Semua kucing yang dapat mikrocip; lesen boleh terus dipelihara: AVS
Para pemilik kucing boleh terus memelihara haiwan kesayangan mereka selepas tempoh peralihan dua tahun yang akan diberikan untuk mereka mendapatkan mikrocip dan lesen secara percuma.
SINGAPURA: Para pemilik kucing boleh terus memelihara haiwan kesayangan mereka selepas tempoh peralihan dua tahun yang akan diberikan untuk mereka mendapatkan mikrocip dan lesen secara percuma.
Ini menyusuli maklum balas sebilangan pemilik
yang bimbang tidak boleh membela kucing melebihi jumlah yang dibenarkan.
Sehingga dua ekor kucing akan dibenarkan dalam flat HDB, manakala sehingga tiga ekor kucing dan anjing akan dibenarkan dalam kediaman privet.
Demikian penjelasan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) kepada BERITA Mediacorp.
"Kami menggalak para pemilik kucing untuk mendapatkan lesen untuk semua kucing-kucing mereka semasa tempoh peralihan dan para pemilik kucing boleh terus memelihara kucing-kucing mereka selepas tempoh peralihan.
"Selepas tempoh peralihan, kami akan mengambil tindakan kepada para pemilik yang memelihara kucing-kucing tidak berlesen," kata Pengarah Kumpulan, AVS, Dr Chang Siow Foong.
Tambah Dr Chang, tindakan yang diambil itu akan berlandaskan hukuman serupa yang dikenakan kepada para pemilik anjing sekarang ini.
Syarat untuk mewajibkan kucing-kucing peliharaan supaya dipasang dengan mikrocip dan didaftarkan antara pengumuman di bawah cadangan rangka kerja pengurusan kucing itu.
PROSEDUR PASANG MIKROCIP PANTAS; SELAMAT
Dr Chang yang juga mempunyai pengalaman hampir tiga dekad sebagai doktor haiwan juga memberi jaminan, prosedur memasang mikrocip dilakukan dengan pantas dan selamat.
"Saiz mikrocip hanyalah sebesar sebutir beras dan ia biasanya dimasukkan ke dalam kulit dengan suntikan yang mudah. Jika kucing itu hilang dan dijumpai oleh orang awam, orang awam itu boleh memberitahu AVS dan kami akan mengambilnya dan melakukan imbasan dan kami boleh mengesannya kembali kepada pemiliknya," jelas beliau.
Sebagai langkah tambahan, beliau juga mengesyorkan supaya haiwan tersebut dipakaikan kolar yang mengandungi maklumat pemilik supaya mudah dihubungi sekiranya hilang.
Antara pemilik kucing yang menyambut baik cadangan-cadangan tersebut ialah Cik Nurbaiti Abdul Razak, 36 tahun.
Beliau ialah di antara pemilik kucing yang telah memberi maklum balas dan mengemukakan saranan kepada cadangan rangka kerja pengurusan kucing yang dimulakan tahun lalu.
Kesemua kucing Cik Nurbaiti sudah dikembiri dan kecuali seekor yang baharu diambil, yang lain sudah ada mikrocip.
Kucing-kucing beliau yang sudah mendapat mikrocip diselamatkan daripada Persatuan bagi Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA).
(Gambar: Syawal Yusoff)
Apabila cadangan-cadangan tersebut dilaksanakan menjelang akhir tahun hadapan, Cik Nurbaiti akan diberi tempoh peralihan dua tahun untuk mendapatkan lesen dan mikrocip untuk kucingnya yang keempat.
"Ia seakan memberi satu identiti kepada kucing dan sekiranya ada sesuatu yang berlaku di masa hadapan seperti kucing terbiar ataupun hilang kucing. Terdapat juga laman web di mana anda boleh mengubah pemilikan dan segala-galanya," katanya.
BELANJA SEHINGGA S$500 SEBULAN UNTUK 4 KUCING
Sejak mula memelihara kucing lima tahun yang lalu, ibu dua orang anak itu sentiasa memastikan empat ekor kucing peliharaannya dijaga dengan baik.
Beliau memperuntukkan sehingga S$500 sebulan untuk membeli makanan dan barang permainan.
"Harus jaga pemakanan dengan yang berkualiti, kita tidak mahu kucing sakit, bukan? Jadi berikan makanan berkualiti. Makanan ada dua jenis - basah dan kering.
"'Cat litter' atau pasir kumbahan kucing yang berkualiti pasal ada kucing yang mempunyai alahan kepada sesetengah 'cat litter'.
"Kalau mainan sudah rosak kita belikan (yang baharu). Ini kerana waktu permainan juga penting untuk kucing. Ia perlu bersenam," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Di samping itu, beliau juga sangat mengambil berat terhadap kesihatan kucing-kucingnya dengan membawa mereka ke klinik haiwan untuk pemeriksaan.
"Setiap tahun kita akan pergi ke klinik haiwan untuk dapatkan vaksinasi untuk kucing untuk kekal sihat. Mungkin di klinik haiwan agak mahal di antara S$200 hingga S$300 (seekor) bergantung apa perkhidmatan yang dilakukan.
"Kucing ini pandai menyembunyikan kesakitan. Jadi kami tidak akan tahu sama ada ia sakit atau tidak. Jadi kalau pergi pemeriksaan darah, itulah baru kita tahu," tambah Cik Nurbaiti.
Ini selain memastikan kucing-kucingnya tidak terlepas dan merayap sehingga mengganggu jiran tetangga.
"Kita mengikut langkah-langkah untuk memastikan kucing tidak senang terlepas. Satu-satunya ialah 'jeriji kalis kucing'. Di mana kita memastikan kucing tidak boleh terjun daripada tingkap dan juga pagar. Pagar kita pun lubang-lubangnya kecil jadi kucing tidak boleh lolos," kata Cik Nurbaiti.
(Gambar: Syawal Yusoff)
AVS akan melancarkan beberapa acara dan pameran bergerak untuk mendidik para pemilik dengan lebih baik tentang pengurusan kucing lebih bertanggungjawab, syarat pelesenan dan pemasangan cip mikro.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.