Semua NSmen bakal terima kredit $200 LifeSG pada November
Sekitar 1.2 juta anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) dahulu dan sekarang akan menerima kredit digital sebanyak S$200 yang boleh ditebus menerusi aplikasi mudah alih LifeSG mulai November ini.

(Gambar: TODAY)
Kredit itu bagi mengiktiraf "sumbangan mereka kepada pertahanan dan keselamatan Singapura", menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri pada Rabu (30 Okt).
Kredit LifeSG itu akan diagihkan secara bertahap-tahap pada November dan semua anggota kerahan yang layak secara automatik akan mendapat kredit itu melalui aplikasi LifeSG menjelang 30 November ini, menurut kenyataan media bersama itu.
Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) yang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sebelum 31 Disember juga akan menerima kredit LifeSG tersebut, menurut MINDEF dan MHA.
Anggota NSF yang menjalani perkhidmatan negara selepas 15 September akan menerima kredit itu pada Disember, menurut kedua-dua kementerian tersebut.
Kredit LifeSG itu boleh digunakan selama setahun daripada tarikh ia diagihkan.
Kesemua anggota kerahan boleh memeriksa tempoh luput kredit itu melalui aplikasi LifeSG, menurut MINDEF dan MHA.
Kredit itu juga boleh digunakan di mana-mana kedai fizikal atau online yang menerima bayaran melalui PayNow UEN QR atau NETS QR.
Agihan kredit sebanyak S$200 itu diumumkan pada awal tahun ini semasa Belanjawan 2024 oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada ketika itu.
"Saya berharap ini sedikit sebanyak cara kami memberi penghargaan kepada anggota kerahan serta keluarga mereka atas segala-galanya telah mereka lakukan dan akan terus lakukan demi negara ini," katanya pada Februari lalu.
Menurut MINDEF dan MHA, para anggota kerahan tidak perlu menekan sebarang pautan atau menyediakan butiran peribadi di mana-mana platform.
"Sebaik sahaja kredit itu telah diagihkan, kiriman SMS akan dihantar dari ID Penghantar gov.sg kepada nombor telefon bimbit berdaftar anggota kerahan itu, dan surat makluman akan dihantar kepada alamat berdaftar mereka."
Sebagai tanda sokongan kepada NS, beberapa peruncit yang mengambil bahagian termasuk HomeTeamNS dan SAFRA akan menawarkan diskaun dan tawaran promosi tambahan kepada semua anggota kerahan apabila mereka membuat bayaran menggunakan kredit NS LifeSG.
Senarai penjual yang mengambil bahagian boleh didapatkan di laman ini: https://go.gov.sg/promosnslifesg.
Mereka yang perlu bantuan untuk mengakses dan menebus kredit menerusi aplikasi mudah alih LifeSG boleh menghubungi Talian Bantuan NS.
Selain itu, beberapa duta digital yang ditempatkan di Hab Masyarakat SG Digital dan para kakitangan di pusat-pusat ServiceSG juga bersedia untuk membimbing anggota kerahan dalam menggunakan aplikasi mudah alih LifeSG dan menebus kredit mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.