Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua penghuni Darul Ma'wa sudah disatukan dengan keluarga atau dipindah ke rumah lain - MSF

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan kesemua penghuni Darul Ma'wa sama ada sudah disatukan kembali dengan keluarga masing-masing ataupun dipindahkan ke rumah tumpangan lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan kesemua penghuni Darul Ma'wa sama ada sudah disatukan kembali dengan keluarga masing-masing ataupun dipindahkan ke rumah tumpangan lain.

MSF menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp berhubung pengumuman bahawa Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Jamiyah Darul Ma'wa akan berhenti beroperasi mulai 14 Disember ini.

Jamiyah Singapura sudah menjalankan khidmat tersebut selama 28 tahun.

Pengumuman yang boleh disifatkan sebagai mendadak itu dikeluarkan Jamiyah menerusi satu kenyataan media hari ini (10 Dis), iaitu empat hari sahaja sebelum penutupannya.

Dalam pada itu, MSF menyatakan bahawa pihaknya bekerja rapat dengan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Jamiyah untuk memastikan penjagaan para penghuni rumah tumpangan itu terus diutamakan dalam tempoh peralihan ini.

"Bergantung kepada keadaan mereka, kesemua penghuni sudah sama ada disatukan dengan keluarga-keluarga masing-masing atau dipindahkan ke VCH lain," menurut MSF kepada BERITAmediacorp. VCH merujuk kepada rumah-rumah tumpangan sukarela (Voluntary Children's Home).

MSF juga akur bahawa Jamiyah Singapura memutuskan untuk menutup Darul Ma'wa yang terletak di 15 Guillemard Crescent untuk memberi fokus kepada keperluan lain masyarakat dan menyokong hala tuju Jamiyah.

Mentelah lagi lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan jagaan di luar rumah sendiri kini ditempatkan di rumah-rumah keluarga titipan, menurut MSF.

MENGAPA OPERASI DARUL MA'WA DIHENTIKAN?

Menurut Jamiyah Singapura, yang menjadi pengendali Darul Ma'wa, ia mengubah dasar dan operasinya kerana landskap sosial dan keperluan masyarakat sudah berubah.

Lantaran itu pihaknya akan kini memfokuskan sumber-sumbernya kepada khidmat berpaksikan keluarga yang holistik, terutama kepada keluarga berpendapatan rendah dengan anak yang sedang bersekolah.

"Dengan mengoptimumkan sumber-sumber yang sejauh ini digunakan bagi menguruskan Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Darul Ma'wa, Jamiyah kini boleh mendampingi dan menawarkan bantuan kepada lebih ramai kanak-kanak termasuk anak-anak yatim dan kanak-kanak kepada ibu bapa tunggal dalam masyarakat," menurut Jamiyah Singapura.

Jamiyah Singapura menambah pihaknya akan mengendalikan lebih banyak program bantuan sosial dan sokongan pendidikan yang dapat dimanfaatkan oleh kanak-kanak yang memerlukan dan keluarga mereka.

Disebabkan itu menurut Jamiyah, ia tidak lagi menguruskan rumah tumpangan Darul Ma'wa yang berada di bawah naungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Jamiyah tidak menjawab pertanyaan kami mengenai bila para penghuni kanak-kanak dipindahkan dan berapa ramai kanak-kanak yang terjejas.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan