Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua NSF akan dapat tunai tambahan S$1,000 selepas ORD, gaji asas NSMen S$1,600 sebulan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Mar 2022 02:21PM Dikemas Kini : 03 Mar 2022 09:57PM

SINGAPURA:Mulai 1 April, semua anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) akan mendapat wang tunai tambahan S$1,000 selepas tamat perkhidmatan negara (ORD) mereka.

Mereka akan menerima bayaran pertama sebanyak S$500 selepas melengkapkan tiga latihan dalam kem (ICT) penting, dan S$500 lagi selepas menamatkan pusingan latihan anggota kerahan perkhidmatan negara (ORNS).

"Pembayaran tunai NS HOME bertujuan untuk mengiktiraf dengan lebih baik sumbangan anggota NS kita kepada pertahanan negara," kata Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan fakta pada Khamis (3 Mac).

Buat masa ini, anggota bukan komander mendapat tokokan S$3,000 dalam Akaun Pendidikan Posmenengah (PSEA) atau Akaun Biasa CPF mereka, serta tokokan S$2,000 dalam Akaun Medisave CPF mereka selepas melengkapkan setiap pusingan latihan penting.

"Anggota perkhidmatan negara kita kini akan menerima sekurang-kurangnya S$6,000 apabila tamat perkhidmatan negara sepenuh masa mereka, dan sekurang-kurangnya S$5,500 pada bahagian pertengahan dan tamat ORNS mereka," kata Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How dalam Perbahasan Jawatankusa Perbekalan (COS) kementeriannya pada Khamis.

Perubahan itu akan memanfaatkan 54,000 anggota SAF dan Home Team setiap tahun, katanya.

Pembayaran tunai tambahan akan diagihkan melalui aplikasi mudah alih LifeSG dan memberikan kelonggaran kepada anggota untuk menggunakan wang tersebut bagi memenuhi keperluan segera, kata MINDEF.

Kredit tunai boleh digunakan di "pelbagai kedai fizikal dan online", termasuk 164,000 peniaga yang menerima PayNow.

Inisiatif itu dibangunkan Jawatankuasa Semakan NS, yang ditubuhkan pada 2020 untuk meningkatkan pengalaman NS. Jawatankuasa itu tamat tempoh khidmat mereka pada tahun ini.

Juga sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen)akan mendapat gaji asas bulanan sebanyak S$1,600, tanpa mengira status pekerjaan mereka.

Jumlah ini akan diberi secara pro-rata sepanjang tempoh mereka menjalani perkhidmatan kerahan.

"Ini amat berguna terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan rasmi dan sedang menjalani latihan," kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen kepada Parlimen pada Rabu.

Jumlah gaji yang perlu ditokok juga akan dikira secara automatik menggunakan data pendapatan dan pekerjaan dari Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dan Lembaga CPF.

Lebih 100,000 anggota NSmen dan 25,000 majikan akan mendapat manfaat daripada tokokan gaji automatik dan gaji asas NS ini, kata Dr Ng.

Sesetengah NSmen, kebanyakannya berpendapatan rendah, mungkin mendapat pendapatan daripada pekerjaan tidak formal, pekerjaan gig atau bayaran lain seperti elaun latihan dan insentif yang tidak termasuk dalam pangkalan data Lembaga CPF dan IRAS, kata Encik Heng.

"NSmen dan majikan akan diberi peluang untuk menyemak jumlah yang dikira. Jika tiada bantahan dibangkitkan, jumlah itu akan dibayar kepada mereka secara automatik," kata Encik Heng.

Encik Heng juga mengumumkan bahawa menjelang 2023, MINDEF dan Kementerian Dalam Negeri akan meningkatkan perlindungan insurans Jangka Hayat Kumpulan dan Kemalangan Peribadi Kumpulan untuk semua NSmen kepada S$300,000 setiap satu.

"Ini akan membantu memastikan sokongan kewangan dan perlindungan yang kami berikan kepada anggota perkhidmatan negara kami kekal relevan dan mencukupi," katanya

Sejak 2016, MINDEF dan MHA telah membeli polisi tersebut bagi anggota NS dengan jumlah perlindungan sebanyak S$150,000 setiap satu.

MINDEF juga akan melancarkan platform OneNS untuk menggantikan Portal NS dan menyatukan semua perkhidmatan dan transaksi digital berkaitan NS.

"Tujuannya ialah untuk memusatkan urus niaga dan perkhidmatan NS penting ini ke platform OneNS, dan menjadikannya lebih mudah diakses melalui aplikasi mudah alih tunggal atau portal web yang diubah suai," kata Encik Heng.

"Buat permulaan, NSmen akan menikmati perkhidmatan yang dipertingkat, untuk memudahkan diri membuat persediaan bagi ICT. Perkhidmatan elektronik lain akan dilancarkan kemudian secara bertahap-tahap."

