Skip to main content

Singapura

Semua dormitori pekerja asing dilengkapi dengan doktor, jururawat hospital dan poliklinik

Pasukan perubatan meliputi doktor dan jururawat daripada hospital serta poliklinik akan dikerahkan ke semua dormitori pekerja asing menjelang pertengahan minggu ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (14 Apr). 

Anggaran Waktu Membaca:
Semua dormitori pekerja asing dilengkapi dengan doktor, jururawat hospital dan poliklinik

Langkah jarak selamat diamalkan di Toh Guan Dormitory pada 6 Apr. Asrama ini diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan pada malam tersebut. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 14 Apr 2020 11:21PM Dikemas Kini : 14 Apr 2020 11:24PM

SINGAPURA: Pasukan perubatan meliputi doktor dan jururawat daripada hospital serta poliklinik akan dikerahkan ke semua dormitori pekerja asing menjelang pertengahan minggu ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (14 Apr).

Pengarah Khidmat Perubatan MOH Kenneth Mak berkata tujuh hingga lapan pasukan seumpama itu sudahpun berkhidmat di dormitori-dormitori pekerja asing, dengan lagi 15 hingga 19 pasukan dikerahkan pada Selasa.

Pasukan itu akan merangkumi antara satu hingga tiga doktor dan sekurang-kurangnya tiga jururawat bergantung kepada saiz dormitori selain keperluan di dormitori itu sendiri, menurut Profesor Madya Mak.

Beliau menambah para karyawan perubatan itu secara sukarela tampil untuk membantu para pekerja asing.

"Mereka merawat para pekerja yang tidak sihat, menjalankan ujian ke atas mereka yang mengalami gejala pernafasan, menguruskan kes yang perlu dihantar ke kemudahan lain dan kemudian juga menilai sama ada pekerja berkenaan sudah cukup sihat untuk kembali ke bilik mereka," kata Menteri Tenaga Manusia (MOM) Josephine Teo dalam satu sidang video hari ini.

Pihak berkuasa mengumumkan pada Khamis lalu (9 Apr) bahawa pondok perubatan akan dibangunkan di dormitori pekerja asing untuk menjalankan ujian secara aktif ke atas para pekerja dan memisahkan mereka yang dijangkiti COVID-19. Pekerja yang tidak sihat juga akan mendapatkan rawatan perubatan segera.

Ini dilakukan di tengah-tengah peningkatan pada bilangan kes COVID-19 di dormitori pekerja asing dengan kelompok-kelompok dikenal pasti di 14 tempat sedemikian di merata Singapura. Kelompok di S11 Dormitory @ Punggol adalah yang terbesar.

Sejauh ini, lapan dormitori yang menempatkan puluhan ribu pekerja asing sudahpun diwartakan sebagai kawasan pengasingan. Ini bermakna para pekerja asing tidak dibenarkan untuk meninggalkan bilik mereka selama 14 hari.

Prof Madya Mak berkata pasukan perubatan itu akan dibantu oleh pasukan ujian swab untuk menjalankan ujian ke atas pekerja yang mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom, menjangkaui mereka yang dirawat di pondok perubatan. Ini juga akan membantu meningkatkan kapasiti ujian.

Cik Teo berkata pasukan perubatan itu juga akan bekerjasama dengan Forward Assurance and Support Teams untuk menubuhkan kemudahan pengasingan di dormitori yang terjejas.

"Kita kini mempunyai tujuh pondok perubatan ditubuhkan di dormitori pengasingan yang diwartakan dan menyasarkan untuk mempunyai tempat perubatan di kesemua 43 dormitori yang dibina khas," tambah Cik Teo.

Walaupun pondok perubatan akan dibangunkan di kesemua dormitori yang dibina khas itu, Cik Teo berkata para pekerja dari kilang yang diubah menjadi dormitori boleh bergantung kepada Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC).

Ini meliputi 900 klinik yang dikhususkan untuk merawat pesakit dengan gejala pernafasan di tengah-tengah penularan COVID-19.

REJIM UJIAN AGRESIF

Meskipun Prof Madya tidak mempunyai perangkaan tepat mengenai jumlah ujian yang dijalankan ke atas pekerja setiap hari, beliau menarik perhatian bahawa 1,500 sudahpun diuji sepanjang hujung minggu lalu dengan lagi 5,000 pekerja asing dijangka menjalani ujian sepanjang beberapa hari mendatang.

Prof Madya Mak berkata pasukan perubatan juga akan menguji pekerja berisiko tinggi yang tidak menunjukkan sebarang simpton dan tidak tampil dengan gejala jangkitan, termasuk pekerja yang berkongsi bilik dengan kes yang disahkan positif.

Beliau menambah Singapura masih mempunyai keupayaan untuk melakukan lebih banyak ujian ke atas pekerja asing tetapi pihak berkuasa sedang memisahkan mereka untuk mengelakkan hospital daripada dibebani ramai pesakit selain enggan memenatkan tenaga pasukan perubatan sedia ada.

KHIDMAT PENTING

Kira-kira 7,000 pekerja asing dalam khidmat penting sudahpun dipindahkan dari 43 dormitori yang dibina khas - dormitori besar yang menampung antara 3,000 hingga 25,000 pekerja - ke jenis penginapan alternatif seperti flat HDB dan kem tentera, kata Cik Teo.

Pekerja khidmat penting yang tinggal di 1,200 kilang yang diubah suai menjadi dormitori - dormitori lebih kecil yang biasanya menempatkan antara 50 hingga 500 orang pekerja - juga akan dipindahkan tidak lama lagi. Sekitar 95,000 pekerja asing tinggal di dormitori sedemikian.

Mereka akan diperiksa sebelum dipindahkan untuk tinggal di tempat lain, tambah Cik Teo.

Dalam pada itu, beliau mengulangi, semasa bekerja atau melakukan perjalanan ke tempat kerja mereka, pekerja-pekerja tersebut mesti mengamalkan langkah-langkah jarak selamat yang "ketat".

"Kami akan mempertanggungjawabkan majikan pekerja-pekerja khidmat penting ini," tegasnya.

Kumpulan rondaan yang meliputi para pegawai pemerintah akan dikerahkan untuk membantu pemilik kilang, yang ditukarkan kepada dormitori untuk melaksanakan langkah-langkah jarak selamat.

Pasukan seumpama itu, yang merangkumi polis, tentera dan pegawai MOM, sudahpun dikerahkan untuk membantu dormitori yang dibina khas sejak Rabu lalu.  

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita