Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua kelas pengangkutan awam M'sia- S'pura dibenar operasi semula 1 April

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura dibenarkan beroperasi mulai 1 April depan selaras dengan pembukaan sempadan darat antara kedua-dua negara.

Menteri Pengangkutan, Ir Dr Wee Ka Siong berkata semua operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam berkaitan di Malaysia boleh membuat persiapan awal dengan memperbaharui semua permit atau lesen berkaitan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) (di Malaysia) atau dengan pihak berkuasa di Singapura.

“Namun, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar adalah tertakluk kepada kesediaan operator yang terlibat untuk memulakan operasi mereka semula kepada orang ramai,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini (28 Mac).

Menurut Dr Wee, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak operator yang berkenaan mengenai status pengoperasian perkhidmatan rentas sempadan yang bakal disediakan.

Beliau berkata semua operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan untuk mematuhi semua garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sedia ada, termasuk menyediakan kod QR di dalam kenderaan perkhidmatan awam yang beroperasi.

Semua operator juga hendaklah memastikan kod QR diimbas oleh penumpang bagi tujuan pengesanan, namun, selaras dengan ketetapan semasa, pihak operator tidak perlu membuat sebarang pemeriksaan sebelum menaiki kenderaan bagi menyemak status vaksinasi penumpang, kata beliau.

Dr Wee berkata operator atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam boleh menolak daripada menyediakan perkhidmatan kepada mana-mana pelawat yang tidak mematuhi SOP kesihatan semasa seperti pemakaian pelitup muka.

Kata beliau menjadi tanggungjawab pelawat untuk memastikan mereka mempunyai aplikasi MySejahtera yang sah di dalam telefon pintar dan memenuhi semua syarat pengembaraan ditetapkan dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan kompaun atau penalti di bawah undang-undang sedia.

Menurut Dr Wee mana-mana pelawat yang akan menggunakan kenderaan motokar persendirian ke Malaysia pula diingatkan untuk mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing (VEP) dengan melayari laman web [https://vep.jpj.gov.my/].

“Kenderaan yang sudah berjaya mendaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan (RC) dan tol.

“Selain itu, semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar RM20 (S$6.45) untuk setiap kemasukan apabila masuk ke Malaysia (melalui lintasan masuk di BSI - Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru dan KSAB - Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang, Johor Bahru),” kata beliau.

Beliau berkata bagi kenderaan yang didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-wallet Touch n Go yang digabungkan dalam tag RFID manakala yang belum didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran RC boleh dibuat menggunakan kad Touch n Go.

Menurut Dr Wee, semua pelawat yang memandu kenderaan persendirian pendaftaran Singapura perlu memastikan kad Touch n Go mereka sah dan mempunyai baki mencukupi dalam e-wallet atau kad Touch n Go untuk membayar RC bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan apabila memasuki Malaysia.

“MOT (Kementerian Pengangkutan) berharap pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura ini bukan sahaja dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, tetapi juga dapat merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara rakyat Malaysia-Singapura,” tambahnya.

Mulai 1 April Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pelawat yang lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Kebenaran itu terpakai kepada semua kategori pelawat dan penggunaan semua jenis pengangkutan darat, termasuk semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan