Semua sekolah akan tawar sistem e-bayaran di kantin, kedai buku sekolah jelang 2025
SINGAPURA: Menjelang 2025, sebahagian besar pelajar di Singapura boleh menggunakan pembayaran elektronik (e-bayaran) dan bukan wang tunai apabila membeli makanan dan minuman atau barangan daripada kedai buku sekolah.
Ini selepas satu Memorandum Persefahaman (MOU) selama tiga tahun dimeterai oleh DBS dan Kementerian Pendidikan (MOE), yang akan memperluaskan program POSB Smart Buddy di semua sekolah rendah dan menengah, maktab rendah serta Institut Millenia menjelang 2025.
Prasarana bayaran digital, seperti tempat bayaran tanpa sentuhan, akan dipasang di kantin dan kedai buku sekolah, menurut DBS dalam kenyataan medianya pada Rabu (13 Apr).
Para pelajar boleh membuat e-bayaran melalui kad-kad percuma POSB Smart Buddy dan jam tangan mereka, selain kaedah-kaedah pembayaran lain seperti kad School Smart dan EZ-Link di tempat-tempat bayaran berkenaan.
Program POSB Smart Buddy dilancarkan pada 2017.
Kira-kira 40,000 pelajar daripada sekitar 80 sekolah rendah dan menengah setakat ini menggunakan jam tangan POSB Smart Buddy dan kad-kad tertentu untuk membuat e-bayaran di sekolah, menurut DBS.
"Penting untuk kami memastikan bahawa tiada sesiapa yang ketinggalan dalam era digital ini," ujar Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Pengguna DBS di Singapura, Encik Jeremy Soo.
"Melalui kerjasama dengan MOE, kami merancang untuk memberikan setiap pelajar pilihan untuk menyesuaikan diri dengan menggunakan bayaran digital dalam kehidupan seharian mereka, sambil belajar cara-cara untuk memupuk tabiat berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah," tambahnya.
Menurut MOE, pilihan untuk membuat bayaran tanpa menggunakan wang tunai di sekolah akan menyediakan para pelajar dengan persekitaran untuk menggunakan e-bayaran dengan selamat di tengah-tengah penggunaan pembayaran digital dalam masyarakat.
Para pelajar juga akan menikmati kemudahan dan manfaat tidak menggunakan wang tunai, seperti urus niaga yang lebih pantas semasa membuat pembelian, kata Encik Clarence Tang, Pengarah Jabatan Kewangan dan Pemerolehan MOE.
Di bawah program POSB Smart Buddy, para pelajar dan ibu bapa boleh memantau perbelanjaan dan corak penyimpanan wang mereka menerusi aplikasi telefon bimbit.
Para pelajar juga boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk menetapkan sasaran wang simpanan, manakala ibu bapa pula boleh mengawal perbelanjaan anak-anak mereka dengan menetapkan wang jajan dan memantau pembelian anak-anak mereka dalam masa nyata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.