya berbeza boleh mendapat akses."

Terdapat juga rancangan untuk menambah bilangan jurulatih berdaftar di bawah Pejabat Pendaftaran Jurulatih Kebangsaan yang boleh melatih orang kurang upaya daripada kira-kira 120 sekarang ini kepada 300 menjelang 2030.

MCCY juga berkata bahawa pusat latihan kebangsaan untuk sukan para akan ditempatkan di premis Kallang Team Singapore yang akan datang.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita