Skip to main content

Singapura

Semua pusat vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak ditutup selepas 15 Apr

Anggaran Waktu Membaca:
Semua pusat vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak ditutup selepas 15 Apr

(Gambar fail: Marcus Mark Ramos/CNA)

Diterbitkan : 06 Apr 2023 07:08PM Dikemas Kini : 06 Apr 2023 11:19PM
SINGAPURA: Semua Pusat Vaksinasi Kanak-Kanak (CVC) di merata Singapura akan ditutup bulan ini, dengan khidmat tersebut dialihkan ke beberapa Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC).

Demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (6 Apr).

Langkah itu adalah sebahagian usaha MOH untuk "menyelaraskan" operasi vaksinasi COVID-19 kerana Singapura sudah "selamat beralih" keadaan endemik hidup dengan virus, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Memandangkan permintaan bagi vaksinasi untuk kanak-kanak "rendah dan stabil", kementerian akan menutup lima CVC di Kelab Masyarakat Queenstown, One Punggol, Hab Tampines, Kelab Masyarakat Sembawang dan Kelab Masyarakat Taman Jurong.

Kelima-lima CVC akan beroperasi sehingga 15 April.

Mulai 17 April, vaksinasi bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga 11 tahun akan ditawarkan di enam JTVC di Ang Mo Kio, Bukit Merah, Jurong East, Kaki Bukit, Sengkang dan Yishun.

Bagi kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga empat tahun pula, mereka boleh membuat janji temu untuk mendapatkan vaksinasi di Poliklinik Bukit Batok, Eunos, Kallang dan Yishun.

Vaksinasi bagi mereka yang berusia lima hingga 11 tahun pula ditawarkan di Poliklinik Bukit Panjang, Pioneer, Punggol dan Woodlands dan beberapa Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC).

JTVC AKAN PINDAH

JTVC di Commonwealth akan ditutup selepas 29 April disebabkan permintaan yang rendah dan jarak dekatnya dengan JTVC Bukit Merah, tambah MOH.

Penduduk yang ingin mendapatkan vaksinasi COVID-19 mereka boleh pergi ke JTVC Bukit Merah atau PHPC berdekatan.

Mulai 2 Mei, JTVC Sengkang akan berpindah ke 19A Sengkang Square, sebelah stesen MRT Sengkang. Lokasi baru itu "lebih baik" untuk masyarakat, kata MOH.

JTVC Sengkang di 60 Sengkang East Way pula akan berhenti beroperasi mulai 30 April.

Dengan perubahan tersebut, terdapat sebanyak sembilan JTVC di serata Singapura.

Orang ramai boleh terus mendapatkan vaksinasi mereka tanpa membuat janji temu sebelum pukul 6.30 petang pada hari-hari biasa dan 12.30 tengah hari pada hari Sabtu, atau membuat janji temu online.

"Vaksinasi kekal sebagai benteng pertahanan utama kami terhadap COVID-19," menurut MOH.

"Kami menggalakkan semua individu untuk mendapatkan vaksinasi mereka jika layak."

MOH menggesa semua rakyat Singapura yang pulang dari luar negara, penduduk tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang (LTVP) untuk mendapatkan suntikan vaksin mereka secepat mungkin.

Menurut garis panduan, kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun disarankan untuk mendapatkan dua dos vaksin Moderna/Spikevax atau tiga dos Pfizer-BioNTech/Comirnaty.

Mereka yang berusia lima tahun dan ke atas pula sebaiknya mendapatkan tiga dos vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty, Moderna/Spikevax atau Novavax/Nuvaxovid.

Warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas perlu mengambil dos penggalak tambahan sekitar setahun selepas yang terakhir.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita