Semua kakitangan hospital tidak lagi perlu jalani ujian rutin COVID-19 mulai 21 Mac
SINGAPURA: Semua kakitangan di hospital tidak lagi perlu menjalani ujian rutin berjadual COVID-19 sebanyak dua kali seminggu mulai 21 Mac.
Sebaliknya, mereka yang tidak sihat dan mengalami simptom ringan atau serius harus "melakukan ujian kendiri COVID-19 dan mematuhi protokol-protokol kesihatan nasional jika diuji positif".
Demikian menurut surat pekeliling Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (17 Mac) yang dilihat oleh Mediacorp.
Surat yang ditujukan kepada pengurusan kanan hospital awam dan privet serta pusat-pusat pakar nasional, menyatakan bahawa perubahan dasar akan menjejas "semua kakitangan hospital dan juga pekerja yang menjalankan tugas penting dalam tempat-tempat tersebut".
Ia menambah, kakitangan yang diuji positif COVID-19 "tidak perlu mengemukakan sijil perubatan".
MOH tidak menjawab pertanyaan Mediacorp untuk mengulas tentang kesahihan surat pekeliling itu, namun beberapa sumber perubatan mengesahkannya.
Ujian rutin berjadual diwajibkan ke atas hospital dan pusat-pusat kesihatan nasional pada Mei lalu untuk membolehkan pengesanan awal jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja.
MOH menyatakan dalam surat tersebut bahawa kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan pekerja hospital dan "komitmen mereka terhadap langkah pengurusan selamat yang ketat" sudah mengurangkan kesan COVID-19 terhadap kedua-dua pekerja dan sistem jagaan kesihatan.
"Memandangkan keadaan COVID-19 semakin stabil, dan sejajar dengan peralihan untuk hidup dengan COVID-19, MOH akan memperkemaskan langkah-langkah COVID-19, dengan tujuan untuk meringankan beberapa beban kerja kakitangan jagaan kesihatan kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.