Peningkatan itu dibuat selepas MINDEF mengumumkan pada 2019 bahawa ia akan menggabungkan semua perkhidmatan fizikal berkaitan NS - daripada perubatan sebelum pendaftaran kepada ujian kecekapan fizikal individu - di Hab NS baru, yang akan disiapkan pada 2023.

PENILAIAN FUNGSI SEBELUM PENDAFTARAN

Mulai tahun ini,MINDEF akan menjalankan penilaian fungsi pada peringkat pemeriksaan perubatan sebelum pendaftaran, bagi menentukan di mana NSF akan ditempatkan.

"Penilaian fungsi ini mengambil kira keupayaan fizikal yang diperlukan untuk operasi harian, membolehkan SAF memadankan dengan lebih baik keupayaan fungsi NSF dengan tuntutan sebenar peranan tersebut," katanya.

Menurut MINDEF, mereka yang mengalami masalah ortopedik tertentu dan kecederaan sukan akan menjalani ujian untuk menilai kemampuan fungsi mereka yang berkaitan dengan pergerakan, kestabilan dan kekuatan.

"Mereka akan diperiksa oleh ahli fisioterapi terlatih dalam SAF dan dinilai berdasarkan tuntutan fizikal keperluan latihan khusus pekerjaan."

Penilaian fungsi dibangunkan melalui perundingan dengan pakar luar dalam bidang fisioterapi, bersama ahli fisioterapi SAF dari Pusat Kecemerlangan Prestasi Askar.

Pada 2019, SAF menyatakan ia akan mengkaji semula penggunaan sistem klasifikasi perubatan dan sistem piawaian pekerjaan fizikal (PES) supaya ia boleh menempatkan anggota NS dengan lebih baik dalam lebih banyak peranan mengikut kemampuan mereka.

Pada 2021, SAF mereka bentuk semula 1,000 pekerjaan; 800 lagi pekerjaan akan direka bentuk semula menjelang 2023, tambah MINDEF.

Mengenai NSmen pula, MINDEF menyatakan mulai tahun ini, NSmen yang layak dan mempunyai kepakaran berkaitan akan dibenarkan ditempatkan semula pada bila-bila masa dalam pusingan ORNS mereka, bukannya hanya selepas mereka berkhidmat sekurang-kurangnya dua tempoh ICT penting dan lima tahun ORNS.

Anggota NSMen yang layak kini juga boleh ditugaskan semula di semua peringkat, termasuk dalam peranan yang disandang pegawai waran, pakar dan anggot abaru berbanding hanya dalam peranan pegawai.

"Ini akan membolehkan MINDEF/SAF mengoptimumkan dan memaksimumkan kepakaran NSmen dalam kehidupan awam mereka, dan membolehkan SAF memenuhi keperluan operasinya dengan lebih baik," kata MINDEF, sambil menambah bahawa penempatan semula itu akan tertakluk kepada keperluan operasi SAF.

Anggota kerahan digalakkan untuk mengemas kini maklumat yang berkaitan dengan kelayakan pendidikan dan pengalaman kerja mereka di Portal NS, untuk mendapat manfaat daripada perubahan ini.

PENDIGITALAN SISTEM KESELAMATAN

Mengenai keselamatan, MINDEF berkata ia akan menubuhkan Pusat Ketahanan Haba dan Prestasi untuk menangani peningkatan kes akibat cuaca panas yang menimbulkan risiko kepada tahap kesediaan operasi.

Pusat itu, yang akan ditubuhkan di Universiti Nasional Singapura pada pertengahan tahun ini, akan mengkaji strategi pengurangan haba dan membangunkan pendekatan untuk mencegah kecederaan dalam SAF akibat haba, kata Encik Heng.

Pada 2018, NSF Dave Lee meninggal dunia hampir dua minggu selepas menunjukkan tanda-tanda kecederaan akibat haba berikutan latihan baris pantas di Kem Bedok.

Panel semakan luaran pada tahun itu mendapati bahawa langkah menangani kecederaan haba dalam SAF "pada umumnya baik dan sejajar dengan industri dan amalan ketenteraan asing". Jumlah kecederaan dalam tentera berkaitan haba merosot daripada 27 pada 2012/2013 kepada 20 pada 2017 /2018.

MINDEF juga berkata pada Khamis bahawa ia telah melancarkan sistem maklumat keselamatan perusahaan yang meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan usaha pencegahan keselamatan dalam kalangan komander. Sistem itu juga boleh meramalkan pelanggaran keselamatan pada masa hadapan dengan menggunakan analisis data.

"SAF akan terus mengekalkan penekanan kami terhadap dasar dan proses keselamatan, dan memastikan bahawa pelajaran tentang keselamatan akan diteruskan walaupun anggota tentera kita bertukar ganti"

Sumber : CNA/SU/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan