Skip to main content

Singapura

Semua kelas tuisyen, pengayaan bagi pelajar berusia 18 tahun dan ke bawah digantung: MOE

Semua kelas tuisyen dan pengayaan privet - sama ada akademik atau bukan akademik - bagi kanak-kanak akan digantung buat sementara waktu mulai Rabu (19 Mei), menurut panduan terbaru oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Anggaran Waktu Membaca:
Semua kelas tuisyen, pengayaan bagi pelajar berusia 18 tahun dan ke bawah digantung: MOE

(Gambar Hiasan: FAS)

Diterbitkan : 18 May 2021 09:22PM Dikemas Kini : 18 May 2021 09:24PM

SINGAPURA: Semua kelas tuisyen dan pengayaan privet - sama ada akademik atau bukan akademik - bagi kanak-kanak akan digantung buat sementara waktu mulai Rabu (19 Mei), menurut panduan terbaru oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Penggantungan itu terpakai ke atas kedua-dua pertubuhan dan individu yang menawarkan kelas kepada pelajar berusia 18 tahun dan ke bawah.

Ini termasuk namun tidak terhad kepada kegiatan sokongan pendidikan dan pembangunan, kelas dan bengkel kesenian dan budaya, kelas-kelas agama serta kelas dan program sukan dan kegiatan fizikal.

"Keputusan untuk menggantung kelas-kelas adalah disebabkan risiko lebih tinggi penularan COVID-19 daripada pergaulan pelajar daripada sekolah-sekolah berbeza, dan bagi mengelakkan interaksi antara tenaga pengajar dan pelajar," menurut MOE pada Selasa (18 Mei).

Mulai Rabu hingga 13 Jun, kelas-kelas tuisyen dan pengayaan - termasuk kelas di pusat tuisyen, perniagaan dari rumah dan kelas satu persatu - sama ada perlu diadakan online bagi kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah atau digantung sama sekali, menurut MOE.

Langkah itu diambil selepas beberapa pelajar sekolah rendah diuji positif bagi COVID-19 sejak beberapa hari lalu, dengan kebanyakan kes jangkitan terkait pusat-pusat tuisyen.

Pada Ahad (16 Mei), Singapura mengumumkan bahawa semua sekolah rendah, menengah serta maktab rendah dan Institut Millenia akan beralih ke pembelajaran dari rumah sepenuhnya dari Rabu hingga akhir penggal pada 28 Mei.

Pusat-pusat jagaan pelajar boleh terus beroperasi.

Mereka yang menyediakan intervensi pembelajaran disediakan oleh ahli terapi berdaftar dengan Majlis Karyawan Kesihatan Bersekutu, pusat-pusat Intervensi Awal yang dibiayai oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) turut dibenarkan untuk terus beroperasi, "tertakluk kepada langkah pengurusan selamat sedia ada", menurut MOE.

Ini termasuk menjaga jarak selamat secara ketat, perisytiharan kesihatan, pembasmian kuman pada permukaan secara kerap, menjarakkan waktu kelas dan pemakaian pelitup.

Kelas sukan atau kegiatan fizikal bagi pelajar berusia 18 tahun ke bawah boleh diadakan di luar, dengan maksimum seorang jurulatih dan seorang pelajar pada setiap masa, menurut MOE.

Kelas aktiviti fizikal atau sukan melibatkan lebih daripada seorang pelajar akan digantung.

BAGI PELAJAR BERUSIA 18 TAHUN KE ATAS

Kelas-kelas khusus bagi pelajar berusia 18 tahun ke atas boleh terus diadakan secara bertemu muka, tertakluk kepada langkah pengurusan selamat sedia ada.

Bagi pusat-pusat yang menawarkan khidmat kepada pelajar kanak-kanak dan dewasa, kelas-kelas bagi golongan berusia 18 tahun dan ke bawah perlu diadakan online atau digantung, manakala kelas-kelas bagi golongan berusia 18 tahun dan ke atas boleh diteruskan secara bertemu muka, menurut MOE.

MOE juga akan memperkenalkan sekatan lanjut terhadap gim dan studio kecergasan/tarian/senaman bagi mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas.

Gim dan studio yang mengadakan kelas bagi pelajar sedemikian boleh diteruskan hanya jika ia menawarkan kegaiatan fizikal ringan.

Para peserta dan jurulatih perlu memakai pelitup pada setiap masa dan satu bilik tidak boleh menampung lebih daripada 30 orang, termasuk para tenaga pengajar/jurulatih, menurut kementerian itu.

Kelas senaman di kawasan terbuka boleh diteruskan.

Kelas latihan suara dan pertuturan serta drama bagi pelajar berusia 18 tahun dan ke atas boleh diteruskan, meskipun peraturan sama - pemakaian pelitup pada setiap masa dan had seramai 30 orang - perlu dipatuhi.

SEMUA PELAJAR

Semua kelas menyanyi dan permainan alat muzik tiupan/bras digantung sehingga 13 Jun kerana ia melibatkan risiko jangkitan lebih tinggi disebabkan oleh pantulan suara atau penghembusan udara secara sengaja, menurut MOE.

Semua persembahan secara langsung yang dijadualkan berlangsung sehingga 13 Jun ditunda bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Pusat-pusat tuisyen dan kelas pengayaan bertanggungjawab memastikan langkah pengurusan selamat dipatuhi di premis mereka pada setiap masa. Bagi memastikan pematuhan, para inspektor dari MOE akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan langkah pengurusan selamat dilaksanakan dengan betul," menurut MOE.

Di bawah Akta (Langkah Sementara) COVID-19 para pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$10,000, dihukum penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan seterusnya, mereka boleh didenda sehingga S$20,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita