Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Semua orang buat kesilapan': Masyarakat renang terkejut dengan kes ganja Schooling, Lim

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Selepas menjadi jurulatih Amanda Lim selama empat tahun, berita mengenai perenang negara itu disiasat oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) atas penggunaan ganja amat mengejutkan bekas jurulatihnya, David Lim.

Encik Lim menyifatkan Amanda Lim sebagai seorang atlit yang "sangat profesional" dan menurut beliau: "Saya pernah melatih Amanda buat seketika. Saya rasa ia adalah satu perkara yang tidak diduga ... malangnya anda berada dalam kedudukan di mana anda membuat keputusan yang salah. (Namun) semua orang membuat kesilapan, semua orang."

Perenang negara berusia 29 tahun itu telah diberikan amaran keras oleh CNB di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Seorang lagi perenang negara, Joseph Schooling mengaku mengambil ganja di luar negara pada Mei semasa dia menangguhkan buat sementara Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa untuk berlatih dan bertanding di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA).

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan pada Selasa (30 Ogos) bahawa atlit berusia 27 tahun itu tidak lagi layak untuk mengambil cuti atau meminta pengecualian untuk berlatih atau bersaing dalam pertandingan ketika menjalani NS. Dia juga akan diletakkan di bawah rejim ujian air kencing yang diselia selama enam bulan.
Menurut para anggota masyarakat renang, mereka amat terkejut dengan berita itu namun yakin bahawa kedua-dua atlit itu akan bangkit dari kejadian ini.

"Saya sangat terkejut dengan apa yang berlaku dan ia adalah sesuatu yang tidak dijangkakan sama sekali," kata mantan ketua Persatuan Renang Singapura (SSA) Lee Kok Choy, yang menyandang jawatan presiden persatuan itu selama lapan tahun.

Encik Lim, bekas perenang negara yang merangkul sebanyak 19 pingat emas Sukan SEA, menambah: "Ketika masih aktif berlatih, tidak kira sama ada anda menggunakannya untuk tujuan riadah (dadah) atau apa sahaja, ia tidak akan memberikan manfaat kepada badan anda sebagai seorang atlit elit."

PERLU ADA RASA BELAS KASIHAN: BEKAS PERENANG

Melalui interaksi Encik Lee dengan kedua-dua atlit itu pada masa lalu,beliau berpendapat bahawa Lim dan Schooling adalah atlit yang matang.

"Mereka berdua sangat bertanggungjawab.. berkelakuan baik.. tidak ada masalah dengan mereka berdua. Saya tidak perlu risau menguruskan mereka, kata beliau.

"Saya tidak perlu menegur mereka berdua. Mereka adalah atlit yang sangat baik, bersopan santun, menghormati orang lain dan mempunyai azam yang kuat dan sentiasa bersedia untuk memberi kembali."

Encik Lee menambah bahawa beliau tidak mengetahui keadaan sepenuhnya dan tidak mahu menghakimi mereka berdua.

Bekas perenang negara dan perenang Olimpik May Ooi akur bahawa kedua-dua atlit itu telah melakukan kesilapan tetapi menekankan keperluan untuk bersikap belas kasihan.

Cik Ooi juga menarik perhatian bahawa Schooling pernah melalui peristiwa kehidupan yang sukar seperti prestasi yang hambar semasa bertanding di Sukan Olimpik Tokyo pada 2021, kematian bapanya pada hujung tahun lalu serta penyertaannya dalam Perkhidmatan Negara.

Menurut Encik Lim, adalah penting untuk Schooling dan Lim diberikan peluang kedua.

"Mereka harus diberikan peluang untuk membuktikan diri mereka dan saya rasa mereka akan berbuat demikian," beliau memberitahu Mediacorp.

Cik Ooi menambah: "Kejadian ini akan menguatkan mereka, masa untuk mereka bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada kejadian ini.

"Hakikatnya, ramai orang boleh melakukannya dalam privasi rumah mereka sendiri. Malangnya, mereka adalah atlit berprofil tinggi, seluruh dunia sedang memerhatikan gerak- geri mereka dan ini menyukarkan lagi keadaan.

Encik Lee bagaimanapun yakin bahawa kedua-dua perenang itu akan bangkit semula dari kejadian ini.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan