Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua rumah di SG perlu dipasang pemutus litar arus baki mulai 1 Jul

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemilik rumah harus memastikan rumah mereka dipasang alat pemutus litar arus baki (RCCB) mulai 1 Julai, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Jumaat (12 Mei). 

RCCB adalah peranti keselamatan elektrik yang memutuskan bekalan elektrik dengan serta merta sebaik sahaja mengesan sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan renjatan elektrik. 

Kebocoran berlaku kerana wayar yang sudah terkoyak atau reput serta peralatan elektrik sudah rosak.

Justeru, pemutus litar arus baki adalah peranti perlindungan penting untuk mengelakkan renjatan elektrik. 

Pemilik rumah diberi masa dua tahun, mulai 1 Julai ini untuk memasang alat tersebut. Syarat itu dikuatkuasakan terhadap semua premis kediaman.

RUMAH DIBINA SEBELUM 1985

Sejak Julai 1985, semua alat elektrik baru, termasuk di rumah-rumah baru yang dibina, dikehendaki mempunyai pemutus litar arus baki. 

Sebelum ini, semua rumah, termasuk flat HDB dan rumah privet, disediakan dengan fius untuk melindungi daripada arus elektrik berlebihan dalam litar dan peralatan. 

"Sepanjang beberapa tahun, kebanyakan premis kediaman sudahpun menjalani kerja-kerja ubah elok termasuk pada  wayar litar elektrik yang dipasang dengan pemutus litar arus baki," menurut EMA dan HDB. 

Namun, masih terdapat sejumlah kecil rumah yang dibina sebelum Julai 1985 yang mungkin masih menggunakan alat litar elektrik asal tanpa dipasang peranti tersebut. 

"Untuk meningkatkan lagi keselamatan elektrik di premis-premis berkenaan, penting untuk memperkenalkan peraturan ini," menurut pihak berkuasa. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp, HDB menyatakan, sekitar 1.3 peratus flat satu dan dua bilik yang siap dibina pada dan sebelum 1985 tidak dipasang  pemutus litar arus baki. 

Kira-kira 83 unit sedemikian akan dipasang pemutus litar arus baki.  

Bagi flat tiga bilik dan lebih besar yang siap dibina pada tempoh yang sama, sekitar 2 peratus tidak mempunyai alat tersebut atau dipasang pemutus litar arus baki yang tidak melindungi seluruh flat. 

Terdapat sekitar 6,400 unit sedemikian di seluruh Singapura. 

Seorang jurucakap EMA secara berasingan berkata, walaupun tiada perangkaan bagi premis kediaman privet yang tidak dipasang pemutus litar arus baki, jumlahnya dijangkakan rendah. 

"Pemilik premis kediaman privet  sudah mengubahsuai premis mereka (dan kerja-kerja menukar wayar) sejak peraturan yang mewajibkan pemasangan pemutus litar arus baki diperkenalkan pada 1985." 

Bagi flat HDB sebelum Julai 1985, EMA akan menghubungi pemilik rumah berkenaan untuk memasang peralatan itu di rumah mereka jika belum berbuat sedemikian. 

Pemilik rumah privet juga akan dihubungi untuk memeriksa dan memasang pemutus litar arus baki sekiranya belum memasang peralatan tersebut. 

SUBSIDI BAGI FLAT HDB

Untuk membantu keluarga berpendapatan rendah yang tidak mempunyai alat tersebut, HDB akan menjalankan kerja-kerja pemasangan di flat HDB satu dan dua bilik yang siap dibina pada dan sebelum 1985.

Kos pemasangan dan kerja perwayaran semula bagi flat-flat tersebut dibiayai sepeunuhnya oleh pemerintah, menurut EDB dan HDB. 

Bagi flat tiga bilik dan lebih besar yang siap dibina pada dan sebelum 1985 dan tidak dipasang  pemutus litar itu, HDB akan menghantar surat kepada pemilik rumah terbabit untuk mengongsi maklumat mengenai program bantuan yang sedia ada.

Di bawah program tersebut, Pemerintah akan membiayai sehingga 95 peratus kos yang diperlukan. 

HDB menyatakan, kerja pemasangan akan mengambil masa sekitar dua tahun. 

Pemilik rumah privet boleh mendapatkan khidmat pemasangan  berlesen di go.gov.sg/rccb-lew. 

TEMPOH KELONGGARAN & DENDA

Semua rumah diberi tempoh dua tahun mulai 1 Julai untuk mematuhi peraturan tersebut. 

Selepas tamat tempoh tersebut, EMA atau ejen dilantik akan melakukan pemeriksaan penguatkuasaan secara rambang, tertumpu pada rumah privet atau flat tertentu yang selesai dibina sebelum 1985. 

Rumah yang didapati tanpa pemutus litar arus baki akan diberikan amaran bertulis dan lapan minggu untuk memasang peralatan tersebut. 

Di bawah Peraturan Elektrik (Pemasangan Elektrik), sesiapa yang tidak mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan denda sehingga S$5,000. 

"Semua pemilik rumah digalakkan untuk kerap menguji pemutus litar arus baki mereka untuk memastikan ia berfungsi," menurut EMA dan HDB. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan