Semua kedai Cheers, FairPrice Xpress kenakan bayaran bagi beg plastik mulai 2022
Pelanggan di semua 167 cawangan Cheers dan FairPrice Xpress di Singapura akan dikenakan bayaran untuk beg plastik mulai 1 Januari tahun depan, menurut NTUC FairPrice pada Jumaat (12 Nov).

(Gambar: Facebook/NTUC FairPrice)
SINGAPURA: Pelanggan di semua 167 cawangan Cheers dan FairPrice Xpress di Singapura akan dikenakan bayaran untuk beg plastik mulai 1 Januari tahun depan, menurut NTUC FairPrice pada Jumaat (12 Nov).
Bayaran bagi beg plastik juga akan dilanjutkan di pasar raya FairPrice tertentu untuk tempoh setahun lagi.
Pasar raya tersebut adalah: cawangan FairPrice Xtra di Hougang One dan Kallang Wave Mall; cawangan FairPrice Finest di 100AM, Zhong Shan Park, Paya Lebar Quarter, Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, Funan, Bukit Timah Plaza dan Valley Point; serta cawangan FairPrice di Coronation Plaza dan Tai Seng.
Pelanggan di pasar raya dan kedai serbaneka akan masing-masing dikenakan S$0.20 dan S$0.10 bagi setiap urus niaga.
NTUC FairPrice menyatakan wang yang dikumpulkan akan disalurkan kepada daya usaha menyokong kemampanan termasuk sumbangan S$180,000 ke gerakan SatuJutaPokok atau OneMillionTrees Lembaga Taman Negara (NParks).
Sumbangan tersebut akan digunakan untuk membiayai gerakan menanam 600 pokok serta program mendampingi alam menghijau dan pemeliharaan di Singapura.
Syarikat itu pertama kali mengenakan bayaran bagi beg plastik di cawangan terpilih pada November 2019.Bayaran kini dikenakan di 24 kedai.
Sejak inisiatif tersebut dimulakan dua tahun lalu, ia berjaya menjimatkan lebih 30 juta beg plastik, dengan tujuh daripada setiap 10 pelanggan membawa beg sendiri, kata NTUC FairPrice.
NTUC FairPrice adalah rangkaian pasar raya terbesar di Singapura dengan lebih 370 cawangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.