Skip to main content

Singapura

Semua jemaah haji SG selamat pulang ke tanah air

Perasaan lega dan syukur menyelubungi jemaah haji Singapura yang pulang ke tanah air pada Rabu (25 Jun), menandakan tamatnya musim haji bagi tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perasaan lega dan syukur menyelubungi jemaah haji Singapura yang pulang ke tanah air pada Rabu (25 Jun), menandakan tamatnya musim haji bagi tahun ini.

Seramai 213 jemaah, termasuk 43 jemaah daripada Halijah Travels yang terkandas di Madinah menyusuli pembatalan penerbangan Scoot, selamat tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Changi sekitar 2.30 petang.

Mereka menaiki penerbangan Malaysia Airlines dari Jeddah melalui Kuala Lumpur.

Kumpulan tersebut sepatutnya pulang malam Isnin (23 Jun), namun penerbangan Scoot dibatalkan berikutan ketegangan konflik antara Israel dan Iran.

Menurut Pengurus Besar Halijah Travel, Haffidz Abdul Hamid, Pejabat Ehwal Jemaah Haji Singapura (SPAO) memantau keadaan dari Madinah dan memberikan sokongan kepada jemaah yang terjejas, manakala Scoot pula bekerjasama mengatur penerbangan alternatif dengan Malaysia Airlines.

Encik Haffidz meluahkan rasa syukur kepada pihak Malaysia Airlines kerana bersungguh-sungguh membantu membolehkan dan melancarkan perjalanan pulang jemaah terjejas. Beliau akur bahawa laluan akhir KL-Singapura sentiasa penuh, namun berkat usaha bantuan itu, kesemua jemaah yang terjejas selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing di Singapura. 

Salah seorang jemaah, Cik Rahayu Mohamad, berkata mereka melalui saat-saat tidak menentu sebelum penerbangan pulang disahkan.

“Ketika itu memang timbul kebimbangan kerana kami terus mengikuti perkembangan konflik antara Iran dan Israel. Kami tidak dimaklumkan tentang pembatalan Scoot secara rasmi, tetapi bila lihat berita di media sosial bahawa Iran telah melancarkan serangan ke atas pangkalan Amerika Syarikat di Qatar, barulah kami faham kenapa Scoot membatalkan penerbangan,” katanya.

“Pihak Halijah maklumkan akan beri maklumat selanjutnya tentang perjalanan seterusnya, dan kami dinasihatkan untuk kekal berada di hotel. Jangan keluar ke mana-mana,” tambah beliau.

Related article image
Sebuah keluarga beramai-ramai menyambut kepulangan yang tersayang dalam kumpulan terakhir jemaah haji 2025 yang pulang ke tanah air. (Gambar: Rayyan Nor Azahar)
KUMPULAN TERAKHIR JEMAAH SELAMAT TIBA

Kumpulan terakhir jemaah haji Singapura, seramai lebih 170 orang, turut selamat tiba sekitar 3.30 petang tadi (Rabu 25 Jun) di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi.

Mereka menaiki pesawat Saudia dari Jeddah dan terdiri daripada jemaah lima Agensi Perkhidmatan Haji (GSA): TM Fouzy Travel & Tours, Hamidah Travel & Tours Pte Ltd, Thoha Travels & Tours Pte Ltd, Sha Travel & Tour Pte Ltd, dan Azza Travel & Tours Pte Ltd.

Ketibaan mereka disambut oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang melahirkan rasa syukur di atas keselamatan semua jemaah.

"Alhamdulillah, semua jemaah haji kita telah selamat pulang ke tanah air termasuk mereka yang terkandas akibat pembatalan penerbangan oleh Scoot dari Jeddah ke Singapura pada 23 Jun lalu. Terima kasih kepada semua pihak atas usaha mereka memastikan kesemua jemaah kita pulang ke Singapura dengan selamat. Termasuk Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO)" katanya.
Related article image
Sambutan berbunga untuk seorang Hajjah. (Gambar: Rayyan Nor Azahar)
Dr Faishal turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas kelancaran penganjuran haji tahun ini, yang membabitkan lebih 1.67 juta jemaah dari seluruh dunia.

"Tahniah juga kepada kerajaan Arab Saudi kerana berjaya menganjur dan melaksanakan pengurusan haji yang lancar bagi 1.67 juta jemaah dari seluruh dunia. Ini bukan sesuatu yang mudah dan usaha mereka telah meninggalkan kesan yang positif kepada para jemaah kita. Saya rasa syukur dan Alhamdulillah."

Maklum balas daripada para jemaah juga menunjukkan peningkatan dalam aspek logistik dan kemudahan di lokasi-lokasi utama ibadah.

"Kami juga telah menerima maklum balas yang memberangsangkan di mana penyelarasan khidmat bas telah bertambah baik dan kemudahan di Arafah serta Mina juga lebih baik tahun ini, dan saya telah berjumpa dengan ramai ahli keluarga yang menunggu."

"Sanak saudara mereka, ibu bapa mereka dan mereka pun rasa tenang dan rasa gembira dan dapat merasakan bahawa kita telah melakukan yang terbaik kepada masyarakat kita di sana. Saya rasa gembira dan saya harap kita boleh sama-sama bekerjasama. Syabas kepada pasukan perubatan SPAO di Arab Saudi dan Singapura atas layanan dan khidmat yang cemerlang bagi para jemaah kita."

Beliau turut berkongsi bahawa sekitar 890 jemaah menerima rawatan tahun ini melalui model perubatan hibrid SPAO.

"Tahun ini, klinik SPAO di Shisha dan Madinah merawat kira-kira 890 jemaah. Jadi model hibrid SPAO dengan pasukan perubatan Arab Saudi dan Singapura berjaya memberi rawatan sempurna kepada para jemaah kita."

Akhir sekali, Dr Faishal menasihatkan jemaah agar terus menjaga kesihatan selepas pulang.

"Kepada para jemaah yang telah selamat pulang, pantau kesihatan anda. Sekiranya kurang sihat, segeralah dapatkan rawatan dan elakkan tempat sesak atau menerima tetamu sehingga betul-betul sembuh. Saya doakan haji mabrur buat semua jemaah kita supaya Allah Ta'ala memberikan ataupun rahmat dan memberkati kita dengan musim haji yang lancar pada tahun 2026. Insya-Allah."
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/RR/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita