Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua agensi pemerintah akan dilengkapi dengan Daftar Perlindungan ID Pengirim SMS; semak cara berurusan dengan rakyat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesemua agensi pemerintah akan dimasukkan ke dalam daftar antipenipuan dan dikehendaki menyemak semula penggunaan SMS dan pautan dalam sistem komunikasi masing-masing. 

Demikian menurut Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) pada Jumaat (21 Jan). 

Daftar tersebut, yang diberi nama Daftar Perlindungan ID Pengirim SMS Singapura, membolehkan pertubuhan-pertubuhan untuk menyekat mesej-mesej palsu daripada dihantar ke telefon bimbit pengguna. 

Langkah itu diambil selepas sejumlah langkah keselamatan diumumkan beberapa hari lalu untuk membanteras penipuan seperti memancing data peribadi yang melibatkan para pelanggan OCBC baru-baru ini. 

Dalam kenyataannya, SNDGG menyatakan langkah tersebut akan menyukarkan penghantaran mesej-mesej palsu yang cuba menyamar seolah-olah mesej berkenaan adalah daripada agensi-agensi pemerintah dan ia akan membantu Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk mengesan dan memberkas para pelaku. 

Selain itu, Pemerintah juga akan menimbangkan saluran-saluran lain, seperti ciri 'inbox' dalam aplikasi Singpass supaya orang ramai boleh menerima mesej daripada agensi-agensi pemerintah. 

Sungguhpun demikian, SNDGG menarik perhatian bahawa walaupun capaian telefon bijak adalah tinggi di Singapura, SMS masih digunakan oleh rakyat yang tidak memiliki telefon bijak atau menggunakan aplikasi pengiriman mesej. 

Langkah-langkah yang dikuatkuasakan oleh pertubuhan-pertubuhan tempatan baru-baru ini akan menjadikan SMS lebih selamat dan terjamin dan dengan ini para penipu terpaksa menumpukan usaha mereka kepada saluran lain, tambah SNDGG. 

"Menggugurkan pautan bagi urus niaga berisiko rendah juga mempunyai implikasi menjangkaui usaha mengurangkan akses dan penggunaannya. Sindiket-sindiket penipuan akan menyalurkan usaha mereka melalui kaedah-kaedah lain, termasuk emel untuk memperdayakan mangsa supaya melungsuri lelaman web palsu." 

Buat masa ini, agensi-agensi pemerintah dikehendaki menghantar pautan yang berakhir dengan "gov.sg" supaya orang ramai boleh dengan mudah mengenal pasti bahawa pautan itu benar-benar sahih. 

"Kami akan memastikan kesemua agensi mematuhi peraturan ini. Kami juga akan memperhebatkan usaha bagi meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mengesahkan sama ada sesuatu pautan itu benar-benat adalah pautan  pemerintah yang sah dan sahih sebelum menekannya," menurut SNDGG. 

Selain itu, ia juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk memperkukuhkan sistem bagi mengenal pasti percubaan log masuk yang palsu daripada lokasi atau peranti berbeza, dan memperkenalkan "langkah pengesahan lebih ketat" seperti mewajibkan pengecaman wajah secara biometrik untuk transaksi-transaksi yang berisiko tinggi. 

SNDGG juga mengingatkan orang ramai tentang aplikasi pemerintah, ScamShield yang berupaya mengenal pasti dan menyaring mesej-mesej palsu. Aplikasi tersebut juga menyekat mesej ataupun panggilan daripada nombor-nombor telefon yang pernah digunakan dalam kes-kes penipuan sebelum itu ataupun jika dilaporkan oleh pengguna-pengguna ScamShield yang lain.

Aplikasi tersebut tersedia untuk iOS atau peranti Apple. SNDGG kini sedang  menghasilkan versi Android.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan